Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar ganti rugi RM12,320 kepada Majlis Peguam kerana menceroboh dan menurunkan tiga sepanduk yang dipasang di premisnya bagi menyambut Hari Hak Asasi Manusia pada 2007.
Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara menolak rayuan DBKL supaya diketepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Hakim-hakim Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer turut menganggotai panel.
Pada 2009, Majlis Peguam memfail tindakan sivil terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan mendakwa beberapa pegawai DBKL memasuki premisnya di Jalan Leboh Pasar Besar di Kuala Lumpur pada 9 Disember 2007 dan menurun serta merampas sepanduk berkenaan.
Majlis itu mendakwa tindakan pegawai DBKL itu menyalahi undang-undang dan perlembagaan.
Tiga sepanduk itu menyebut ‘Stop the Patronage, Stop the Rot', ‘As I Believe Freedom of Expression through Art, Music, Culture and Conscience...' dan ‘Rakyat Hakim Negara'.
Majlis Peguam berkata akibatnya ia menanggung kerugian dan kerosakan dan memohon ganti rugi khas, ganti rugi am teruk dan teladan.
Dalam pembelaannya, datuk bandar Kuala Lumpur menafikan tindakan pegawai-pegawainya menyalahi undang-undang.
Beliau menegaskan mereka memasuki premis itu kerana majlis tersebut gagal mendapatkan lesen untuk memasang sepanduk itu sebagaimana menurut Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982.
Pada 26 Sept tahun lepas, mahkamah membuat penghakiman memihak kepada Majlis Peguam, dan menganugerah ganti rugi khas RM320 dan ganti rugi am RM12,000.
Ia memutuskan bahawa sepanduk mengenai hak asasi manusia itu tidak termasuk dalam takrif 'iklan' yang memerlukan lesen dari DBKL, seperti terpakai pada produk atau perkhidmatan komersil.
DBKL diwakili peguam B Thangaraj sementara majlis itu oleh peguam-peguam Ranjit Singh, Razlan Hadri Zulkifli dan Jamie Wong./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan