Timmy Say
23 Mac 2014: Datuk Seri Anwar Ibrahim menang Pilihan Raya Kecil Kajang.
Apa yang akan berlaku selepas itu? Berikut adalah senario imaginasi kepada apa yang bakal berlaku, sekiranya Langkah Kajang, sebagaimana yang rakyat jangkakan (bukannya apa yang PKR terangkan) bertujuan untuk membuka laluan kepada Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
Setakat artikel ini ditulis, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata tiada pelan untuk melepaskan jawatan.
Segala yang dibicarakan mengenai pertukaran MB Selangor hanyalah sekadar spekulasi.
PAS pula berjanji membantu di PRK Kajang dan menegaskan kedudukan MB Selangor adalah tidak berbangkit (kerana belum dibincangkan) walau apa jua keputusan yang direkodkan Anwar di Kajang.
Anwar pada kempen penerangan Langkah Kajang (bukan kempen PRK katanya) memberikan pelbagai bayangan beliau ‘bakal’ menggantikan Khalid, akan tetapi tidak berani mengesahkannya, dan ingin membawa Mat Taib ke pentadbiran Selangor.
PKR menafikan laporan eksklusif The Star bahawa mereka memaksa Khalid menandatangani surat pelepasan jawatan sebagai MB Selangor.
PKR juga pernah menafikan laporan The Star sebelum ini mengenai ura-ura satu PRK akan diadakan untuk memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Apa yang berlaku selepas itu tidak perlu dibicara lagi.
Senario 1 selepas 23 Mac:
Tiada apa yang berlaku. Anwar kekal sebagai Adun Selangor. Khalid kekal sebagai MB Selangor. Tiada polemik baru.
Nama Anwar dihantar ke istana untuk dilantik sebagai exco, tetapi mendapat nasib yang sama seperti Azmin Ali. Barisan exco kekal.
Anwar kekal sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dengan status Adun Selangor. Langkah Kajang terus dipertikai.
Senario 2 selepas 23 Mac:
PKR mengumumkan Khalid sudi melepaskan jawatan sebagai MB Selangor.
Penggantinya ialah Anwar. Perkara ini akan dibincangkan bersama rakan di Pakatan Rakyat.
Sebahagian Pemimpin DAP terus memberikan sokongan dalam bentuk sokongan media.
Khalid tidak bersuara. Akar umbi PAS bersuara membantah. Pemimpin PAS tidak sudi bersuara sehingga mesyuarat diadakan.
PKR melancarkan kempen penerangan mengapa Anwar perlu menggantikan Khalid, meskipun konsensus masih tidak dicapai.
Alasannya ialah Khalid telah melepaskan jawatan.
Atas mempercayai bahawa kerusi MB Selangor adalah hak milik PKR, maka PKR berhak mencalonkan Anwar sebagai penggantinya, sama seperti hujah diadakan PRK Kajang.
Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat. Sidang media yang dijadualkan dibatalkan kerana gagal mencapai konsensus.
PKR tetap dengan pendirian Khalid melepaskan jawatan, akan tetapi Pakatan Rakyat gagal mencapai kata sepakat siapakah calon yang menggantikan Khalid.
Tiba-tiba, polemik baru muncul. Diumumkan peletakan jawatan Khalid ditolak dan majlis angkat sumpah MB Selangor baru ditangguhkan.
Polemik dihangatkan lagi apabila pemimpin DAP-PAS yang tidak ingin menukar Khalid bersuara menyokong penolakan perletakan jawatan Khalid.
PKR bertegas dengan keputusan bahawa Khalid sudah melepaskan jawatannya sebagai MB Selangor.
Azmin mengeluarkan kenyataan mewakili PKR dan PKR Selangor untuk menyokong Anwar sebagai MB Selangor dan membidas semua yang tidak bersetuju dengan mereka.
Khalid tetap tidak bersuara dan meneruskan tugasnya sebagai MB Selangor.
Para penganalisa politik pro-kerajaan berhujah DUN Selangor wajar dibubarkan kerana Pakatan Rakyat tidak mencapai kata sepakat untuk kedudukan MB Selangor.
Kumpulan yang tidak inginkan kedudukan MB Selangor menjadi polemik terus bersuara dan dihentam kumpulan yang menjunjung Anwar.
Jalan buntu dan jawatan MB Selangor tiba-tiba tergantung.
Khalid sudah melepaskan jawatan, kata PKR, akan tetapi pengganti Khalid iaitu Anwar masih tidak dibenarkan mengangkat sumpah.
Akhbar musuh melaporkan terdapat ura-ura Khalid dipaksa melepaskan jawatan Adunnya supaya beliau hilang kelayakan untuk menjadi MB Selangor.
"Langkah Klang" pula diwujudkan untuk meleraikan jalan buntu dan satu mesyuarat PKR terpaksa diadakan sekali lagi untuk mencapai objektif Langkah Kajang.
PKR menafikan adanya gerakan sedemikian. Khalid diasak segala penjuru untuk bersuara.
Sebagai jalan keluar, Khalid akhirnya bersuara dan meminta sidang DUN mengadakan undi tidak percaya pada beliau.
Beliau akan terus bekerja sebagai MB Selangor sekiranya majoriti Adun Selangor masih menyokong beliau.
Jika tidak, beliau akan memaklumkan kepada istana akan keputusan tersebut dan membiarkan istana mengikut proses perlembagaan apabila mendapati MB Selangor hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Apakah kebarangkalian Khalid akan tewas? Antara Anwar dan Khalid, undi Adun Umno akan diberikan kepada siapa supaya polemik yang sengaja diadakan ini terus hidup sehingga rakyat berasa mual?
Secara tidak sedar, pemilihan PKR tiba waktunya diadakan. Nama pencabar kepada kedudukan Azmin diketahui.
Media mengubah fokus kepada pemilihan PKR tatkala negeri Selangor masih terumbang-ambing.
Merasakan rakyat sudah bosan dengan polemik politik dalaman PKR, PAS dan DAP mengambil langkah mengumumkan meneruskan sokongan pada Khalid untuk terus menjadi MB Selangor untuk menghentikan pertikaian dalaman PR.
Sebahagian pimpinan PKR mengecam tindakan tersebut. Pakatan Rakyat terus terumbang-ambing… sokongan rakyat terhakis.
Persepsi bahawa PAS, DAP dan PKR tidak boleh bekerjasama tersemadi di sanubari rakyat.
BN terus ketawa dan menguatkan sokongannya sempena pilihan raya negeri Sarawak yang bakal mendatang, manakala Pakatan Rakyat terus berbalah mengenai kedudukan MB Selangor.
Senario 3 selepas 23 Mac:
PKR mengumumkan peletakan jawatan Khalid sebagai MB Selangor.
Anwar diumumkan sebagai MB Selangor. Istana menerima dan membenarkan majlis angkat sumpah. PAS dan DAP akur. Tiada polemik.
Pasukan Khalid tetap tidak bersuara, tidak melawan dan membiarkan.
Kes liwat Anwar ditamatkan dengan kemenangan berpihak pada Anwar.
Seperti yang dijangka Rafizi, segala serangan Umno menjadi tumpul. Azmin kembali ke pentadbiran Selangor dan PKNS.
Nama Rafizi sebagai pengarah strategik semakin digeruni dan Langkah Kajang adalah buktinya.
Happy Ending.
Tiga senario di atas hanyalah prediksi penulis. Sudah tentu para pembaca dan penganalisa politik yang lain ada pandangan tersendiri.
Manusia merancang, Tuhan menentukannya. Ahli politik berperang, rakyat merasai kesannya.M/Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan