Najib, Muhyiddin kecut perut, usaha bendung kemarahan Mahathir

Analisa|Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Anak Tun Dr Mahathir Mohamad tewas. Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir tewas meskipun ibunya terpaksa memberikan wawancara yang amat jarang untuk berkempen untuk anaknya.

Ini menyebabkan Mahathir marah walaupun beliau berkata sudah menjangkakan kekalahan Mukhriz.

Tapi itu tidak menyebabkan Mahathir menjadi lebih marah. Yang bakal membuat Mahathir 'meletup' adalah hakikat bahawa anaknya kini ketinggalan berbanding Khairy Jamaluddin, orang yang paling tidak disukainya dalam Umno.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengawal kemarahan ini.

Kemarahan Mahathir perlu dikawal daripada 'meletup'.

Pertama mereka kena yakinkan beliau bahawa tiada arahan spesifik kepada perwakilan untuk mengekalkan ketiga-tiga Naib Presiden.

Najib menafikan bahawa beliau ada campurtangan. Beliau juga menegaskan undi adalah sulit dan ia adalah hak setiap perwakilan.

"Tak ada, ini (melibatkan) 150,000 perwakilan, macamana nak campur tangan? Undi semua adalah sulit. Semua orang boleh beri pandangan di semua peringkat tetapi akhirnya undi itu adalah undi sulit dan ia hak setiap perwakilan," tegasnya.

Muhyiddin turut sama-sama menyatakan bahawa menafikan keputusan pemilihan di Bahagian Pagoh sebagai isyarat kepada bahagian-bahagian lain untuk mengekalkan tiga penyandang Naib Presiden Umno.

Perlu nafi supaya Mahathir tak 'meletup'. Jika Mahathir 'meletup' dan bertekad untuk membalas malu yang terpalit pada anaknya, Najib dan Muhyiddin akan mengalami mimpi ngeri sebagaimana Tun Abdullah Badawi dulu.

Betul telahan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, pemilihan Umno kali ini adalah perang proksi.

Tapi ramai yang tersilap pandang, berkata ini perang Najib-Mahathir. Yang menang ialah orang Pak Lah.

Masa depan Umno kini dilihat jatuh di tangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy.

Mukhriz nak duduk di mana?

Mahathir tak sangka tewas pada Pak Lah yang mendiamkan diri. Ini bakal menyebabkannya bertambah marah.

Apakah masa depan Mukhriz dengan Khairy di depan? Ini kali kedua Khairy mengatasi Mukhriz di dalam Umno.

Pertembungan mereka bermula sejak 2009 yang lalu, Mukhriz yang tewas.

Walaupun Mukhriz kini menjadi Menteri Besar Kedah, Khairy tetap menang.

Untuk mengubati hati Mahathir, diyakini Mukhriz akan dilantik menjadi ahli MT.

Tapi apakah ia cukup untuk mengubati hati Mahathir yang terluka.

Di PRK Sg Limau, apakah pro-Khairy akan membantu Mukhriz? Kemenangan Mukhriz di sana bakal menaikkan Mukhriz semula. Kejatuhan Mukhriz di Sg Limau akan memalapkan kareer politiknya.

Era baru Umno bermula dengan Mukhriz dan Khairy bertarung untuk dekad-dekad akan datang jika Umno tak tumbang di medan pilihan raya.

Apa pula Mahathir akan lakukan untuk tahun-tahun akhir hidup beliau untuk ‘mengubah’ Umno?

Walaupun ditegur, ditulis sinis dan dimarah beliau, Umno tetap tidak mahu berubah sehingga terkorban anaknya di medan pertandingan.

Najib dan Muhyiddin tidak akan senang duduk tiga tahun ini sebab tiada siapa yang tahu apa yang Mahathir bakal lakukan.

Mereka tahu jika Mahathir tekad ingin lakukan sesuatu, tiada siapa yang boleh menghalangnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan