Zabidi Saidi
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Rabu lalu (27 November) meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkuat kuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.
Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.
Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN dari RM6,000 kepada RM11,250.
Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada 22 November bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75 peratus daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak.
“Kenaikan gaji ini dibuat berdasarkan kepada bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat,” katanya.
Heboh seluruh negara kerana kenaikannya terlalu tinggi. Gaji Speaker pun hampir sama dengan gaji Perdana Menteri. Malah gaji ADUN lebih tinggi dari gaji ahli parlimen.
Pada PRU ke 14, lebih ramai calon yang akan bertanding kerusi DUN daripada kerusi parlimen di Selangor memandangkan gaji ADUN lebih besar dari gaji ahli parlimen.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat kenaikan gaji wakil rakyat di Selangor agak tinggi dan Menteri Besar, Khalid Ibrahim perlu mencari jalan jika ia boleh dikaji semula.
Menurutnya, Khalid sudah menjelaskan perkara itu kepada beliau dan sekarang Khalid wajar menjelaskan perkara itu kepada orang ramai menerusi media.
“Saya beritahu MB kenaikan itu agak tinggi dan beliau perlu jelaskan kepada Pakatan Rakyat alasan ia dilakukan.
“Khalid telah berikan penjelasan dan sekarang dia perlu beri penjelasan kepada media juga akan alasannya berbuat demikian serta apa tindakan untuk mempertimbangkannya semula,” kata Anwar sewaktu ditemui wartawan di Parlimen tengah hari Khamis lalu.
Anwar turut menolak alasan Khalid yang mengusulkan kenaikan itu berasaskan formula 75 peratus daripada gaji dan elaun yang diterima wakil rakyat Sarawak.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menggesa Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim menangguhkan kenaikan gaji buat wakil rakyat Selangor yang akan berkuat kuasa mulai tahun depan.
Menurutnya, perkara tersebut diputuskan tanpa perbincangan dengan wakil rakyat lain dan kajian semula perlu dibuat agar kadar kenaikannya lebih munasabah.
“Saya cadangkan kenaikan elaun ini ditangguhkan dan dikaji semula agar lebih munasabah dan diterangkan kepada rakyat akan kenaikan ini,” kata Azmin yang juga merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor.
Exco Kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim menyelar Azmin Ali kerana beliau sebenarnya ada di dalam sidang dewan undangan negeri sewaktu rang undang-undang itu dibentangkan tetapi memilih untuk berdiam diri.
“Apabila rang undang-undang itu dibentangkan, dibahas dan diluluskan, beliau berada di dalam dewan. Beliau tidak berkata apa-apa walau sepatah pun…
“Kecuali dua ADUN iaitu Sekinchan (Ng Suee Lim) dan Kampung Tunku (Lau Weng San) yang menyokong rang undang-undang itu, tiada seorang pun daripada yang menghadiri sidang membahaskan rang undang-undang gaji itu bercakap atau membangkang.
ADUN Batu Caves Amiruddin Shari yang mempertahankan kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) Azmin Ali berhubung isu kenaikan gaji wakil rakyat di negeri itu sekaligus menempelak Exco Kerajaan Selangor Datuk Teng Chang Kim yang mengkritiknya.
Amiruddin berkata beliau memandang serius kenyataan Teng yang membidas Azmin dan tidak wajar sebagai exco kerajaan negeri menyeluarkan kenyataan yang dianggapnya “hanya mengeruh lagi keadaan”.
“Tidak ada amalan dalam negara-negara komanwel di mana Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berperanan untuk membantah usul yang dibawakan oleh kerajaan.
“Saya tegaskan bahawa peranan BBC dalam Dewan Persidangan adalah untuk mendukung usul yang dibawakan oleh kerajaan,” kata Amiruddin.
Khalid Ibrahim yang berkeras mahu melaksanakan kenaikan gaji itu berkata kenaikan gaji itu adalah muktamad.
Beliau juga sekaligus menolak cadangan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali supaya menangguhkan dulu pelaksanaannya.
Khalid berkata Azmin boleh menderma tambahan gajinya itu kepada badan amal jika beliau tidak puas hati.
Katanya, jika Azmin tidak mahu menerima kenaikan gaji itu, itu hak individu untuk menolaknya.
“Jika (beliau) tak mahu, tak apalah,” kata Khalid
Kenaikan gaji baru untuk menteri besar, exco dan ADUN di Selangor yang diumumkan Khalid Ibrahim semalam menimbulkan kritikan pelbagai pihak termasuk mantan menteri besar Tan Sri Abu Hassan Omar.
Mereka menyifatkan keputusan kenaikan tersebut adalah tidak wajar dan perlu mengutamakan kepentingan rakyat.
Abu Hassan tidak melihat rasional DUN Selangor meluluskan kenaikan gaji itu kerana kerajaan Pakatan belum mampu mengagihkan kekayaan ke seluruh negara, masih ada kawasan belum dimajukan sepenuhnya dan ramai rakyat masih menderita.
“Sebarang kenaikan gaji dan elaun perlu ada kewajarannya. Ketika saya mentadbir Selangor saya tidak pernah menaikan gaji dan elaun Menteri Besar, exco dan ADUN.
“Kita perlu fikirkan rakyat terlebih dulu,” katanya.
Perkasa turut menyindir Khalid berhubung dengan kenaikan gaji yag tidak manasabah itu.
“Kalau gaji besar, bergantung pula pada peruntukan kerajaan, sesiapa pun boleh jadi wakil rakyat. Orang pekak,bisu dan buta pun boleh jadi wakil rakyat.”kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.
Pemimpin kumpulan pendesak Melayu itu berhujah, menjadi wakil rakyat bermaksud pemimpin mesti berkorban, malah harta sendiri demi kepentingan rakyat.
“Kalaulah kerajaan BN yang naikkan gaji seumpama ini, riuh rendah mereka serang,” katanya sambil menyeru kakitangan kerajaan membantah kenaikan itu.
“Mereka juga ada beban tugas lebih dari wakil rakyat. Inilah yang dikatakan pagar makan padi.” tegas beliau.
Sudah dua kali Anwar Ibrahim menegur Khalid secara terbuka. Sebagai bekas tokoh korporat, Khalid berjaya mengurus Selangor sehingga mendapat rezab sebanyak RM2.6 bilion. Tetapi mengambil sebahagian dari RM2.6 bilion itu untuk gaji para pembesar negeri merupakan satu tindakan yang tidak wajar.
Bukan kita tidak bersetuju dengan kenaikan ini tetapi biarlah memadai sebanyak 20 peratus kerana rakyat amat terbeban dengan gaya hidup sekarang.
Selamatkah Khalid kali ini? Adakah Khalid akan menarik balik rang undang-undang yang sudah diluluskan itu? Atau adakah Khalid akan disuruh meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana kontroversi ini. Sama-sama kita lihat nasib Khalid kali ini.
Perkara kenaikan gaji adun dn exco selangor adalah isu bola tanggong utk pembangkang bagi menjatuhkn mb TSKI.kalu mb jatuh,pr juga turut jatuh.pembangkang xperlu susah2 nak fikir,mp dn adun pr boleh jatuhkan mb sendiri.bila dah jatuh,baru hampa ada akai.
BalasPadam