Shahbudin Husin
Gerakan menekan kepimpinan Najib Razak nampaknya makin hari makin ketara. Setelah bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menarik balik sokongannya dan diikuti dengan luahan kebimbangannya bahawa BN akan tewas dalam pilihanraya umum akan datang, kini Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pula meluahkan kebimbangan yang hampir sama.
Dalam pertemuan dengan sekumpulan NGO di pejabatnya beberapa hari lalu, Mahathir secara berterus-terang menyatakan kebimbangan UMNO dan BN akan tewas dalam pilihanraya akan datang jika terus dipimpin oleh Najib. Ini berikutan menurut beliau, tiada perubahan dalam kepimpinan negara sekarang ini meskipun menerima keputusan paling buruk dalam pilihanraya umum lalu.
Jika sebelum ini, beberapa teguran Mahathir ada yang cuba disanggah dan ada pula yang dibiarkan berlalu begitu saja, tetapi kini kebimbangan bekas Perdana Menteri selama 22 itu mulai mendapat sambutan daripada Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri.
Kalau Mahathir bimbang dengan kekalahan UMNO dan BN jika ia terus dipimpin oleh Najib, Muhyiddin pula ketika merasmikan merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Putrajaya semalam, melahirkan kegusarannya mengenai kemungkinan undi popular yang diterima BN akan terus merosot dah sekaligus membuatkan BN gagal terus memerintah negara ini.
Sambil mengambil contoh kekalahan BN di Selangor yang tidak diduga SERTA penambahan jumlah kerusi pembangkang di Johor, Muhyiddin juga membangkitkan mengenai undi popular BN yang hanya 48 peratus walaupun memenangi 133 kerusi berbanding pembangkang yang memperolehi 52 peratus melalui 89 kerusi.
Apa yang menarik, hujah undi popular ini adalah hujah PR untuk meyakinkan sokongan yang mereka terima, manakala UMNO tidak mengiktirafnya berikutan sistem pilihanraya kita adalah berdasarkan undi majoriti melalui kerusi-kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Mengapakah tiba-tiba saja Muhyiddin menggunakan hujah undi popular itu? Adakah ia semata-mata untuk menunjukkan kepimpinan Najib yang semakin merosot dari segi sokongan rakyat?
Tidak dinafikan bahawa jika diperhalusi kedua-kedua kenyataan Mahathir dan Muhyiddin itu menjurus kepada sasaran yang sama iaitu kepimpinan Najib yang dianggap lemah, tiada perubahan SERTA memungkinkan UMNO dan BN tewas dalam PRU 14 nanti.
Apakah ini merupakan petanda awal bermulanya gerakan untuk menjatuhkan Najib sebagaimana yang pernah berlaku kepada Abdullah Badawi sebelum ini? Dan kebimbangan mengenai kalahnya UMNO dan BN dalam PRU 14 nampaknya telah dijadikan umpan untuk menarik lebih perhatian dalam UMNO sendiri terhadap usaha itu.
Mahathir pula hari ini meneruskan lagi tekadnya untuk kekal memberi teguran dengan alasan bahawa kerajaan wajar dkritik sekiranya dasar yang diamalkannya tidak memberi manfaat kepada negara.
Mahathir juga mengakui bahawa beliau adakalanya boleh bertindak "jahat" tetapi kerapkali tindakan itu akan menghasilkan sesuatu yang baik akhirnya.
Tidak lain ini menunjukkan satu signal bahawa teguran dan kritikannya yang dianggap sebagai perbuatan tidak baik atau jahat oleh sesetengah pihak daripada seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri sebelum ini adalah semata-mata untuk membawa kebaikan kepada negara?
Melihat kepada usaha berterusan Mahathir mengkritik dan menegur kerajaan serta sudah mula pula mendapat sambutan daripada Muhyiddin, adalah dipercayai gerakan ini akan berterusan dan meningkat daripada semasa ke semasa. Beberapa pemimpin dan kelompok yang ada kaitan ddngan UMNO dan kerajaan juga diyakini akan turut serta tidak lama lagi.
Percayalah, sekarang ini kedudukan Najib tidak lagi seselesa dulu. Jika dulu hanya pembangkang dan NGO pro PR saja mengasaknya tetapi mulai sekarang asakan daripada dalam UMNO dan kerajaan juga akan turut meningkat seiring dengan perjalanan masa.
Selepas ini satu demi satu pemimpin, bekas pemimpin atau kumpulan tertentu yang ada kaitan dengan UMNO dan kerajaan akan muncul bukan saja untuk menyokong Mahathir tetapi juga mengkritik Najib.
Semuanya kerana Najib didapati tidak berubah dan terus degil tidak mahu berubah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan