Ancaman Anwar Ibrahim

Muhammad Nazreen
TENTU sahaja kita bersedih pada sepanjang minggu ini. Dua peristiwa malang dalam negara benar-benar menguji keyakinan rakyat Malaysia, seluruhnya. Peristiwa pertama adalah detik penghukuman manusia bernama Anwar Ibrahim. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun berikutan tuduhan liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Peristiwa kedua lebih mendukacitakan. Pesawat MH370 milik Malaysian Airlines (MAS) gagal dikesan setelah menghampiri perairan selatan Vietnam. Sehingga kini, beribu persoalan masih belum terjawab. Simpati dan doa kita buat keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi ini.

Komentar ini bagaimanapun akan bertumpu kepada peristiwa pertama. Detik penghukuman Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang mengarahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan selama lima tahun. Anwar, sebelum ini dibebaskan Mahkamah Tinggi atas tuduhan yang sama.

Kali ini, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman sebaliknya. Semua sudah maklum bahawa penghukuman Anwar berkait rapat dengan strategi Langkah Kajang.

UMNO/BN dilihat goyah dalam mendepani cabaran Langkah Kajang. Penghukuman Anwar ada kena mengena dengan percaturan politik Anwar dalam ‘Langkah Kajang’. Tujuannya adalah untuk menghalang Anwar daripada bertanding di Kajang sekaligus memimpin pentadbiran negeri Selangor.

Langkah Kajang pada awalnya bukan sahaja mengejutkan UMNO/BN tetapi mengundang banyak spekulasi yang datang daripada rakan Pakatan Rakyat. Namun, atas semangat setiakawan dalam pakatan politik, PAS dan DAP sedia menghulur tangan bagi membantu jentera kempen menjelang Pilihan Raya Kecil Kajang yang ditetapkan pada 23 Mac 2014.

Persoalan yang timbul adalah mengapa UMNO/BN begitu terdesak untuk membantutkan percaturan lawan politiknya ini? Adakah Langkah Kajang ini benar-benar mengancam kedudukan status quo UMNO/BN sebagai komponen politik yang mentadbir kerajaan Persekutuan?

Soalan yang lebih tepat barangkali ditujukan kepada Anwar Ibrahim sendiri. Mengapa individu ini dianggap musuh paling berbahaya kepada pergerakan politik UMNO/BN. Jawapan kepada pertanyaan ini akan diungkap satu per satu.

Tidak dapat dinafikan setelah dilucutkan jawatan ‘Orang Nombor 2’ selaku Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, Anwar terus menerus dianggap sebagai ancaman paling bahaya kepada UMNO/BN. Hampir 16 tahun setelah peristiwa itu berlaku, Anwar masih disebut-sebut sebagai manusia paling bahaya di Malaysia.

Pelbagai taktik kotor diusahakan bagi memastikan Anwar tidak dapat kembali bebas sepenuhnya. Jadi, apakah kehebatan manusia bernama Anwar ini?

Anwar dilihat sebagai figur politik yang mampu menjambatani perbezaan dua parti politik dominan oposisi, PAS dan DAP. Tanpa Anwar – PAS dan DAP tidak mampu menyelesaikan segala perbezaan demi matlamat yang lebih besar.

Ketokohan Anwar dilihat dapat untuk menghubungkan perbezaan besar dua parti politik ini – dianggap secara tradisi mewakili dua kelompok etnik yang berbeza.

PAS dilihat mesra di kalangan masyarakat Melayu luar bandar terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung. DAP pula dilihat sebagai parti yang mendapat sokongan besar masyarakat Cina di kawasan bandar.

Anwar dilihat sebagai simbol penyatuan dua parti politik besar ini. Meskipun beberapa usaha untuk menggerakkan kerjasama politik oposisi telah dijalankan sejak dulu, malangnya pakatan politik pada zaman itu tidak bertahan lama.

Sewaktu krisis dalaman UMNO pada 1987, tokoh politik pihak sebelah lagi dalam parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan gerakan politik Semangat 46. Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li melihat kepentingan untuk mewadahi kerjasama politik untuk menumbangkan seteru politiknya, Dr Mahathir Mohamad.

Seterusnya, Ku Li berjaya meyakinkan PAS untuk membentuk kerjasama politik dalam wadah yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Gerakan politik ini akhirnya berjaya menyebabkan Kelantan tumbang di tangan PAS dalam Pilihan Raya Umum 1990.

Pada masa sama, Ku Li merasakan bahawa wadah politik yang lebih inklusif diperlukan untuk memastikan UMNO/BN tumbang. Ku Li berjaya meyakinkan DAP untuk menjalinkan kerjasama politik di dalam koalisi yang dikenali sebagai ‘Gagasan Rakyat’. Namun, dua gagasan ini tidak berkekalan. Akhirnya, pakatan politik ini pecah dan UMNO sekali lagi kekal berkuasa.

Gelombang Reformasi berikutan pemecatan Anwar pada 1998 membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara.

Sekali lagi atas usahasama di kalangan parti politik, gerakan sivil dan kumpulan aktivis pelajar, momen bersejarah ini menyaksikan pembentukan Parti Keadilan Nasional (sebelum penggabungan bersama Parti Rakyat pada 2003 yang membawa gelaran Parti Keadilan Rakyat) dan terbentuknya kerjasama politik yang mewakili pelbagai dasar dan kepentingan. Detik ini dianggap bersejarah kerana PAS dan DAP sepakat bekerjasama dalam satu barisan politik.

Namun, kerjasama politik ini turut gagal. Setelah perbalahan panjang antara PAS dan DAP mengenai konsep negara Islam, DAP akhirnya mengundurkan diri pada 2001 kerana perbezaan daripada segi dasar politik dan perjuangan. Harus ditegaskan bahawa DAP bukan menolak konsep kepimpinan Islam seperti yang difitnah UMNO/BN selama ini, tetapi DAP harus lebih komited kepada perjuangan politik saksama tanpa mengira kaum dan agama.

Setelah kemenangan besar parti politik oposisi pada Pilihan Raya ke-12 sehingga menafikan dua-pertiga majoriti kerusi Dewan Rakyat dan menawan lima negeri; Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan; terdapat pula usaha baru yang muncul dengan idea Pakatan Rakyat.

Anwar merupakan tulang belakang dalam kerjasama politik ini. Perkara ini sangat membimbangkan UMNO/BN bukan kerana Anwar merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, tetapi kerana ketokohan beliau di dalam merencanakan projek politik skala besar ini. Kerjasama politik ini penting untuk mematahkan politik perkauman yang menjadi asas kepada UMNO/BN.

Pilihan Raya Umum ke-13 sekali lagi menunjukkan betapa politik perkauman yang menjadi survival UMNO/BN semakin tidak relevan dan diketepikan. Sekali lagi Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Anwar berjaya mencipta sejarah baru di dalam arena politik negara.

Pakatan Rakyat berjaya meraih undi popular sebanyak 51% sekaligus menafikan kehendak majoriti rakyat Malaysia yang mahukan reformasi politik. Politik di Malaysia sudah berubah wajah. Nilai inklusif yang mengenepikan dasar perkauman di bawah UMNO/BN menyebabkan UMNO/BN memerlukan reformasi politik dalam kadar segera.

UMNO adalah satu-satunya komponen politik di Semenanjung yang masih tegar bertahan daripada dipengaruh gelombang politik baru di bawah kepimpinan Anwar dan Pakatan Rakyat.

Penghukuman Anwar merupakan strategi terkutuk untuk membatalkan kelayakan Anwar daripada bertanding di Kajang, sekaligus menafikan peluang Anwar untuk mengemudi pentadbiran negeri Selangor sekiranya beliau menang kelak.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah kini dipilih untuk menggantikan Anwar sebagai calon Pakatan Rakyat di Kajang. Namun demikian, Wan Azizah dilihat sebagai calon pengganti yang sesuai untuk mendamaikan dua kelompok dalam parti yang dilihat bertelagah atas kapasiti beliau sebagai Presiden.

Perkara ini menunjukkan betapa liciknya politik UMNO/BN untuk menghalang usaha Pakatan Rakyat khususnya di Selangor untuk menguatkan pentadbiran negeri dan menjadikan Selangor sebagai negeri contoh sebelum ke Putrajaya.

Sekali lagi, Langkah Kajang dianggap sebagai pencetus atau ‘game changer’ yang bakal merubah perspektif politik baru di Malaysia. Langkah ini sebenarnya ancaman yang paling menakutkan UMNO/BN yang bakal kehilangan kuasa kelak. 
-Roketkini.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan