Mampukah Morsi kembali terajui Mesir?

BAHAGIAN PERTAMA
Pergolakan di Mesir, ekoran rampasan kuasa tentera dan pembunuhan ribuan penunjuk perasaan penyokong Presiden yang digulingkan, Dr Morsi, menimbulkan banyak persoalan. Mampukah Ikhwan Muslimin bertahan dengan kezaliman dan penindasan ini?

Wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan AZAMIN AMIN menemubual Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, tokoh yang dianggap paling layak bericara mengenainya.

HARAKAH: Apa yang boleh digambarkan situasi terkini di Mesir dan jangka hayat perjuangan Ikhwan Muslimin, setelah melalui penindasan kejam yang begitu dahsyat oleh tentera?

DR MOHAMMAD REDZUAN: Mereka yang anti-Islam dan Israel dengan gembira beranggapan bahawa Ikhwan Muslimin bakal mengalami zaman gelap dan tidak mempunyai masa depan lagi dalam konteks proses politik di Mesir. Pihak tentera dan musuh-musuh Ikhwan Muslimin di Mesir cuba menggunakan pendekatan yang dilakukan di Algeria dalam usaha menindas gerakan Islam itu dan memaparkan imej buruk sehingga perjuangan gerakan Islam tersebut ditolak oleh majoriti rakyat.

Di Algeria berikutan tindakan tentera merampas kuasa pada tahun 1992 dengan menafikan hak FIS untuk memerintah, walaupun parti Islam itu berjaya mendapat sokongan majoriti rakyat. Dalam pilihan raya tahun 1991 FIS berjaya mendapat 48 peratus undi atau 88 daripada 231 kerusi yang dipertandingkan.

Disebabkan gagal mendapat 50 peratus undi untuk menjadi pemenang mutlak, pusingan kedua pilihan raya perlu diadakan yang hampir pasti akan memberikan kemenangan kepada FIS. Bagi menghalang FIS daripada mencapai kemenangan tentera dengan direstu Barat, khususnya Perancis, bertindak merampas kuasa.

Berikutan tindakan tentera ini ramai dalam kalangan pimpinan dan penyokong FIS ditangkap dan dipenjarakan. Mereka termasuklah pemimpin utama FIS, seperti Abassi Madani dan Ali Benhaj yang kemudiannya dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun.

Penindasan kejam secara besar-besaran ini menyebabkan gerakan Islam menjadi radikal dan bertindak balas terhadap regim yang disokong tentera. Ini mengakibatkan ramai yang dibunuh dalam kalangan kedua-dua belah pihak, yang sebahagiannya didalangi tentera sehingga menyebabkan kematian yang dianggar 250,000 orang.

Melalui propaganda media dan keterbatasan golongan penentang, pihak tentera dan sekular berjaya memaparkan imej bahawa gerakan Islam yang telah mencetuskan keganasan dan menyebabkan berlakunya kesengsaraan ke atas rakyat Algeria. Ini mengakibatkan gerakan Islam ditolak rakyat Algeria dan mereka dianggap gagal dalam menjadi alternatif kepada pemerintahan sedia ada.

Inilah jawapan mengapa ketika berlaku Arab Spring di seluruh negara Afrika Utara, Algeria seolah-olah tidak banyak terkesan dengan kebangkitan ini dan regim yang memerintah boleh terus berkuasa dengan selesa.

Tentera Mesir menggunakan model sama dalam modus operandinya menindas Ikhwan Muslimin?

Ya, tentera menggalakkan rakyat yang tidak menyokong Ikhwan Muslimin supaya turun di jalan raya menyatakan protes. Kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Tamarrod ini memberi gambaran bahawa puluhan juta rakyat menentang pemerintahan Ikhwan Muslimin yang dipimpin Mohamad Morsi.

Dengan menggunakaan alasan kebangkitan popular rakyat dan bagi mengembalikan keadilan, tentera bertindak merampas kuasa pada 3 Julai 2013. Ramai pemimpin Ikhwan Muslimin, termasuklah Morsi ditangkap. Ia diikuti penangkapan besar-besaran yang melibat hampir semua pimpinan kanan Ikhwan Muslimin di semua peringkat di seluruh negara.

Sebagai tindak balas kepada tindakan tentera ini, penyokong Ikhwan mengadakan protes secara aman, khususnya yang berpusat di Masjid Rabaa al-Adawiya. Walaupun protes dilakukan secara aman, tentera bertindak ganas apabila melakukan pembunuhan secara zalim pada Subuh 14 Ogos 2013.

Akibatnya lebih seribu pengikut Ikhwan mati dibunuh. Pembunuhan ini diikuti dengan penindasan kejam yang berterusan dilakukan. Pada 23 September 2013 Ikhwan Muslimin diharamkan dan harta miliknya dirampas.

Melihat perkembangan yang melibatkan Ikhwan Muslimin ini jelas menunjukkan tentera cuba menggunakan skrip sama seperti dilakukan ke atas FIS di Algeria dan penindasan kejam ke atas Ikhwan pada 1954 dengan mengharapkan hasil yang sama.

Namun begitu, ternyata terdapat perbezaan agak nyata dari segi reaksi dan proses yang berlaku. Pada 1954 regim tentera yang menggelarkan diri mereka Free Officers (Pegawai Tentera Bebas) dengan diketuai Gamal Abd al-Nasser berada pada kedudukan amat popular setelah menggulingkan Raja Farouk.

Melalui reformasi tanah yang amat popular di kalangan penduduk desa, Nasser muncul sebagai seorang wira yamg memberikan harapan setelah penduduk berdekad-dekad dieksploitasi tuan-tuan tanah yang kaya. Nasser juga berjaya menghapuskan pengaruh tuan-tuan tanah ini dan pengaruh parti Wafd yang sebelumnya merupakan sebuah parti yang popular kerana memperjuangkan kemerdekaan Mesir daripada penjajahan British.

Musuh Nasser pada waktu ini hanyalah Ikhwan Muslimin yang lebih tertumpu pengaruhnya di kawasan kota. Dengan jentera propaganda dan menggunakan sokongan popular rakyat, Ikhwan berjaya ditindas dan tidak mampu untuk menjadi saingan regim Nasser dan rakan-rakannya selama berdekad-dekad. Manakala kumpulan seperti Parti Wafd, Baath, Nasionalis dan lain-lain semuanya terkubur.

Mungkin kekuatan tarbiyyah menyebelahi Ikhwan?

Walaupun dengan pengharaman dan penindasan, namun kekuatan intelektual, dibantu program usrah dan tarbiyyah yang berterusan serta tersusun, Ikhwan Muslimin masih mampu meneruskan keberadaan dan kesinambungan dalam masyarakat, walaupun mengalami pelbagai bentuk penindasan silih berganti.

Dalam konteks penindasan kejam, Ogos lalu, tentera berbuat demikian sebagai provokasi. Mereka mengharapkan tindak balas, kerana tidak balas Ikhwan akan menyebabkan Ikhwan kehilangan sokongan rakyat. Sebaliknya, Ikhwan bertindak matang dengan tidak bertindak balas yang menumpahkan darah, malahan mengambil sikap menjauhkan diri daripada kumpulan yang yang mensasar pihak tentera dan polis sebagai sasaran ganas membalas dendam.

Selain itu, Ikhwan Muslimin juga berjaya meraih simpati di atas kezaliman yang mereka terima sehingga berjaya melahirkan symbol RABIA yang popular, bukan sahaja di Mesir, malahan di seluruh dunia sebagai simbol penentangan terhadap kezaliman tentera di bawah Abd al-Fattah al-Sissi.

Tindak balas Ikhwan lebih tertumpu kepada protes jalanan yang dilakukan secara mingguan. Dan itupun ditumpukan di kawasan-kawasan yang kurang berisiko yang boleh membawa kepada pertumpahan darah.

Melalui peranan media sosial yang tidak ada pada 1954 dan ketika penindasan ke atas FIS pada 1992, Ikhwan Muslimin berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka konsisten dalam perjuangan menentang regim yang zalim dan berusaha membawa Mesir ke arah masa depan lebih baik.

Pendekatan Ikhwan ini ternyata berjaya mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan tersebut dan meletakkan pemerintah tentera di bawah al-Sissi dalam keadaan tersepit. Tragedi ribuan penyokong Ikhwan yang memprotes secara aman dibunuh dengan kejam telah memadamkan mitos yang disebarkan sebelum ini, yang menuduh Ikhwan tidak menyumbang peranan besar dalam memaksa Hosni Mubarak meletak jawatan pada bulan Februari 2011 sehingga mengakibatkan sekitar 500 orang mati terbunuh.

Ikhwan membuktikan bahawa pengorbanan mereka untuk membawa Mesir ke arah negara yang lebih cemerlang adalah lebih mendalam, lebih lama dan telah banyak memakan korban.

Mampukah pendekatan zalim tentera dalam usaha menindas Ikhwan Muslimin ini menghapuskan pengaruh Ikhwan Muslimin?

Dari segi sejarah, Ikhwan Muslimin perlu difahami kewujudannya sebagai sebahagian daripada masyarakat Mesir. Sejak ditubuhkan pada 1928, Ikhwan sudah melalui pelbagai penindasan dahsyat, jauh mengatasi penindasan sekarang.

Sehingga waktu ini pemimpin utama Ikhwan cuma ditahan dan belum lagi ada yang mati di tali gantung, sedangkan penindasan tahun 1954 mengakibatkan hampir semua pemimpin utama gerakan Islam ini seperti Abd Kader Audah, Abd al-Fattah Ismail, Yusoff Tayyib dan lain-lain mati di tali gantung.

Dalam sejarah Mesir, terbukti parti-parti sekular dan nasionalis seperti Wafd, Saadist, Baath dan lain-lain sudah lama terkubur dengan penindasan kejam. Namun begitu, Ikhwan Muslimin yang ditindas dengan lebih hebat masih mampu bangun dan tampil dengan gagah di tengah-tengah masyarakat pada tahun 2011-2012.

Terbukti suasana hari ini banyak berubah. Menggunakan skrip dan modus operandi lama untuk menindas Ikhwan tidak lagi boleh dilakukan secara seweanang-wenangnya. Masyarakat Mesir hari ini bukan lagi masyarakat yang didominasikan petani dan tuan tanah.

Kelompok kelas menengah dan terpelajar semakin membesar dalam masyarakat. Mereka ini terdedah kepada teknologi maklumat yang tidak lagi mudah diperbodohkan dengan propaganda popular. Penggunaan Internet, Youtube, facebook dan kemudahan media yang digunakan secara meluas merupakan senjata yang lebih berkesan daripada mengangkat senjata dan perjuangan yang menumpahkan darah.

Penggunaan media sosial ini berjaya memberi kesan besar dan mendalam dalam penentangan Ikhwan terhadap regim haram yang menggulingkan presiden yang dipilih rakyat. Melalui media sosial ini juga pelbagai konspirasi berjaya didedahkan. Pemerintah tentera juga gagal mendapat dukungan rakyat kerana mereka yang dipilih menggantikan pemerintahan yang diterajui Ikhwan merupakan mereka yang ditolak rakyat.

Memilih Amr Musa sebagai orang yang diberi kepercayaan merangka perlembagaan baru tidak mengembalikan keyakinan rakyat kepada tentera kerana beliau pernah ditolak dalam pilihan raya apabila bertanding sebagai presiden.

Setelah lebih empat bulan tentera menggulingkan kerajaan Mohamad Morsi, ternyata kestabilan yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan. Ikhwan masih mampu menganjurkan demonstrasi setiap minggu dan semakin mendapat sambutan. Jangkaan dan konspirasi pihak tentera bahawa akan berlaku pertumpahan darah secara meluas juga tidak berlaku kerana para penunjuk perasaan mengelak daripada berlaku pertembungan secara terbuka dengan pihak polis.

Kekhuatiran bahawa Mesir akan terjerumus ke kancah perang saudara seperti di Syria ternyata tidak berlaku. Pihak tentera berada dalam keadaan tertekan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi membolehkan mereka terus popular dan tidak ditolak rakyat. Pembunuhan, penangkapan dan penindasan ke atas Ikhwan tidak melumpuhkan sama sekali gerakan tersebut, walaupun tidak dapat dinafikan terdapat kesan pahit yang terpaksa ditanggung.

Banyak pihak menyalahkan Morsi, khususnya kegagalan Ikhwan Muslimin untuk terus berkuasa. Apa pandangan Prof?

Memang tidak dapat dinafikan, Morsi ada kelemahannya. Tetapi pengkaji yang rasional harus berlaku adil kepada Morsi. Mustahil bagi Morsi, dalm tempoh setahun, untuk menyelesaikan masalah yang berdekad-dekad dihadapi Mesir.

Morsi mewarisi sistem pemerintahan yang lemah dari segi struktur politik, ekonomi yang tidak seimbang, masyarakat yang tidak bersistem, sistem pendidikan yang tidak berdaya saing dan pelbagai kelemahan yang sengaja dibiarkan oleh pemerintah sebelum ini yang lebih mementingkan bagaimana untuk terus kekal memerintah.

Bagi mereka yang pernah berada di Mesir, sebagai pelajar atau pelancong, akan dapat melihat dengan jelas bagaimana terbelakangnya Mesir. Agenda memperbodohkan rakyat yang diwarisi sejak zaman Firaun diteruskan setiap pemerintah hingga ke zaman Hosni Mubarak.

Agenda memperbodohkan rakyat ini seolah-olah diperlukan kerana lagi bodoh rakyat lagi baiklah kepada pemerintah. Rakyat yang diperbodohkan ini akan terus bergantung kepada kerajaan dan membolehkan pemerintahan tidak tercabar.

Makin rakyat bodoh, lebih bagus kerana sekali gus rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan. Agenda negara yang memperbodoh dan memiskinkan rakyat menguntungkan pemerintah sehingga meletakkan rakyat dibuai dengan keyakinan bahawa mereka sudah diberikan yang terbaik dan perlu sentiasa bersyukur dengan pemberian pemerintah.

Mungkin pengalaman Prof mengajar pelajar Mesir di Universiti Kaherah sejak tahun 2003 dapat menjelaskan lagi situasi di sana?

Dalam kalangan pelajar di Mesir, pilihan utama sebagai pusat melanjutkan pengajian tinggi dan dianggap paling berprestij ialah dengan belajar di American Cairo Universiti (AUC), diikuti Universiti Kaherah dan kemudiannya barulah diikuti pilihan universiti-universiti lain. Selain berprestij, kedua-dua universiti ini dianggap universiti golongan elit dan berada.

Bagi golongan ini, mereka yang mengambil bidang agama, khususnya yang belajar di Universiti al-Azhar adalah dianggap tidak berkemampuan dan datang dari kawasan luar bandar. Di Universiti al-Azhar yurannya secara relatifnya percuma jika dibandingkan dengan universiti berprestij ini yang mengenakan yuran yang tinggi. Bagi pelajar universiti berprestij ini mereka memandang rendah pada universiti yang memberikan pendidikan secara percuma.

Walaupun berbangga dengan belajar di universiti yang dianggap tersohor, seperti Universiti Kaherah, pengamatan saya berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai bidang pengajian, mendapati bahawa mutu pendidikan yang mereka terima amat rendah.

Pengetahuan am mereka tentang dunia amat sedikit dan bukan perkara aneh bagi pelajar daripada universiti tersohor ini tidak menyedari bahawa Malaysia mempunyai bangunan tinggi, bilik berhawa dingin dan umat Islam yang mampu hafal al-Quran. Universiti di Mesir juga menjalankan polisi mengambil jumlah pelajar yang ramai dan mutu pendidikannya tidak dipantau dengan mendalam.

Dalam salah satu dialog, saya pernah bertanya dekan sebuah fakulti di Universiti Kaherah yang mempunyai jumlah pelajar yang ramai tentang perancangan tenaga manusia fakultinya. Agak mengejutkan apabila jawapan yang diberikan ialah fakultinya tidak ada sebarang perancangan khusus tentang lulusan fakultinya. Menurutnya, terpulanglah kepada pelajar untuk menyertai karier yang ingin mereka lakukan dan dianggap sesuai apabila tamat pengajian.

Selain itu, pengamatan saya terhadap pelajar Universiti Kaherah juga mendapati bahawa pelajarnya juga kurang komitmen terhadap pelajaran. Mereka pergi ke universiti sekadar mendapatkan ijazah semata-mata tanpa mengambil kira ilmu yang diperoleh. Inilah senario perkembangan pendidikan di Mesir. Ini belum lagi dilihat pendidikan di sekolah menengah dan rendah.

Saya ingin membandingkan pula perkembangan pendidikan di negara-negara maju. Dalam kunjungan saya ke negara Scandinivia (Sweden, Norway, Denmark dan Finland), walaupun penduduknya tidak ramai, pendidikannya amat maju hingga negara tersebut berjaya menghasilkan banyak produk yang dimanfaat oleh manusia seluruhnya.

Melalui pendidikan yang maju masyarakat Scandinivia berjaya menjalani kehidupan berkualiti. Dengan kemajuan yang mereka capai dan jika mengikut kadar pergerakan seperti sekarang, saya menjangka 100 tahun lagipun Mesir tidak mampu bersaing dengan mereka. Ini adalah satu contoh cabaran yang paling asas yang terpaksa dihadapi oleh Morsi apabila dilantik menjadi presiden.

Bukankah kerajaan Morsi juga mewarisi pemerintahan lama yang sarat dengan pelbagai kelemahan yang tidak memihak kepadanya?

Benar, kehakiman bukan sahaja tidak memihak kepadanya, malahan berusaha untuk menyekat bidang kuasanya sebagai presiden yang dipilih rakyat. Sebaik-baik menduduki kerusi presiden, mahkamah menggantung parlimen apabila keputusan dibuat bahawa pelantikan mereka tidak sah.

Mahkamah juga cuba menghad kuasa beliau sehingga memaksanya mengeluarkan dekri bahawa keputusan yang dibuat oleh presiden tidak boleh dicabar. Walaupun tindakan ini wajar, namun ini dijadikan propaganda oleh golongan penentang bagi bertujuan memberi persepsi bahawa beliau ingin membolot kuasa dan memerintah secara diktator.

Presiden Morsi juga mewarisi pasukan keselamatan yang tidak membantunya menyelesaikan masalah rakyat yang paling asas, iaitu keselamatan.

Pasukan polis sengaja membiarkan jenayah berleluasa bagi memberikan gambaran bahawa kerajaan Morsi gagal mengawal keamanan. Keadaan ini menimbulkan kegelisahan rakyat yang merasakan mereka lebih selamat ketika pemerintahan Hosni Mubarak. Pada zaman Mubarak polis mengambil tindakan keras bagi mengekang jenayah sehingga menyebabkan masyarakat merasa takut melakukan sebarang tindak tanduk yang menyalahi undang-undang.

Mesir juga tidak dapat lari daripada konflik serantau, khususnya dalam isu Gaza dan hubungan dengan Israel. Mesir yang stabil dan kuat amat dibimbangi Israel. Kepungan dan serangan ke atas Gaza memaksa Mesir untuk turut terlibat. Mesir yang bergelut pelbagai kemelut dalam negeri turut terseret dengan konflik serantau yang kompleks yang tidak nampak penghujungnya. Menangani konflik ini menyebabkan Morsi terpaksa memberikan tumpuan dengan waktu sama terpaksa menyelesaikan masalah dalam negeri yang juga rumit.

Selain cabaran dan kekangan ini, cabaran terbesar Morsi ialah daripada tentera. Angkatan tentera berkuasa sejak tahun 1952 dan pengaruh mereka sudah berakar umbi. Di Mesir tentera adalah satu institusi. Mereka bukan sahaja terlibat sebagai pasukan bersenjata yang menjaga pertahanan Mesir, tetapi juga pada waktu yang sama terlibat dalam kegiatan ekonomi. Sepertiga kegiatan ekonomi Mesir dikuasai oleh tentera.

Setiap tahun Mesir mendapat bantuan sebanyak dua billion USD dari Amerika Syarikat yang sebahagian besarnya diperuntukkan kepada tentera. Tentera juga memiliki keistimewaan tersendiri dan merupakan kelompok istimewa dalam masyarakat Mesir. Dengan keistimewaan ini tidak mudah untuk mereka menyerahkannya kepada kerajaan yang dipimpin Morsi.

Walaupun dengan keterbatasan, sebenarnya Mesir mempunyai potensi yang amat besar untuk maju. Selain kedudukan strategik, Mesir mempunyai penduduk yang ramai dengan pasaran besar yang potensinya tidak dimanfaatkan ke peringkat maksimum. Ini disedari Morsi. Dengan sebab itulah Morsi cuba memajukan Semenanjung Sinai bagi mengurangkan tekanan Kaherah dengan kepadatan penduduknya yang tidak boleh ditampung lagi.

Selain itu, Semenanjung Sinai juga merupakan tanah yang luas dan subur serta mempunyai potensi untuk menjadi kawasan yang maju seperti yang berjaya dilakukan olegh Israel. Mesir juga mempunyai potensi yang amat besar dalam industri pelancongan. Namun begitu, industri ini tidak dibangunkan dengan baik. Pelancong yang datang ke Mesir untuk melakukan lawatan ulangan untuk kali kedua dan seterusnya agak kecil kerana sistem yang ada tidak efisyen dan persekitaran pelancongan yang tidak begitu kondusif.

Selain kekangan yang dihadapi Morsi, mungkin ada juga kelemahan dalam tempoh setahun pemerintahannya?

Sebaik menjadi Presiden, Morsi menjanjikan perubahan drastik dalam tempoh 100 hari pemerintahannya. Pengisytiharan ini terlalu bercita-cita tinggi, kerana beliau bukan meneruskan kesinambungan, sebaliknya memulakan satu yang baru dari awal. Lantaran itu, apabila sebahagian besar janjinya tidak dapat ditunaikan ini dijadikan propaganda bagi menggambarkan kelemahan pimpinannya.

Walaupun ada percubaan Morsi untuk menjadi pemerintahannya sebagai suatu yang inklusif, namun ternyata ini tidak berjaya memberikan persepsi positif dalam kalangan masyarakat. Persepsi masyarakat masih lagi beranggapan Morsi cuba mengikhwankan Mesir, bukan menjadi presiden seluruh rakyat. Seperti dalam tahun 1954, Ikhwan juga tidak berjaya dalam tahun 2012, untuk memantapkan kesepaduan di kalangan pucuk pimpinannya.

Ketika menghadapi pelbagai cabaran aktivis Ikhwan terbahagi beberapa kelompok disebabkan perbezaan uslub (pendekatan). Tokoh Ikhwan seperti Moneim Abd al-Futuh dan Kamal Helbawi mengkritik secara terbuka pendekatan Ikhwan Muslimin dan ini turut dijadikan sebagai bahan sasaran pihak musuh politik untuk menyerang Ikhwan.

Walaupun kabinet dalam kerajaan Ikhwan Muslimin turut disertai oleh orang Kristian, wanita dan golongan liberal, namun gambarannya kerajaan ini masih tebal dengan dominasi Ikhwan. Lantaran itu, apabila kerajaan Morsi digulingkan kelompok lain, tidak merasainya sebagai satu kehilangan besar.

Siapakah yang menjadi penyokong tegar Ikhwan Muslimin dan mampukah Morsi mengekalkan sokongan yang diberikan?

Jika dilihat pola sokongan terhadap Ikhwan Muslimin melalui parti FJP (Parti Kebebasan dan Keadilan), ternyata sokongan paling kuat diterima di Muhafazah (wilayah). terletak di luar Kaherah seperti Sinai, Assiut dan Aswan. Di Kaherah sokongan banyak diterima dari kawasan kelas rendah dan menengah rendah. Bagi kawasan elit seperti di Muhandisin dan Tahrir yang ramai didiami golongan kaya dan elit, sokongan terhadap Morsi tidaklah begitu kuat.

Secara perbandingan hal sama berlaku di Turki. Bagi kawasan yang ramai didiami golongan sekular, kecenderungannya lebih menyokong CHP, bukan AKP. Di kawasan pelancongan di Turki seperti Marmara, Samsun dan sebagainya, yang pegangan kepada agama agak longgar, sokongan terhadap AKP agak lemah jika dibandingkan dengan kawasan desa yang masih kuat berpegang kepada agama.

Masyarakat Mesir yang diwarisi oleh Morsi merupakan masyarakat yang mempunyai jurang ekonomi dan perbezaan taraf hidup yang amat luas. Bagi golongan miskin, yakni kelompok majoriti, kemiskinannya amat ketara, kehidupan cukup daif. Golongan kaya pula dengan kekayaan luar biasa, walaupun jumlahnya kecil. Gaya hidup mereka mengikut cara Barat. Mereka bercuti di Paris, London atau New York, manakala jika bercuti dalam negeri destinasinya ialah Sharm al-Sheikh.

Bagi golongan miskin mereka hanya bercuti Iskandariah. Dalam masyarakat Mesir, kelas menengah agak kecil dan lebih tertumpu kepada kelas menengah rendah. Bagi golongan miskin, yang menjadi keprihatinan adakah makanan akan berada di atas meja pada waktu makan seterusnya. Bagi golongan ini keprihatinan terhadap perkembangan negara, apatah lagi meningkatkan martabat ummah, amat sedikit.

Lantaran itu, apabila berlaku kebangkitan yang memaksa peletakan jawatan Hosni Mubarak, penggerak utamanya ialah golongan kelas menengah rendah dan belia. Golongan menengah atas dan golongan elit yang yang sekular selesa dengan pemerintahan regim Mubarak dan tidak terlibat secara langsung dalam kebangkitan.

Apabila Morsi dilantik presiden mewakili FJP. golongan elit masih terus dengan sikap anti-Ikhwan. Kelas rendah memberi sokongan dengan harapan mendapat hasil segera. Ini dilema pemerintahan Morsi sehingga menyebabkan ramai yang menyokongnya bertindak menyertai Tamarrod kerana tidak mendapat manfaat segera sebagaimana diharapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan