Sudah dua kali Najib bagi mesej untuk singkir Muhyiddin? - MSO

Mohd Sayuti Omar
Kalau tidak silap sudah dua kali Najib Razak menyarankan agar Umno memberi laluan kepada orang muda untuk memimpin parti Umno.
Pertama semasa beliau berucap dalam konvensyen Umno Johor baru-baru ini. Hari ini semasa berucap di konvensyen Umno Wilayah Persekutuan Perdana Menteri ke 6 itu sekali lagi menyarankan agar orang muda diberi laluan.

Jika tidak dihalusi saranan Najib itu sebagai perkara biasa sahaja. Orang Umno yang muda akan bertepok tangan kerana merasakan mereka dihargai oleh Najib. Tetapi kalau disuluh dan diselek bungkusan rahsia (perkembangan) dalam Umno, saranan Najib itu mempunyai maksud tersendiri. Najib bukan saja-saja membuat saranan itu sampai lebih daripada sekali. Setiap tutubicara dan gerakgeri orang politik membawa makna dan maksud tersendiri.

Najib tentu ada mesej dan isyarat yang hendak disampaikan dengan saranan bersahaja itu. Dan siapakah orang muda yang dimaksudkan Najib itu? Apakah ia terdiri daripada pimpinan pemuda? Atau mereka yang berusia di bawah 60 tahun?

Atau pun apakah Najib mahu Umno diimpinan oleh ahli yang berusia dibawah 40 tahun memandangkan bilangan pemilih dalam pilihan raya umum akan datang melebihi 54% dari kalangan orang muda. Begitukah?

Apabila dikaitkan dengan desas desus yang terdengar dan "disoksek-soksek" dalam Umno ketika ini, cadangan dan seruan Najib itu ada kena mengena dengan apa yang sedang diperkatakan dalam Umno kini, iaini mengenai kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bagi orang yang prihatin dengan sepak teranjang politik Umno sudah dapat membaca kilau dalam kilat ketika ini. Para "pengumba" dan broker (bukan brua) dalam Umno juga sedang memainkan peranan masing-masing.

Bukankah sebelum ini sudah berhembus khabar angin mengatakan Muhyiddin Yassin tidak selesa dan tidak nggam bersama Najib. Muhyiddin yang dilihat cenderong amat kepada keMelayuan tidak bersetuju dengan tranfsormasi dilakukan Najib yang dianggap merugikan Melayu. Gara-gara itu terdengar yang Muhyiddin ingin berundur.

Dalam temuramah dengan akhbar PB semalam Muhyiddin ada menyebut perkara itu dengan berkata tidak mahu ia dipedulikan. Beliau juga cuba membaiki keadaan mengatakan dia dan Najib membahagi tugas dan tanggungjawab negara. Satu hal yang perlu diketahui apabila soalan itu diajukan oleh akhbar berkenaan, ia merupakan satu berita benar. Bahawa desas desus mengatakan hubungan Najib dengan Muhyiddin tidak serasi, benar. Akhbar itu adalah lidah Umno.

Ekoran itu juga ada nama baru sudah disebut-sebut akan mengambil alih tempat Muhyiddin. Kononnya Najib akan menukar Muhyiddin dengan nama lain. Jadi apabila Najib memberi mesej agar orang muda diberi peluang ia ada kaitan langsung dengan desas desus dan khabar angin berkenaan.

Dalam hieraki Umno atau pimpinan tertinggi Umno kini, siapakah yang termuda sekali. Sekiranya Najib mahu menggantikan Muhyiddin Yassin, sebelum berlangsung perhimpunan melibatkan pemilihan agung Umno pada tahun 2017, tokoh itu tentulah sepupunya sendiri Hishamuddin Hussein. Dari segi usia, dari kalangan Naib-Naib Presiden kini Hishamuddinlah yang paling muda.

Anak bekas Perdana Menteri ke tiga, kini berusia 53 tahun, manakala dua lagi Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi berusia 61 tahun sama dengan usia Najib manakala Shafei Afdal berusia 57 tahun. Muhyiddin pula kini sudah berusia 67 tahun. Jadi tokoh yang termuda ialah Hishamuddin.

Bukan itu sahaja kebetulan pula waktu ini di antara Naib Presiden Umno Hishamuddin Hussinlah yang popular dan mempunyai kelebihan dari kacata mata Najib. Tragedi kehilangan pesawat MH370 telah memberi kelabaan besar kepada Menteri Pertahanan itu. Tragedi itu menyebabkan Hishamuddin popular dan namanya dikenali dunia. Bahkan Hishamuddin dianggap lebih baik daripada Najib dalam mengendalikan sidang akhbar yang diadakan berhubung tragedi berkenaan.

Begitu juga hubungan Hishamuddin dengan Najib sebagai adik beradik sepupu memberi kelebihan kepada Najib untuk mempercayai kepada Hishamuddin berbanding dengan Zahid dan Shafei. Hubungan darah daging menjadikan "sentimental value" Najib kepada Hishamuddin tinggi.

Makanya gesaan Najib agar Umno memberi peluang kepada pemimpin muda tidak lain dan tidak bukan melainkan berharap Hishamuddin akan mengambil alih tempatnya suatu hari kelak, bukannya Muhyiddin ataupun naib presiden lain terutamanya Zahid Hamidi.

Apakah gesaan dan saraan Najib itu akan mendapat reaksi perwakilan Umno minggu depan, sama-sama kita tunggu dan lihat apakan ujikali Najib berjaya atau sebaliknya. Selalunya pokok pauh kalau berbunga ia akan membuahkan buah pauh juga. Hehe.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan