SHAH ALAM: "Ramai yang saban hari menderma pahalanya di internet," demikian tulis Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul mengenai fenomena masyarakat kita kini yang menggunakan alam siber untuk mencerca orang lain.
Menurut Dr Asri, 'derma' yang dimaksudkan sama ada dengan cara menuduh orang atau pun memaki dan mencerca orang lain.
"Sebahagian mereka merasa selamat di sebalik 'keyboard' mereka.
Namun ALLAH tidak lupa," tulisnya di laman sosial Facebooknya, hari ini.
Tambah Dr Asri, golongan tersebut mungkin berasa puas hati dengan memaki ataupun mencerca orang yang tidak disukai, namun hakikatnya mereka sedang menderma pahala mereka untuk 'si mangsa'.
"Jika mereka tiada pahala, mereka sebenarnya sedang menolong si mangsa mengambil dosa-dosanya untuk dipikul di akhirat kelak.
"Kadang-kala, beruntung juga mereka yang menjadi mangsa," katanya lagi.
Dr Asri turut berharap pengguna media sosial agar segera sedar atas perbuatan yang dilakukan.
Katanya, "Nabi Muhammad SAW pernah bertanya para sahabat baginda : 'Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?
"Jawab mereka: 'Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta'," katanya.
Tambahnya lagi, "...sabda Baginda: 'Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya.
Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka" (Riwayat Muslim)," tulis Dr Asri lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan