Erra Fazira: 'Saya mohon jangan tanya lagi'

Erra Fazira
Kelihatan Erra Fazira (kiri) ditemani teman rapatnya, Umie Aida (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini . - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
SHAH ALAM [VIDEO] Spekulasi mengenai rumah tangga pelakon popular, Erra Fazira terjawab apabila suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidil, 39, melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Cerai dilafazkan di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husin selepas kedua-dua belah pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik.

Engku Emran sebak manakala Erra Fazira yang memakai jubah kelabu kelihatan tenang saat cerai dilafazkan pada jam 12.50 tengah hari tadi.

Mohammad Adib berkata, permohonan hak penjagaan anak diberikan kepada Engku Emran dan hak bermalam serta lawatan bersama diberikan kepada Erra Fazira diluluskan apabila kedua-dua pihak bersetuju mengenainya.

"Mahkamah turut meluluskan permohonan plaintif (Erra Fazira) untuk tidak membuat sebarang tuntutan nafkah edah dan mutaah,"katanya.

Ketika prosiding, Erra Fazira dan Engku Emran mengesahkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung selama setahun enam bulan.

Pelakon filem Sembilu itu atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 40, diwakili oleh Ahmad Nazib Johari memfailkan permohonan penceraian dan hak penjagaan anak itu pada 17 Februari 2013 masing-masing mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 82 Enakmen Undang- Undang Keluarga Selangor 2003.

Engku Emran diwakili oleh Peguam Syarie, Roslan Sujak Rafee enggan memberi komen kepada media sebaik sahaja selesai prosiding.

Sementara, pengacara Primadona yang ditemani oleh rakan baiknya, Erma Fatima dan Umie Aida, meluahkan rasa syukur apabila semuanya selesai dan berjalan dengan baik.

"Segala spekulasi telah terjawab. Saya mohon jangan tanya lagi,"katanya ketika ditemui media.

Ketika ditanya mengenai perancangan selepas ini, dia memberitahu ingin fokus terhadap kerjayanya.

"Ia (kerjaya) menjadi fokus utama saya kini," katanya.

Erra Fazira dan Engku Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun.

Sebelum mengahwini Engku Emran, Erra juga pernah berkahwin dengan penyanyi Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 dan bercerai tiga tahun kemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan