Rombakan Kabinet selepas PRK Kajang?

SHUHAIMI AL-MANIRI
SPEKULASI rombakan Kabinet kembali bertiup sekali lagi terutama selepas MCA menyelesaikan kemelut dalaman pada akhir bulan Februari lepas apabila MCA berjaya membatal resolusi ‘boikot’ menyertai kerajaan ekoran kegagalan parti berkenaan mencatat prestasi yang baik dalam PRU13.

Secara tradisinya, Presiden MCA dilantik ke dalam Kabinet sebagai menteri dan diberikan portfolio Menteri Pengangkutan. Kerusi tradisi MCA, Menteri Pengangkutan tidak diisi sehingga sekarang, melainkan hanya dipangku oleh Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Pertahanan.
Liow Tiong Lai, Presiden MCA yang baru hampir pasti dilantik sebagai Menteri Pengangkutan.

Berapa ramai wakil MCA dalam Kabinet pada kali ini banyak bergantung kepada prestasi MCA dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang pada 23 Mac nanti.

Jika calon MCA mampu menewaskan Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil tersebut, permintaan MCA untuk kekalkan kouta sebelum ini mungkin dipertimbangkan Perdana Menteri. Jika tidak, MCA terpaksa menerima apa yang diberikan oleh Perdana Menteri sahaja.

Hak melantik anggota Kabinet adalah atas budi bicara Perdana Menteri. Tetapi adakah MCA hendak terima satu kerusi menteri penuh sahaja, sedangkan MIC yang lebih kecil daripada MCA pun sudah mendapat dua kerusi menteri penuh.

Selain itu, parti-parti di Sarawak terutama SPDP begitu kecewa kerana tidak diberikan sebarang kerusi Kabinet walaupun menang empat kerusi Parlimen. Sebelum PRU13, SPDP diberikan dua kerusi timbalan menteri.

Menjelang setahun usia Kabinet pasca PRU13 ini, ramai yang berpendapat Perdana Menteri akan memikirkan untuk melakukan rombakan semula Kabinet, terutamanya bagi membolehkan wakil MCA menyertai semula kerajaan seperti sebelum ini selepas PRK Kajang ini.

Perubahan drastik Kabinet PM Najib Razak dilihat tidak bijak jika terus membesarkan lagi Kabinet dalam keadaan popularitinya semakin jatuh dan undi popular kurang 50% tetapi bernasib baik memiliki majoriti kerusi di Parlimen.

Kabinet Najib pasca PRU13 mempunyai keseluruhannya 32 menteri, berbanding Kabinet beliau terdahulu dianggotai 30 menteri sahaja ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Jika bilangan anggota Kabinet dikekalkan, kekosongan jawatan menteri dan timbalan menteri tidak cukup membawa masuk wakil MCA kerana sebelum PRU13, MCA dipertuntukkan dengan empat kerusi menteri penuh dan beberapa kerusi timbalan menteri.

Diberitahu, beberapa orang menteri dan timbalan menteri terpaksa digugurkan dalam rombakan Kabinet bagi memberi laluan kepada wakil MCA menyertai semula Kabinet. Selain wakil MCA, dua orang menteri besar diberitahu terlibat juga dalam rombakan Kabinet pada kali ini untuk dilantik sebagai menteri penuh.

Setakat ini, P Waytha Moorthy, Pengerusi Hindraf, yang pelantikannya sebelum ini penuh kontroversi telah melepaskan jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri awal bulan Februari lalu ekoran kegagalan menunaikan janji kepada kaum India.

Selepas PRU13, Najib hanya berjaya menggantikan Menteri Besar Perlis, Kedah, Melaka dan Johor sahaja dengan muka baru.

Najib dikatakan menghidupkan semula inisiatif pertukaran dua Menteri Besar ini ekoran pertukaran Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari lepas.

Di Perlis, Azlan Man menggantikan Dr Mohd Isa Sabu sebagai Menteri Besar, sementara Mukriz Mahathir telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah selepas Umno-BN berjaya merampas semula negeri berkenaan daripada PAS-Pakatan Rakyat.

Manakala Idris Haron pula menggantikan Mohd Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka dan Khaled Nordin pula menggantikan Abdul Ghani Othman sebagai Menteri Besar Johor.

Telah menjadi rahsia umum, Menteri Besar Terengganu dan Pahang berada dalam senarai teratas untuk digantikan dengan muka baru yang lebih segar untuk menerajui negeri berkenaan. Begitu juga dengan Menteri Besar Negeri Sembilan juga menunggu masa untuk digantikan.

Kedua-dua Menteri Besar tersebut sebelum PRU13 sebelum ini pun pernah diura-ura melepaskan bagi membolehkan muka baru menerajui negeri berkenaan dan ditawarkan jawatan Menteri sebagai tukar ganti kepada jawatan Menteri Besar.

Selain memenuhi keperluan tersebut, Najib juga dikatakan akan mengambil peluang dalam rombakan kali Kabinet ini untuk menyusun semula Kabinet terutama Kementerian Pendidikan yang mempunyai dua menterii.

Tidak dapat dipastikan lagi setakat ini sama ada Najib akan membentuk semula Kementerian Pembangunan Usahawan yang telah dimansuhkannya secara tergesa-gesa sangat berguna kepada usahawan kecil dan sederhana, khasnya Bumiputera yang kurang modal, kepakaran dan pasaran.

Kita tunggu dan lihat, adakah Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU) diwujudkan semula Najib dalam rombakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan