Shahnaz cuba cakar saya kerana cemburu


Anak bekas ketua menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengasari bekas isterinya, Shahnaz A Majid dalam pergaduhan pada tahun 1997 yang berlarutan sehingga mereka tinggal berasingan selama 13 tahun dan bercerai pada 2011.

Tindakan kekasaran dan serangan itu sebaliknya dilakukan oleh Shahnaz, katanya ketika memberi keterangan dalam kes tuntutan mutaah RM100 juta oleh bekas isterinya itu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pagi ini.

"Tahun 1997 dia ada cuba nak cakar saya, nak serang saya," katanya sewaktu memberi keterangan pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau mengaku pernah menolak Shahnaz sehingga jatuh ke atas permaidani untuk mempertahankan diri, dalam pertengkaran pada tahun tersebut.

"Saya tidak pernah memukulnya cuma saya ingat saya pernah menolaknya bila dia cuba nak mencakar muka saya," katanya.

Mahkamah sebelum itu diberitahu bahawa Mahmud (gambar) dan Shahnaz berkahwin pada 9 Januari 1992 dan perkahwinan itu hanya bertahan selama 19 tahun sembilan bulan.

Mereka bercerai secara baik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 11 Mei 2011, kata Mahmud.

Menurutnya, perkahwinan mereka pada awalnya bahagia sehinggalah mereka dikurniakan seorang anak pada tahun 1993.

"Lebih kurang pada tahun lebih kurang akhir 1994, plaintif mula bersikap kasar pada saya dan menyoal setiap perbuatan saya – sama ada soal peribadi atau soal pekerjaan dan dia mula bersikap kasar di hadapan kawan-kawan saya dan kawan sekerja saya.

"Di pejabat misalnya di depan pekerja-pekerja saya, pernah juga selalu soalan dia, bila saya keluar, dia tanya saya keluar dengan siapa, lelaki atau perempuan, selalu dia menyemak telefon saya dan bertanyakan siapa telefon saya, saya telefon siapa," katanya.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila beliau turut dimarahi bekas isterinya itu di depan kenalan mereka disebabkan "soal remeh temeh".

"Misal kata dia tak suka dengan cara saya berpakaian - dan pada masa yang lebih serius dia bertanyakan kepada kawan-kawan saya dan isteri mereka, untuk menyemak pergerakan saya," katanya.

Kemuncak kepada pergaduhan itu adalah satu insiden di lobi Hotel Hilton Kuching sewaktu beliau dan ibu bapanya menghadiri satu majlis di situ.

Menurutnya, Shahnaz memarahi beliau di depan ibu bapanya serta bertanya tentang kehadiran dua orang wanita yang tidak dikenalinya, di lobi hotel yang sama.

"Saya tak kenal dan saya tak tahu dan saya jawab begitu.

"Dia memarahi saya dan kata saya menipu dan kemudian dia memarahi dua wanita tersebut dan saya berasa malu," kata Mahmud.

Shahnaz mencelah keterangan

Di peringkat ini, Shahnaz yang duduk kurang daripada setengah meter dari Mahmud mencelah keterangan beliau.

Bagaimana pun, butiran percakapan Shahnaz tidak kedengaran dengan jelas dari galeri orang awam.

Peguam Mahmud, Datuk Seri Zainul Rijal Abu Bakar mencadangkan kepada hakim agar Shahnaz diperintah keluar dari mahkamah jika beliau terus mencelah keterangan Mahmud.

Menurutnya, peguam Shahnaz boleh menyoal balas Mahmud jika mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau.

Hakim Mohamad Akmal Abdul Wahab bagaimana pun memutuskan Shahnaz kekal di dalam mahkamah.

Menyambung keterangannya, Mahmud menjelaskan mereka hanya tinggal bersama selama enam tahun di Kuching sebelum beliau berpindah ke kediaman bapanya di Kuala Lumpur pada tahun 1998.

Tambahnya lagi, beliau juga sudah tidur di bilik berasingan di kediaman mereka di Kuching sejak 1997.

"Keadaan bertambah teruk dan dia masih bersikap cemburu dan saya telah berpindah ke bilik lain. Saya tidak tahan dengan sikap cemburu dia, soalan dan tuduhan dia.

"Harapan saya jika saya berpindah bilik kita tak bergaduh sangat dia akan tenang dan sedar dan akan berbaik semula. Tapi sikapnya tak berubah langsung (dan kemudian) daripada tahun 1998 saya berpindah keluar.

"Apa yang saya fikir saya nak hidup tenang dan aman sahaja, panggilan (telefon Shahnaz) pun saya tak jawab. Saya tak mahu berhubung dengan dia buat sementara waktu.

"Tapi saya sentiasa menelefon rumah orang gaji untuk tahu keadaan dia dan anak saya," katanya.

Shahnaz seterusnya berpindah ke rumah ibu mertuanya di Kuala Lumpur pada tahun 1999.

Menurut Mahmud, beliau kemudian membelikan Shahnaz dan anaknya sebuah rumah berharga RM2 juta di Damansara dan rumah itu didaftarkan di atas nama Shahnaz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan