Chua Soi Lek kena rejek

Aspan Alias
Tiong Lai telah mendapat kemenangan awal jika beliau menandingi CSL dalam perhimpunan agung parti itu Disember ini. Pendeknya CSL lah yang memberikan markah awalan yang tinggi kepada Tiong Lai untuk menandingi beliau nanti. Senjata CSL untuk menjatuhkan Tiong Lai buat selama-lamanya itu telah memakan tuan. Sekarang CSL lah yang sepatutnya mengundurkan diri seperti yang beliau janjikan sebelum PRU dahulu. Lagi pun keputusan yang beliau akan dapati jika beliau masih bertahan telah pun kita lihat semalam.
CSL akan tamat riwayat politiknya hujung tahun ini. Jika CSL tidak lagi berada di dalam kepimpinan parti itu, MCA akan pasti menampakkan hasil yang positif selepas CSL berada di luar kepimpinan parti itu nanti. Penolakan usul yang di rencanakan oleh CSL in menandakan Presiden parti itu sekarang sedang menunggu aktu persaraannya. Persepsi buruk terhadap MCA akan berkurangan kerana yang membebankan parti itu sejak beberapa tahun dahulu ialah kerana Presidennya sendiri.

Tetapi kemenangan moral Tiong Lai ini juga tidak boleh di lihat sebagai kemenangan mutlak kerana kelebihan yang ada kepada Tiong Lai hanya dalam lengkungan 5 peratus sahaja. Beliau wajar mendapatkan bantuan dari pihak yang ketiga dalam MCA, dan pihak itu adalah pihak Ong Tee Kiat yang masih mempunyai pengaruh dalam parti itu.

Beberapa hari yang lepas saya terbaca kenyataan yang Ong Tee Kiat sanggup bertanding jawatan tertinggi parti itu dan tidak juga menolak kemungkinan bertanding jawatan yang di bawah sedikit dari jawatan Presiden itu. Kalau di buat perkiraan mudah jika OTK dan Tiong Lai bersatu maka usaha untuk menundukan CSL yang begitu ‘controversial’ di mata rakyat itu akan menjumpai jalan mudah. MCA yang dalam kegeringan ini akan bertambah pulih dan mampu kembali menjadi parti yang penting kepada rakyat khasnya bagi kaum Cina.

Selama ini MCA hanya mempunyai masalah imej kepimpinan dan jika itu dapat di selesaikan maka tidak banyak isu lain yang dihadapi oleh parti itu. Sebagai sebuah parti yang telah begitu banyak jasanya kepada negara khususnya kaum Cina selama ini, usaha untuk menggamit kembali sokongan itu akan bertambah mudah.

Kaum Cina khususnya telah banyak mendapat jasa dari MCA ini terutamanya dalam bidang ekonomi dan lebih-lebih lagi dalam penyediaan kemudahan pendidikan kepada rakyat dan kaum Cina khususnya. Prestasi MCA mula menurun dalam pilihanraya ke 12 lagi kerana parti itu dianggap sebagai parti yang terlalu ‘subservient’ kepada UMNO, rakan kongsi terbesarnya dalam BN. MCA telah menjadi mangsa keadaan kerana masalah kelemahan dalam kepimpinan UMNO itu sendiri.

Oleh itu jika ada perubahan kepada tahap kepimpinan UMNO dan MCA pula dapat menyelesaikan masalah CSL ini, maka parti itu akan menemui jalan yang agak mudah untuk pulih di mata rakyat.

Kali ini MCA wajar menunjukkan ‘vibrancy’ nya sebagai parti yang masih mempunyai kuku dalam kerajaan kerana untuk menumpang kekuatan UMNO sudah agak payah kerana UMNO masih lagi dalam pencarian. Bagi setengah pihak MCA akan menjumpai jalan penyelesaian tentng kepimpinan lebih awal dari UMNO kerana UMNO masih lagi tercari-cari jalan untuk keluar dari masalah kepimpinannya sekarang ini.

Pemilihan baru-baru ini tidak menyelesaikan masalah kerana hasilnya tidak menampakkan perubahan. Kepimpinannya masih lagi mereka yang sama yang bermentaliti yang sama dan kesemuanya sama. Tidak mungkin niat parti itu untuk meremajakannya dapat terlaksana kerana meremajakan parti memerlukan mereka yang mampu berubah pemikiran mereka kepada kehendak waktu dan zamannya dan tidak semestinya di ketuai oleh yang berumur remaja.

Ramai yang percaya jika kita mahukan segala-galanya berpecah berikan tugas itu kepada UMNO, jika hendak menjadikan keadaan lebih parah lagi, berikan tugas untuk membinanya semula kepada UMNO.

Justeru itu, jika MCA dapat menyelesaikan masalahnya, maka sebahagian besar dari masalah kepimpinan dalam BN itu akan dapat di selesaikan. Kita hanya menunggu lagi bila UMNO pula boleh menyelesaikan masalahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan