PUTRAJAYA: Barisan panel peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa pihaknya sengaja melengah-lengahkan pendengaran rayuan dalam kes liwat II.
Menurut salah seorang barisan panel itu Sivarasa Rasiah, mana-mana pemohon yang membawa isu ke mahkamah ada hak untuk merayu kerana kesemua ini termaktub di dalam undang-undang.
"Ini bukan karut. Tetapi ini adalah hak Anwar untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya.
"Dan Shafee sudah tahu kerana sistem itu ada. Malah sebelum ini dua permohonan berkaitan status Shafee juga diputuskan di Mahkamah Rayuan macam hari ini dan dibenarkan membuat rayuan di peringkat persekutuan. Dia pun tidak pertikaikan pada masa itu. Dia tahu sebab itu adalah hak kita.
"Tiba-tiba dia pertikaikan pula seolah-olah tidak tahu walhal undang-undang membenarkan," kata Sivarasa.
Peguam Datuk Mohd Shafee Abdullah semalam mempertikaikan permohonan Anwar untuk memanggil semula Pereira sambil menyifatkan tindakan itu karut dan sengaja melengah-lengahkan kes ini.
"Yang saya tidak faham kenapa pihak responden melengah-lengahkan sedangkan kita sudah cukup persediaan kita sudah bagi hujah-hujah berbulan-bulan, kemudian baru hari ini dia kemukakan," tegas Shafee ketika bercakap dengan media selepas penangguhan kes itu di Mahkamah Rayuan semalam.
Tambah Sivarasa proses secara logik dan realiti memang lambat dan tidak dinafikan ia menjadi kebiasaan dalam sistem mahkamah.
"Jadi, kita tunggu sahajalah. Kalau pendengaran rayuan ini ditangguhkan satu atau dua bulan apa susah ikut sahaja. Tidak ada isu besar sebab Mahkamah Tinggi sudah bebaskan Anwar jadi tidak ada isu untuk tunggu.
"Lebih baik kita jaga prinsip keadilan iaitu ikut undang undang daripada melanggar undang-undang.
"Mungkin Mahkamah Persekutuan ada pendapat yang berlainan akan memberi impak besar kepada rayuan hari ini sebab itulah hakim-hakim tadi kata kita dengar dulu," jelas Sivarasa.
Peguam kanan Karpal Singh yang mewakili Anwar telah memohon untuk memanggil semula Pereira atas alasan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendapati "tidak layak dan sesuai" untuk diterima sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Malaya.
Karpal segera memohon penangguhan pelaksanaan penghakiman tersebut dengan alasan mereka akan kemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan tersebut atas prinsip keadilan, Karpal berjanji akan memfailkan notis rayuan pada hari ini.
Hakim menetapkan 28 Febuari untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan.-kd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan