Mahathir jadi macam Sultan Melaka?

SUBKY LATIF 
TUN Dr. Mahathir telah menarik pula sokongannya kepada Perdana Menteri Najib justeru kelemahan pimpinannya, pada pandangannya merugikan negara. Apabila negara rugi, maka apa lagilah rakyat.

Kononnya tidak berbangkit dia hendak menjatuhkan Perdana Menteri itu sebagaimana yang dilakukannya tolong menjatuhkan Perdana Menteri Abdullah Badawi sebelumnya, tetapi setakat ini sekadar menarik sokongan dan kepercayaannya kepada Najib.

Apa yang akan dibuatnya selepas ini akan kita sama-sama perhatikan. Apakah akan sekali lagi keluar Umno seperti yang dilakukannya dulu?

Yang nyata padanya, dia angkat Abdullah Badawi sebagai gantinya 11 tahun, Abdullah telah mengecewakannya. Dia dapat buang orang tua itu. Atas isyarat dan pencerahannya, diangkat Najib sebagai ganti.

Najib sebagai ganti itu telah dirancangnya sejak sebelum Abdullah menamakan timbalannya. Pernah Abdullah bersungut, berilah kebebasan padanya memilih timbalan yang juga dikira bayangan sebagai penggantinya kelak.

Tetapi Mahathir dipercayai enggan menghadiri jamuan meraikan persaraannya selagi tidak dinamakan Najib sebagai pilihan. Abdullah dikatakan ketika itu lebih berminat kepada Muhyiddin Yassin. Tiada pilihan lagi bagi Abdullah selain menyetujuinya.

Mahathir telah kecewa pemilihan atas Abdullah itu, bukan saja dia dikira lemah, tetapi melawannya. Seolah-olah derhaka padanya. Mungkinlah derhaka itu tidak sampai ke tahap penderhakaan Hang Jebat kepada Sultan Melaka, tetapi ciri-ciri penderhakaan itu ada.

Najib telah dijadikan Hang Tuah bagi membuang Abdullah yang berciri Jebat itu. Najib adalah pilihan Mahathir juga. Akhirnya Najib juga tidak sebagai yang diharapkannya, malah dikiranya lebih teruk dari Abdullah. Sudah acap ditegurnya Najib secara sindiran terbuka. Dia tidak mendengar kata juga. Tidak mengikut kata itu seperti derhaka juga kira-kira.

Apakah Mahathir sedang menghadapi masalah yang dihadapi Sultan Melaka yang membuang Hang Tuah kerana Hang Tuah difitnahkan oleh golongan Temenggung? Sultan buang Hang Tuah, rampas keris Taming Sari daripadanya serahkan kepada Hang Jebat, samalah seperti memberi mandat kepadanya.

Pilihan atas Jebat itu mengecewakan Sultan. Pilihan itu tidak bagai yang disangka. Diingatkan Jebat lebih baik, rupanya tidak dapat memenuhi harapan Sultan.

Banyak yang percaya pembuangan atas Anwar Ibrahim adalah Mahathir termakan fitnah kalau pun fitnah itu daripadanya sendiri. Anwar dibuang atas alasan untuk digantikan dengan bakal pimpinan yang lebih baik.

Rupa calon yang menggantikan Anwar itu kedua-duanya tidak tepat bagai yang diharapkan. Pada masa Anwar dibuangnya, belum nyata kelemahannya selain dari yang difitnahkan. Bahkan andaian umum Anwar akan lebih baik daripada Mahathir. Sebelum dibuang Anwar, dia memiliki imej anti penyelewengan dan anti rasuah. Mahathir? Entahlah!

Hang Tuah boleh diambil balik. Anwar sudah tidak boleh diambil balik. Jika dua pemilihan Perdana Menteri selepasnya yang dibuatnya tidak tepat, apa yang tepat dibuatnya?

Anwar diambilnya dari belukar di luar Umno dijadikan Umno dan cuba dijadikan gantinya. Pengambilan atas anwar itu padanya tidak tepat, maka apakah pembuangannya tepat? Mengambilnya tidak tepat, membuangnya pun tidak tepat.

Dia pilih Musa Hitam sebagai timbalannya mengetepikan Tengku Razaleigh, dikiranya tidak tepat. Diganti dengan Ghafar Baba. Tidak tepat juga. Anwar apa lagilah. Pilihan ke atas Abdullah dan Najib juga tidak tepat. Sultan Melaka hanya membuat satu pilihan tidak tepat, tetapi Mahathir membuat banyak pilihan tidak tepat.

Kita sudah tahu rupanya Mahathir tidak tahu membuat pilihan tepat. Semua pilihannya silap, tidak tepat. Dia jangan diberi membuat pilihan lagi. Biarlah pemimpin itu dipilih oleh rakyat, bukan dipilih oleh pemimpin kerana pemimpin juga banyak membuat silap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan