PETALING JAYA: Nasib Badrul Hisham Shahrin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan ditentukan oleh Lembaga Disiplin yang dijangka membuat keputusan mengenainya dalam masa terdekat.
Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Aizah Ismail berkata, parti itu menyerahkan kepada Lembaga Disiplin yang dipengerusikan oleh Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Khatib untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Perkara itu diserahkan kepada pengerusi Lembaga Disiplin PKR yang baru untuk mengendalikannya,” katanya mengulas tindakan ahli PKR yang digantung itu mendedahkan empat wakil rakyat parti itu yang menarik balik sokongan terhadap Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard turut mendakwa Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali turut bersetuju dengan langkah Sultan Selangor menarik balik pingat kebesaran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Wan Azizah, empat ADUN PKR dan seorang ADUN DAP yang dikaitkan oleh Badrul Hisham telah menafikan ketidaksetujuan mereka menyokong beliau menjadi calon MB menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
ADUN Kajang itu mendakwa, PKR dan PR sebulat suara menyokong penuh Azmin sebagai MB yang baru bagi menggantikan Abdul Khalid yang dipecat daripada PKR.
“Kita menyokong langkah-langkah yang dibuat setakat ini oleh MB baru dan ianya tidak menjadi isu lagi,” ujarnya.
Kenyataan Badrul Hisyam juga lebih kepada bersifat peribadi dan ia sudah tidak menjadi isu untuk dibincangkan pada masa ini, jelas Wan Azizah semasa mengadakan sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Empat ADUN tersebut ialah Amiruddin Shari (PKR-Batu Caves), Mat Shuahaimi Shafiee (PKR-Sri Muda), Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing) dan Ng Sze Han (DAP-Kinrara) dan Dr Xavier Jayakumar (PKR-Seri Andalas).
-fmt-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan