Ramalan Shahbudin jadi kenyataan

Shahbudin HusinPETALING JAYA: Ramalan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin (gambar) akhirnya menjadi kenyataan kerana sebelum ini beliau meramalkan bahawa pelaksanaan hukum hudud akan ditangguhkan.
Menurutnya, Umno dan Kerajaan Pusat tentu lega dengan kejayaan membuatkan PAS menangguhkan pembentangan usul hudud itu. Ia adalah kejayaan fasa pertama melalui sikap berbaik-baik dan mencadangkan penubuhan jawatankuasa teknikal itu.

“Penangguhan ini akan membuatkan keretakan Umno dengan MCA dan Gerakan dapat dipulihkan serta imejnya di mata penganut Islam tidak terjejas,” katanya dalam posting blognya yang terbaru www.shahbudindotcom.blogspot.com

Jelasnya, setelah MCA mengumumkan tidak bertanding di Bukit Gelugor dan Gerakan pula ghairah mahu meletakkan calonnnya di Teluk Intan, pilihanraya kecil ini akan menjadi medan untuk Umno merapatkan semula hubungannya dengan rakan-rakan komponen tanpa dibayangi isu hudud yang mungkin menghantuinya.

“Tidak diketahui bila isu hudud ini akan bangkit kembali atau sempatkah Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat melihat hudud menjadi kenyataan sebelum beliau menutup matanya.

“Kesediaan PAS berjinak-jinak dengan Umno serta Kerajaan Pusat dan kemudian akur kepada jawatankuasa teknikal, jelas suatu kesilapan,” katanya.

Ujarnya, cadangan penubuhan jawatankuasa teknikal itu, walaupun niatnya baik, tetapi ia dipercayai merupakan permainan licik Umno untuk melengah-lengahkan, bermain dengan masa dan seterusnya menangguhkan perlaksanaan hukum hudud itu.

Hal ini kerana, Umno tidak serius sangat terhadap hukum Islam itu, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang beberapa tahun lalu menolak perlaksanaan hukum hudud, baru-baru ini pula menyatakan banyak perkara perlu dihalusi dan diteliti sebelum hukum itu mahu dilaksanakan.

“Dalam masa yang sama, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang masih berpengaruh dan kadangkala ditakuti oleh kebanyakan pemimpin Umno, masih keras menolak perlaksanaan hukum itu,” katanya

Jelasnya, penolakan nyata Umno terhadap hudud juga terserlah apabila DUN Negeri Terengganu yang dikuasai oleh Umno baru-baru ini turut menolak untuk melaksanakan hukum tersebut.

Tambahnya, rakan karib Umno dalam BN iaitu MCA dan Gerakan pula terang-terang menolak hudud. Mereka bukan saja mengancam akan mengadakan kempen bantahan, memungut tandatangan, menyediakan 100 peguam, bahkan mengugut mahu meninggalkan BN jika Umno memberi sokongan kepada usul hudud yang mahu dibawa oleh PAS.

“Sebagai parti yang disokong oleh orang Melayu dan Islam, terutama di luar bandar, Umno cuba berselindung di sebalik pelbagai hujah dan alasan untuk tidak menolak bulat-bulat hudud kerana bimbangkan kehilangan sokongan Melayu dan Islam dengan pendiriannya menolak hudud yang memberi gambaran tidak Islamik.

“Penubuhan jawatankuasa teknikal bersama adalah untuk menjadikan PAS bergantung kepada Umno bagi melaksanakannya,” katanya.

Ujarnya, di sebalik mencadangkan menubuhkan jawatankuasa bersama, Umno juga sehingga ini belum memberi kata putus sama ada mahu menyokong atau menentang usul itu. Hal ini ditambah dengan ugutan MCA, ancaman Gerakan dan gertakan Mahathir malah tindakan Umno dan Kerajaan Pusat seolah-olah menyokong usul hudud ini memang boleh diragui.

Kini, sebagaimana yang dijangka, setelah sekian lama berlarutan di media dan banyak pemimpin kedua-dua belah pihak juga sudah mengulas mengenai hudud itu, PAS akhirnya mengambil keputusan menangguhkannya bagi memberi kuasa kepada jawatankuasa teknikal memainkan peranannya.

Katanya apa yang mengharukan, siapa anggota jawatankuasa teknikal ini, berapa lama tempoh diberikan untuk memberikan saranan dan sebagainya belum pun diumumkan lagi. Tetapi PAS sudah mengalah kepada jawatankuasa itu,” katanya.

“Dengan pelbagai isu dan masalah yang melanda negara sekarang ini, bolehkah kita mengharapkan jawatankuasa teknikal ini dapat menjalankan tugasnya dalam tempoh enam bulan atau setahun dari sekarang atau mungkinkah nanti akan memakan masa selama tiga tahun, lima tahun atau 10 tahun?

“Bolehkah juga kita yakin jawatankuasa teknikal ini mampu menyelesaikan tugasnya sebelum PRU 14 empat tahun lagi?” soalnya.

Tambah Shahbudin, apa yang nyata, dengan pengumuman penangguhan ini, isu hudud ini akan reda dalam jangka masa yang sukar diramalkan. Mungkin juga ia tidak dibangkitkan lagi sehingga pilihahraya akan datang.

Katanya, walaupun ada baiknya kerana ia akan menyebabkan hudud tidak lagi dihina dan diperlekeh dengan pelbagai andaian serta syak wasangka oleh bukan Islam. Harapan umat Islam seluruhnya ialah agar ia tidak ditangguhkan untuk tempoh yang terlalu lama atau selama-lamanya.

Ujarnya, Setelah beberapa kali diperdaya, Umno sekali lagi berjaya memperdaya PAS atau dalam ertikata lain PAS juga membenarkan dirinya diperdaya.

“Percayalah, jika masih bergantung kepada Umno, sampai bila pun hudud ini tidak akan berjaya,” katanya.

1 ulasan:

  1. Memang PAS telah terpedaya. yang peliknya UMNO yang menyuruh PAS bawa usul itu tapi penubuhan jawatan kuasa teknikal diumumkan oleh presiden PAS sendiri tanpa sokongan UMNO pula dan lebih menhairankan jawatankuasa ini hanya antara PAS dan UMNO sahaja walhal PAS ada parti gabungan Pakatan Rakyat. nampak sangat PAS telah diperbodohkan ole UMNO, tunggu dan lihat UMNO akan menjeja nama PAS dalam kempen PRK Teluk Intan nanti , mereka akan berkata bukan UMNO yang menangguhkan pembentangan usul Hudud tapi PAS sendiri dengan alasan PAS tidak dapat restu dari PKR dan DAP.Kita tunggu dan lihat.

    BalasPadam