Ahmad Fadli KC
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa kerajaan agar mewajibkan para menteri dan juga bekas anggota Kabinet mengisytiharkan harta demi menangani rasuah.
Bekas menteri kewangan itu berkata, langkah tersebut akan membolehkan masyarakat menilai integriti para menteri terbabit.
NONE"Semua menteri termasuklah saya perlu isytihar harta mereka. Pastikan semuanya isytihar harta mereka.
"Kita tengoklah apa yang kita ada dan tidak ada dan kita bagi rakyat nilai memandangkan kita ini adalah kepunyaan rakyat," katanya.
Menurutnya, rasuah sekarang adalah masalah utama dalam pentadbiran negara dan ia meningkatkan kos pentadbiran yang seterusnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.
"Rasuah adalah masalah terbesar yang kita hadapi.
"Oleh kerananya, kita menanggung akibatnya.
"Semua projek menjadi mahal dan ini dipindahkan kepada pengguna dan rakyat menanggung akibatnya," katanya dalam sidang media khas di kediaman beliau tengah hari tadi.
Sementara itu, mengulas usul dialog di antara Pakatan Rakyat dan BN yang diusulkan ketua pembangkang, Tengku Razaleigh berkata ia terpulang kepada kerajaan untuk menyambutnya atau tidak.
Namun, beliau sendiri percaya sebarang dialog akan membawa manfaat dan tidak perlu dilihat dari perspektif siapa yang akan mendapat manfaat dan siapa yang rugi.
"Bagi saya, apa-apa sahaja dialog adalah bermanfaat.
"(Cuma) jangan fikir siapa yang untung siapa yang rugi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan