Itulah jawapan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed apabila ditanya mengenai kehadirannya pada forum “Kebebasan Berekspresi Diancam” yang diadakan semalam.
Nur Jazlan yang dipetik Sinar Online berkata, dia mahu menggunakan peluang ada untuk menyuarakan pendapatnya.
“Persoalan mengenai karier politik saya, sudah tidak saya fikirkan lagi. Saya tidak kisah mengenai kedudukan saya dalam parti, kerana saya sudah tiba di satu peringkat, di mana saya sudah tidak mengejar kedudukan dalam parti.
“Tetapi, saya mahu menggunakan platform ini untuk menyesuaikan politik lebih sepersetujuan daripada bertengkar setiap masa,” katanya.
Turut hadir aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam), Datuk S Ambiga.
Nur Jazlan berkata, tindakannya untuk berdepan pencabar atau mereka yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan adalah perubahan yang mahu dicipta untuk partinya.
“Saya tidak akan menyertai pembangkang, kerana saya tidak percaya dalam perjuangan mereka, tetapi saya akan berusaha untuk membuat sedikit perubahan dalam parti.
“Sekiranya, ada orang pertama yang berani membuat perubahan dalam parti, saya mahu orang itu adalah saya,” katanya.
Jelasnya, dia akan menerima, sekiranya itu menyebabkan karier politiknya berakhir.
“Sekiranya, ini adalah pengorbanan yang perlu saya lakukan, tak apa. Berapa ramai yang berani mengambil risiko ini? Saya terima cabaran ini,” katanya.
Menurut Nur Jazlan, keadaan politik di negara ini perlu berubah, kerana rakyat semakin matang dalam pemikiran mereka.
“Rakyat mahukan kerajaan yang boleh mendengar buah fikiran semua orang.
“Sekiranya kita terus berperang dengan pembangkang, ia hanya akan menyusahkan negara,” katanya.
Nur Jazlan sebelum ini dilaporkan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih agresif membuat perubahan dalam parti.
Malah, Nur Jazlan turut memuji Adam Adli, kerana berani menjadi lain daripada yang lain, dan menyatakan dengan jelas pendapatnya seperti Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim ketika dia menjadi ketua pelajar dahulu.
Bulan lalu, portal berita The Star melaporkan, Nur Jazlan memberi pendapat sama apabila beliau berkata: “UMNO sudah tidak sukakan saya lagi. Saya kalah untuk merebut kerusi majlis tertinggi.
Mereka melihat saya sebagai seorang yang tidak mahu meneruskan cara lama UMNO.”
Katanya, dia mahu kerajaan meningkatkan lagi kebertanggungjawaban dan disiplin kewangan, dengan menubuhkan satu sistem yang boleh diaudit.
Nur Jazlan turut mengkritik partinya, kerana tidak memberi peluang kepada pemimpin muda dengan berkata:
“Persidangan UMNO semakin membosankan setiap tahun, kerana mereka bercakap perkara sama.”
Sehubungan itu, beliau menggesa UMNO berubah, kerana jika dibandingkan dengan DAP, parti itu mempunyai ramai pemimpin muda, seperti Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang baru berusia 32 tahun dan Dyana Sofya Mohd Daud, 24.
-The Rakyat Post-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan