LIEW CHIN TONG
TATKALA Singapura bersiap sedia menyambut zaman pasca Lee Kuan Yew, berdepan dengan senario di mana susuk tubuh Harry Lee semakin uzur, secara ironinya Malaysia pula berkemungkinan menyambut kedatangan satu zaman yang didominasi Tun Dr Mahathir Mohamad.
Secara peribadi saya meramalkan bahawa seandainya PM Najib Razak tidak menyerang balas, menjana pembaharuan yang menyeluruh, maka beliau mungkin menjadi Perdana Menteri keempat yang dijatuhkan Dr Mahathir, menyusul langkah Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Biar kita imbas bagaimana Abdullah ditumbangkan Mahathir.
Abdullah mengambil alih tampuk kuasa dengan menonjolkan imej “Saya bukan Mahathir”, didukung dengan suara rakyat. “Bukan- Mahathir” bermaksud, lebih demokratik, lebih bebas, dan lebih lemah-lembut dari segi politik, malah kurang kronisme dari segi ekonomi.
Namun demikian, dengan cepat Abdullah terjerumus ke dalam kancah, sehingga gagal membebaskan diri daripada lumpur. Abdullah terjebak dengan “Sindrom Gorbachev” selepas PRU11 pada tahun 2004, diselubungi kekhuatiran bahawa kuasa boleh terlucut daripada tangannya seandainya menggerakkan pembaharuan yang mendadak. Akhirnya terlalu ramai muka-muka dari puak konservatif dirangkum ke dalam Kabinetnya, sehingga gagal memenuhi harapan reformasi daripada kalangan rakyat. Lebih-lebih lagi, pemikir dan penasihat yang seharusnya menjana pembaharuan di sisinya pula dengan cepat terjebak ke dalam pertikaian amalan rasuah, lantas hilang keabsahan dari segi politik.
Mahathir menyerang kerajaan Abdullah buat kali pertama pada Jun 2005, dan menyerang Abdullah secara peribadi pada Jun 2006. Yang selebihnya tercatat sebagai sejarah.
Saya perlu menambah mengapa Mahathir dikatakan memainkan peranan untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, secara ringkas dalam ruang yang sekecil ini. Kita sedia maklum Mahathir dipecat daripada Umno selepas tragedi 13 Mei 1969, lantaran suratnya untuk mendesak agar Tunku berundur.
Meskipun Mahathir mendakwa surat itu adalah sulit, salinannya tersebar luas diedarkan di sekitar Kuala Lumpur, dalam universiti dan kampung Melayu. Mahathir mempersalahkan Tunku kerana tunduk kepada orang Cina. Tafsiran Mahathir terhadap isu tragedi 13 Mei akhirnya diterjemahkan dalam hujah dan dasar rasmi kerajaan. Tunku berundur pada tahun 1970.
Dalam kes Hussein Onn pula, Mahathir adalah dalang yang menyokong Sulaiman Ahmad (atau “Sulaiman Palestin”) untuk mencabar Hussein Onn dalam pemilihan Umno pada tahun 1978, sungguhpun ramai yang menganggap bahawa Harun Idris memainkan peranan di sebalik percaturan tersebut ketika itu. Buat kali pertama sejak penubuhannya Umno menyaksikan pertandingan jawatan Presiden, dan calon ini berjaya meraih kira-kira 20% undi. Tujuannya bukan untuk menewaskan Hussein Onn tetapi untuk menghakis kredibilitinya.
Jelas, Mahathir adalah pihak yang menerima manfaat selepas Hussein Onn berundur. Mahathir diasak dari kiri dan kanan, terutamanya oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie, sejak menjadi timbalan Hussein Onn. Malah Mahathir dituduh sebagai “ejen komunis”. Tiga hari sebelum Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, setiausaha politiknya Siddiq Mohamed Ghouse ditahan di bawah ISA atas tuduhan “ejen KGB”! Sememangnya Mahathir tidak sabar-sabar untuk menamatkan zaman Hussein Onn.
Sejarah berulang. Padahal kita tahu bahawa Mahathir tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Najib sebelum PRU13 pada tahun 2013. Namun, Mahathir tetap berkempen untuk Umno kerana ingin memakbulkan impiannya agar anaknya Mukhriz Mahathir dinobatkan sebagai Menteri Besar Kedah.
Kini, Mahathir tidak terikat dengan apa-apa selepas kekalahan Mukhriz dalam pemilihan Umno pada November 2013. Dari apa yang diamati sepanjang tempoh dua minggu pertama pada tahun 2014, nampaknya Mahathir telah bersedia untuk “menukarkan” Perdana Menteri. Kemungkinan Najib gagal mengubah nasib dirinya.
Masalah dengan Najib adalah beliau kurang ikhlas dalam pembaharuan, malah langkahnya tidak setanding Abdullah. Jikalau kita imbas kembali, ramai yang menganggap bahawa Abdullah adalah golongan demokrat yang mempunyai keikhlasan untuk membawa pembaharuan, tetapi tidak berkeupayaan dari segi pelaksanaan.
Dari segi hubungan etnik, walaupun menyaksikan kebangkitan golongan sayap kanan pada zaman Abdullah, tetapi beliau masih dilihat berhasrat untuk memupuk integrasi kaum, cuma momentumnya terlalu lemah. Dari segi rasuah, ramai yang menuduh kerajaan korup ketika zaman Abdullah. Namun, kita rasa “Abdullah tidaklah sampai ke tahap sebegitu” apabila melihat kemewahan dan keborosan pasangan suami isteri Najib dan Rosmah Mansor.
Najib perlu memenangi undi di pertengahan dalam politik seandainya mahu menyelamatkan dirinya. Najib perlu menangkis puak konservatif, memandang berat keperitan rakyat jelata, mengasingkan dirinya daripada Mahathirisme. Jika tidak, Najib bakal menjadi PM keempat yang dijatuhkan Mahathir, dan Malaysia akan menyaksikan kembalinya Mahathirisme.
Liew Chin Tong adalah ahli Parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Beliau boleh dihubungi di supportlct@ liewchintong.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan