Diet dan senaman untuk penghidap kencing manis

HARAKAHDAILY
CARA terbaik untuk melawan penyakit kencing manis atau diabetes adalah melalui perubahan gaya hidup khususnya menggabungkan diet dengan senaman.

Ini bukanlah perkara baru. Pengkaji diabetes dan para pakar selalu mengesyorkan perubahan gaya hidup sebagai senjata utama melawan diabetes. Pelbagai kajian menunjukkan kemungkinan seseorang menghidap diabetes adalah sangat rendah jika mereka bersenam dan mengamal diet yang sihat.

Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan boleh mengurangkan risiko mendapat diabetes jika berjaya mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya 10 paun.

Ini adalah berita baik untuk mereka yang mempunyai risiko sederhana atau tinggi untuk mendapat diabetes. Perubahan yang perlu dilakukan bukanlah besar atau mendadak.

Mereka hanya perlu mengubah sedikit cara hidup demi untuk mengelakkan dari mendapat penyakit diabetes. Ini adalah sesuatu yang besar bagi setiap individu memandangkan ianya dapat mengawal penyakit yang sangat berbahaya.

Mereka yang obes dan mempunyai berat badan berlebihan sebenarnya mempunyai reseptor insulin yang lebih rendah dari mereka yang mempunyai berat badan normal. Ini menerangkan kenapa mereka yang menghidap diabetes biasanya berat lampau atau obes.

Lemak berlebihan membuatkan tubuh individu berkenaan tidak sensitif kepada insulin. Ini bermakna individu yang berat lampau memerlukan lebih banyak insulin dari mereka dengan berat normal. Inilah sebab mengapa mengurangkan berat badan akan mengurangkan dengan banyaknya risiko mendapat diabetes.

Menukar diet: Satu dari cara terbaik melawan diabetes

Kuncinya adalah menggabungkan senaman dengan diet yang betul. Diet yang betul bukanlah hanya mengurangkan pengambilan kalori. Ia termasuk mengambil makanan yang betul. Kita patut mengelakkan diri dari mengambil makanan yang kaya dengan lemak terutamanya lemak binatang.

Kita juga patut mengurangkan memakan daging merah, produk tenusu dan telur. Pengambilan gula pasir (putih), beras putih dan gandum putih juga wajar dikurangkan. Sebaliknya kita patut mengambil bijirin tulen seperti beras merah atau coklat dan gandum tulen.

Ada juga makanan yang mempunyai kesan seperti insulin kepada tubuh bila dimakan. Sebagai contoh timun, bawang putih, soya, germa (biji) gandum, buah avocado, kacang hijau, gandum hitam, minyak bijan, sayur-sayuran hijau dan kubis Brussels sprout. Individu yang merasakan mereka mempunyai risiko mendapat diabetes patut tingkatkan pengambilan makanan tersebut.

Pengambilan serat juga akan mengurangkan risiko mendapat diabetes. Makanan yang mengandungi serat yang tinggi biasanya mengandungi kurang gula. Mereka yang menghidap diabetes atau mempunyai risiko mendapat diabetes tidak dapat memproses gula dengan baik.

Individu yang mempunyai risiko mendapat diabates patut meningkatkan pengambilan serat. Mereka patut mengambil lebih sayur-sayuran, buah-buahan, produk gandum tulen dan produk bijirin tulen. Pengambilan gula putih dan makanan yang tinggi kandungan gula putih mesti dikurangkan. Anda perlu menggantikan makanan tersebut dengan yang mengandungi serat yang tinggi.

Mereka yang ingin mengelakkan diabetes juga patut menjauhi minuman beralkohol. Alkohol akan mengurangkan tolerans glukosa terutamanya bagi mereka yang telah berumur dan mereka yang mempunyai risiko mendapat diabetes. Tambah lagi, pesakit diabetes yang minum walau sedikit minuman beralkohol berkemungkinan besar akan rosak mata dan saraf mereka.

Selain dari minuman beralkohol, merokok juga patut dielakkan untuk selamat dari mendapat diabetes. Rokok meningkatkan risiko penyakit jantung, sakit buah pinggang dan lain-lain masalah kesihatan berkaitan dengan diabetes. Perokok tegar lebih mudah mendapat diabetes dari bukan perokok. Jadi sekiranya anda merokok, berhentilah dari tabiat tersebut demi kesihatan diri dan keluarga. Jika anda tidak merokok, jauhilah diri dari tabiat tersebut.

Senaman melindungi anda dari diabetes


Kedua-dua jenis diabetes (jenis 1 dan 2) boleh dielakkan atau diperbaiki dengan selalu melakukan senaman ringan. Fakta menunjukkan individu yang menghidap diabetes jenis 1, yang selalu bersenam, memerlukan kurang insulin. Manakala individu sihat yang selalu bersenam berkemungkinan besar tidak akan mendapat diabetes jenis 2.

Sebabnya bersenam mengurangkan lemak badan dan seterusnya menambah baik darjat sensitif badan terhadap insulin.

Senaman tidak semestinya senaman berat terutamanya jika sudah meningkat usia. Senaman mudah seperti berjalan, berlari, berenang dan berbasikal dapat memperbaiki tahap gula dalam darah.

Senaman memperbaiki penggunaan glukosa oleh otot-otot berkenaan. Kesannya akan kekal lebih dari dua hari. Profil lemak darah dan tekanan darah yang memberi kesan kepada diabetes juga akan bertambah baik dengan selalu bersenam.

Setiap individu, terutamanya penghidap diabetes, perlu memantau paras gula dalam darah bila melakukan senaman. Ini disebabkan senaman boleh mengurangkan dan juga meningkatkan paras gula dalam darah.

Anda dinasihatkan supaya meminta nasihat doktor sebelum menjalani apa-apa program senaman. 
 - kesihatan.biz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan