Selepas dikecam peminat gara-gara memuat naik sebuah gambar jenaka dikaitkan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, selebriti Redzuan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan kini bertindak memadamkan entri tersebut di akaun laman sosial Instagram.
Ramai yang mengganggap jenaka selebriti terkenal itu tidak kena apabila beliau tidak memikirkan sensitviti ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777-200ER itu.
Dalam akaun Instagram, Chef Wan bergambar bersama sekeping objek yang dikatakannya sebahagian daripada pintu pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
"Dua objek di Perth dan satu ini I ingat kan ya la sebahagian dari pintu kapal terbang MAS tapi setelah diteliti rupanya ianya sebahagian dari pintu jamban rumah cik kiah di pantai Morib yang telah usang .. adoi frustnya," katanya di laman Instagram.
Ini bukan kali pertama berlaku jenaka tidak kena dengan tempat dilakukan artis.
Sebelum ini bekas presiden Seniman, Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi turut dikecam hebat gara-gara memuat naik status di Twitter dan menghina Pesawat MH370 yang kini masih gagal dikesan.
"Biar betik kapal terbang MAS yang besar gedabak boleh hilang? MAS rugi nasi lemak telanjang, asam pedas takde sekarang kapal hilang," katanya di akaun Twitter @rozaidijamil.
Ekoran kritikan yang terimanya, Rozaidi akhirnya terpaksa meminta maaf secara terbuka kerana lawaknya yang keterlaluan itu.
Penerbangan MAS MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam sebelumnya.
Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama, akan tetapi masih hilang sehingga kini.
Sebanyak 26 negara menyertai operasi misi mencari dan menyelamat yang sudah masuk hari ke-14 ini. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan