MUHAMAD MAT YAKIM
SEJAK semalam kita heboh dengan cerita ‘bughah’ yang mana puncanya dikatakan berasal usul daripada kenyataan seorang mufti yang dilaporkan berkata kumpulan demonstran pada malam tahun baru di Kuala Lumpur dua hari lalu sebagai ‘bughah’ dan ‘bughah’ mengikut hukum adalah halal darah mereka.
Keras. Memang sangat keras. Dan oleh kerana kerasnya kenyataan itu, saya tidak yakin bahawa apa yang dilaporkan adalah yang sebenar sebagaimana dikatakan oleh mufti berkenaan. Maka saya pun hubungi seorang rakan wartawan Sinar Harian dan minta disahihkan oleh mufti, apa benar begitu kenyataannya sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar.
Ya, saya tahu pendapat saya ini pastinya tidak disukai oleh ramai kawan-kawan wartawan. Akan tetapi sebagai orang Islam, saya tidak dapat terima sikap ambil mudah pada kenyataan seseorang ulama apa lagi yang bertaraf mufti.
Ini kerana apa yang juga yang diperkatakannya, adalah membawa imej, reputasi dan kredibiliti Islam, bukan hanya pada batang tubuhnya sahaja. Maka jika sesuatu kenyataan itu kontroversi sifatnya, biarlah apa yang disiarkan itu 100 peratus sebagaimana yang dikata dan yang 100 peratus itulah juga disiarkan dalam media.
Implikasi daripada hukum ‘halal darah’ adalah sangat berat. Saya berasa teramat sedih melihat kenyataan-kenyataan biadab, maki hamun yang bukan sahaja tidak seharusnya dituju kepada seorang mufti atau ulama malahan juga kepada orang biasa seperti saya yang kini sudah jadi mainan dalam media sosial.
Saya yakin, daripada yang memaki hamun mufti itu, termasuk juga yang baru pertama kali kenal perkataan ‘bughah’ ataupun yang merujuk kepada Google dahulu. Selepas itu, tanpa segan silu terus maki hamun orang lain seolah-olah sudah khatam 20 atau 30 kitab hal ‘bughah’.
Begitulah hebatnya pahlawan-pahlawan papan kekunci kita!
Walau apa pun, saya akui bahawa saya sendiri terkejut melihat kenyataan itu tetapi saya ambil pendekatan tidak mahu terus percaya bulat-bulat. Saya bukan kata keseluruhan tetapi mungkin kenyataan 50 kilometer disingkat kepada 20 kilometer atau 30 kilometer sahaja. Maklumlah, sekarang minyak mahal, bukan?
Tetapi, kenalah ingat, kenyataan halal darah bukan main-main. Apa lagi jika dilaporkan dari mulut seorang mufti. Mufti adalah individu yang layak untuk berfatwa. Sedang Salman Rushdie seorang pun gegak –gempita dunia dibuatnya, inikan pula berpuluh ribu orang!
Walau apa pun, berlakunya konflik yang semacam ini menyebabkan kita secara tidak langsung dapat belajar beberapa istilah baharu dalam bahasa Arab.
Kalau dahulu kita dihadapkan dengan perkataan seperti mubahalah, muqobalah dan macam-macam ‘lah’ lagi, hari ini kita belajar ‘bughah’ pula.
Apa yang pasti, walaupun sudah macam-macam pendekatan dicadang untuk merapatkan jurang sesama kita, hakikatnya, makin lama, makin parah. Muqobalah tidak menjadi sebaliknya yang makin menjadi-jadi ialah ‘mu koho balah’ atau semakin teruk berbalah.
Nampaknya, kita tidak pernah ambil pengajaran untuk insaf dan berusaha merapatkan semula perbezaan. Apa yang kita dapat hanya belajar ‘lughah’ atau bahasa Arab!
Sebut pasal sambutan malam tahun baharu, selain ‘bughah’ ada satu lagi yang perlu disentuh iaitu ‘lurah’.
Kita semua maklum bahawa setiap tahun, sudah bertahun-tahun, sambutan tahun baharu diraikan dengan bermacam-macam pesta maksiat.
Bermula dari pertunjukan hiburan di Dataran Merdeka, aksi menunjukkan ‘lurah’ di atas pentas, kemudian berjangkit kepada meraba ‘lurah’ oleh bughah-bughah yang di bawah.
Adegan ini kemudian bersambung-sambung pula ke satu lagi ‘rah’ iaitu hotel murah yang sudah awal ditempah di Chow Kit, Jalan Raja Laut atau di mana-mana sahaja.
Tidak pernah berubah!
Aksi ‘lurah’ yang murah tetapi cara sambutannya tidak pula murah pun ada juga. Tinjaulah di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Sri Hartamas atau Bukit Bintang. Ini pesta ‘lurah’ untuk anak-anak orang kaya lagi kenamaan!
Tahun ini, DBKL peruntukan ratusan ribu ringgit kos untuk sambut tahun baharu pada ketika warga kota sudah mula kebingungan berikutan ura-ura cukai pintu akan dinaikkan.
Dan buat pertama kali, tahun ini ada suara daripada Pemuda Umno supaya sambutan tahun baharu diubah, ditinggalkan acara-acara yang ‘lagha’ sebaliknya ditumpu hanya pada acara yang bersifat agama. Pun, tidak diikut juga!
Akhirnya, yang ‘lurah’ juga yang dibenarkan bebas di bumi bertuah ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan