Awas! Ketika beli belah di pasar raya

SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Pusat membeli belah walaupun yang ternama di negara ini masih lagi tidak jujur apabila berurusan dengan pelanggan. Hal ini kerana banyak lagi perlu diatasi dan diperbetulkan dalam mengendalikan soal jual beli.

Sikap tidak jujur atau sengaja untuk menipu pelanggan tidak dapat disembunyikan lagi yakni ada barangan yang dipamerkan sudah luput tarikh. Keduanya, barang yang dipamerkan itu walaupun diletakkan harganya tetapi apabila membuat bayaran dikaunter bayaran dan diimbas harganya sudah berlainan dengan harga yang ditawarkan itu ditempat barang tersebut diambil. Ketiganya masih terdapat jualan barangan atau makanan yang sudah hampir busuk dan tidak layak bagi manusia makan dijualkan. Walaupun dijual dengan harga murah tetapi demi menjaga kesihatan pelanggan dan imej pasaray a yang besar dan ternama itu sendiri sepatutnya elakkan jual barang-barang yang busuk.

Begitu juga barang basah saperti ikan, sotong, udang dan ketam - selalu didapati sudah tidak segar tetapi masih dijual dengan harga yang agak mahal. Kini harga udang saiz kecil pun sudah mencecah RM32 sekilogram dan begitu juga sotong yang nampak sudah kurang segar berharga RM22 sekilogram. Ikan juga begitu agak mahal juga apabila dibandingkan dengan barang basah dipasar tani.

Namun, dalam tinjauan rambang, saya dapati ada juga pasar raya menjaga kredebilitinya seperti pasar raya Maidin. Harga barangannya berpatutan dan mereka mempamerkan harganya mengikut harga apabila diimbaskan dan barangannya juga bermutu dan segar. Saya menyarankan agar semua pasar raya mengekalkan sikap telus dan menjaga mutu barang jualannya.

Saya juga menyarankan supaya Lembaga Tabung Haji melabur dalam sektor industri pemakanan atau membuka pusat beli belahnya sendiri dengan menjual segala keperluan barang dapur yang halal lagi bersih terutamanya barangan yang diusahakan oleh bumiputra. Kaedah sebegini mampu menghapuskan sikap tamak dan cuba memonopolikan harga sesuatu barangan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan