H FANSURI
PENYAIR Seberang Takir, Terengganu, T Alias Taib pernah menurunkan catatan berhubung perasaan sugul seorang penukang keranda yang mata pencariannya sangat bergantung kepada kematian orang-orang di sekelilingnya. Cerita kematian orang akan disambut sang penukang keranda ini dengan senyum melebar.
Entah cerita kecil ini, hanya muncul dalam mimpinya sahaja, atau ia sebuah kisah rekaan yang terpencil atau boleh jadi ia diangkat daripada sebuah peristiwa benar. Kita sendiri tiada mengetahuinya.
Tiada orang yang ingin mengambil peduli ke atas kesan jiwa seorang penyair yang menyokong Pakatan Rakyat pada akhirakhir hidupnya selepas Reformasi 1998.
Di dalam buku kumpulan puisinya; Opera (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988) segala plot dan gumpalan isi cerita itu menari-nari di medan fikiran beliau seperti di bawah:-
TUKANG KERANDA
“Mudah-mudahan ada di antara kamu
akan segera mati”
Si tua berambut perak tak putus-putus
berdoa pada lalu-lalang yang
mengombak di
kaki lima kedainya. Ada yang sempat
menangkap
gelombang doa itu, berhenti sejenak,
sambil memerhatikan susunan keranda
yang menyeramkan.
yang lain, tak mempedulikannya dan
berjalan terus meninggalkannya.
“mudah-mudahan ada di antara kamu
yang akan segera mati.”
Sehabis berdoa, si rambut perak kembali
mengasah baki papan yang belum
berketam.
“kematian mengharukanku,
memendekkan usia dan
meninggalkan pedih pada keluarga si
mati.
sebaliknya kematian juga akan
memanjangkan
usia dan membawa bahagia ke tengah
keluargaku.” katanya
Sehabis berkata, ketam tiba-tiba terlucut
dari genggaman. Ia terguling dengan mata
yang mengerikan. di udara tergantung
sepi
siling meneteskan sedu pertama. petang
ini,
salah sebuah keranda-kerandanya akan
mengiringinya, sekaligus menemaninya,
dalam
perjalanan terakhir yang jauh. ia tak
akan
pulang lagi untuk berdoa. doanya
telah berjawab.
Tamat pengucapan T Alias Taib. Mungkin ada banyak sajak yang berkisar persoalan moral sebegini. Iaitu sajak mengenai sikap manusia yang gembira atas derita orang lain. Hal ini sungguh menjelekkan. Derita insan sepatutnya diringankan dengan kata rangsangan yang membolehkan orang yang berduka lara menjadi tenang semula dalam menyambung kehidupan yang geloranya bersulam pancaroba.
Arakian, sejurus pemergian Ahli Parlimen Bukit Gelugor pada 17 April lalu, maka berpusu-pusu orang mengirimkan takziah. Tapi ada juga yang menghamparkan kata-kata dahsyat yang menyiat-nyiat ke jiwa ahli keluarganya. Sesetengah orang berkata, “Perginya seorang penentang hudud yang paling tegar...”
Daripada satu sudut, kita boleh memahami kenapakah ada yang bersikap demikian. Tetapi yang membuat kita boleh pening, kepala berputar, pengsan lantas boleh jadi terkoma adalah ucapan dalam kalangan Umno yang turut diapungkan dalam nada yang sama juga, “Demikianlah balasan Tuhan ke atas penentang hudud...” “Orang-orang Umno yang kecam Karpal sebagai penentang hudud ni, mereka ni sokong hudud sangat ke?” seorang teman bertanya. Sebenarnya, Umno berasa lega dengan pemergian seorang pemimpin pembangkang di negara ini yang sudah banyak memberikan tekanan dan musibah yang paling dahsyat dalam sejarah gelap mereka.
Tetapi, kecaman ke atas ahli parlimen Bukit Gelugor itu mestilah dinyatakan dalam bentuk keagamaan guna memikat hati orang-orang sekali gus memberi warna putih jernih terhadap rasional kecaman itu. Sama ada orang bukan Islam di negara ini menentang hudud atau tidak, maka perkara itu sudah boleh diterima oleh kalangan Melayu Muslim sendiri.
Mutakhir ini, kita menyaksikan kehadiran orang-orang bukan Islam yang tiada masalah lagi dengan hukum hudud itu.
Maka, bukannya hudud yang dipentingkan Umno, tetapi soal bagaimana mahu mengecam Dap sebagai musuh mereka agar tiada kelihatan kecaman itu sebagai kecaman yang tiada munasabah. Maka, sekali lagi, agama dipolitikkan untuk memberi makna baik ke atas kecaman terhadap seteru politik mereka itu.
Di dada ahli-ahli Umno terselit keriangan dengan pemergian musuh mereka, dan dalam masa yang sama, wajah-wajah para pemimpin Umno itu dipura-purakan, dihias dandan dengan kesedihan yang dibuat-buat seperti biasa.
Ketika inilah, umat boleh mengukur sejauh mana pegangan dan kefahaman Islam manusia Umno hari ini.
Keislaman Umno tiada berdiri di atas asas Islam yang ditegakkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Keislaman Umno itu, walaupun mereka berqasidah burdah, berselawat di Putrajaya dan ber’yahanana’, tapi akhlak dan perilaku mereka membatalkan segala amalan dan usaha baik mereka selama ini dengan sebab pengkhianatan, perasaan hasad dan kedengkian yang lama terkurung dan dipertaruhkan ke dalam jiwa mereka.
Di dalam sabda nabi, ada disebutkan betapa perasaan hasad dengki itu boleh membakar amalan baik seperti mana api boleh membakar hangus sepotong kayu sehingga rentunglah kayu amalan tersebut.
Amalan baik Umno akan hangus walau mereka melakukan kebaikan, kerana tetap ada rasa hasad dengki untuk menjahanamkan musuh-musuh politik mereka dengan katakata (rohani) dan fizikal (jasmani).
Diriwayatkan dalam satu hadis oleh al-Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya, telah berlalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahukan hal itu kepada baginda: “Itu jenazah seorang Yahudi”. Lalu, baginda pun bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” Memang Yahudi paling banyak menentang nabi. Ketika hampir wafat, baginda tersiksa oleh racun yang diberikan Yahudi. Baginda turut disihirkan Yahudi.
Tepatlah firman Tuhan dalam Surah al- Maidah ayat 82, “Sesungguhnya kamu dapati mereka yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman adalah Yahudi dan musyrik...”
PAS menunjukkan sikap yang hampir dengan keperibadian Nabi s.a.w dengan tiada berhenti mendakwahkan rakan partinya hingga ke hujung nyawa mereka walau wujud perbezaan pendapat sesama mereka. Walau berbeza pandangan, tapi seperti nabi yang diancam musuhnya, baginda tetaplah menghormati satu jiwa walau musuhnya meninggal dunia.
Kenapakah Umno bergembira atas kematian orang lain seperti penukang keranda yang dilukis kisahnya oleh penyair T Alias Taib itu? Jawabnya, keislaman Umno bukanlah keislaman yang diwakili nabi s.a.w seperti yang kerap disebut baginda dalam setiap hadisnya dengan kata, “...laisa minna (bukan dalam kalangan kami)...” Jelasnya, Umno adalah muslim, tetapi Umno bukanlah muslim dalam kelompok yang direstui oleh baginda Rasulullah s.a.w apabila mereka bergembira di atas derita dan kesusahan orang lain seperti tukang pembuat keranda dalam sajak penyair dari Seberang Takir itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan