PRK Kajang: Bersih 2.0 kecam PKR - politik kotor yang patut dikutuk

ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Gabungan Pilihanraya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) membidas tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh yang meletak jawatan secara tiba-tiba tanpa alasan kukuh.

Menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan kepada rakyat, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, alasan perletakan jawatan Lee iaitu demi kepentingan politik PKR mencerminkan pertimbangan yang lemah parti berkenaan.

"Peletakan jawatan Lee adalah merupakan pengkhianatan amanah rakyat kerana kurang daripada lapan bulan yang lalu, rakyat di Kajang mengundinya dengan harapan beliau akan kekal menjadi wakil mereka untuk tempoh lima tahun," kata gabungan itu pada Selasa.

Menerusi kenyataan bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 yang diketuai Maria Chin Abdullah, gabungan itu turut melahirkan kekesalan kerana tindakan Lee mendapat restu PKR.

"Adalah amat mengejutkan kerana PKR bersetuju dengan peletakan jawatan Lee malah menamakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pilihan raya kecil itu nanti.

"Ini satu bentuk politik kotor yang patut dikutuk," katanya.

Kerusi DUN Kajang kosong berikutan Lee meletak jawatan dari kedudukannya pada Isnin secara tiba-tiba.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan