SEOUL: Lebih 100 ahli keluarga bapa saudara kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (gambar) yang dijatuhi hukuman mati baru-baru ini, termasuk kanak-kanak dan duta negara itu ke Cuba dan Malaysia, sama ada telah dibunuh atau dipenjarakan, menurut beberapa sumber, semalam.
Bapa saudara pemimpin Korea Utara itu, Jang Song-thaek, 67, sebelum ini merupakan seorang pemimpin tertinggi tentera yang berpengaruh dijatuhi hukuman mati pada Disember lalu atas kesalahan mengkhianat dan cuba menggulingkan pemimpin negara berkenaan.
Song-thaek juga didapati cuba mendapatkan sokongan tentera bagi melancarkan rampasan kuasa.
''Hampir kesemua ahli keluarga terdekat Song-thaek telah dibuhuh.
"Kesemua ahli keluarga Song-thaek telah dijatuhkan hukuman mati, termasuk kanak-kanak," kata satu sumber yang enggan dikenali.
Menurut sumber itu, antara mereka yang dibunuh termasuk saudara perempuan Song-thaek, Jang Kye-sun, suaminya dan Duta Korea Utara ke Cuba, Jon Yong-jin, dan Duta Korea Utara ke Malaysia, Jang Yong-chol, yang merupakan anak saudara lelaki Song-thaek serta dua anak lelakinya.
Kesemua mereka termasuk anak lelaki, anak perempuan dan cucu Song-thaek serta dua saudara lelakinya telah dipanggil ke Pyongyang pada awal Disember lalu dan dibunuh.
Bagaimanapun, masih tidak jelas bilakah mereka dibunuh, namun mereka dipercayai telah dibunuh sejurus Song-thaek dijatuhi hukuman mati pada 12 Disember lalu.
''Beberapa orang ahli keluarga Song-thaek ditembak dengan pistol sehingga mati di hadapan orang ramai setelah mereka diheret keluar dari apartmen mereka,'' kata sumber itu.
Menurut sumber, sebahagian lagi ahli keluarga Song-thaek termasuk isteri Duta Korea Utara ke Malaysia dilepaskan daripada hukuman bunuh dan dihantar ke kampung terpencil bersama ahli keluarga masing-masing. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan