Ini mengundang malapetaka besar

Kenapa benarkan guna arang di kilang besi Kemaman?
ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR: Penggunaan arang bagi proses pembakaran besi di Eastern Steel, Teluk Kalong, Kemaman akan mengundang kepada pencemaran alam, berbanding penggunaan gas.
Malah, penggunaan arang itu juga tidak mendatangkan keuntungan kepada negara kerana ia dibawa masuk dari China, berbanding jika kilang tersebut menggunakan gas Petronas yang sedia ada.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah, berkata keadaan itu hanya akan mengundang mala petaka lebih besar pada peringkat pemerosesan di kilang besi di Teluk Kalong yang akan beroperasi tidak lama lagi.

"Dengan sikap begini rupa dan kelemahan “no political will” Kerajaan Terengganu dan Malaysia, saya memberi amaran kepada kerajaan, mala petaka lebih besar menunggu kita pada peringkat pemprosesan di kilang besi di Teluk Kalong yang akan beroperasi tidak lama lagi," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Malah, Raja Bahrin mengatakan dua negara pengeksport bijih besi terbesar dunia, Brazil dan Australia sendiri hanya membenarkan besi dibawa keluar, dan tidak membenarkan ia dibakar di dalam negara mereka atas alasan pencemaran alam.

Tambah beliau, oleh sebab pencemaran alam di China amat dahsyat, mereka bertindak mendirikan kilang-kilang memproses besi luar dari China.

"Perlu diingat, Australia dan Brazil berpuluh kali lagi besar dari Malaysia, tetapi mengapa kita senang-senang menerima kilang-kilang ini tanpa memikir kesan sampingan jangka masa panjang, seperti mana juga dalam isu Lynas," kata beliau.

Dengan penggunaan arang tersebut, kata Raja Bahrin ia akan mengundang pencemaran yang lebih teruk dan menyebabkan penyakit berbanding gas yang lebih bersih.

Katanya, kajian awal EIA mendapati 15 peratus penduduk sekitar mengalami sakit lelah dan mempunyai masalah pernafasan sejak kilang besi yang terdahulu.

Malah, tegas Raja Bahrin, Eastern Steel pernah dikenakan denda kerana tidak mematuhi syarat-syarat Jabatan Alam Sekitar, selepas isu berkaitan kilang itu dibangkitkan di sidang Parlimen, Mac lalu.

Beliau mendakwa, dua sungai yang mengalir di sebelah utara dan selatan kilang itu berpotensi dengan pencemaran yang dibawa terus ke Laut China Selatan, selain mengakibatkan ikan di laut dan sungai makin berkurangan.

Justeru, Raja Bahrin mendesak kerajaan untuk bertanggungjwab dengan menjelaskan kepada rakyat berkaitan proses pembakaran besi yang dijalankan Eastern Steel ini.

"Sejak tahun 1970-an ketika Terengganu diterajui bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, syarat-syarat yang lebih ketat di kuatkuasakan. Mengapa Kerajaan Terengganu sekarang tidak lagi mengenakan syarat-syarat ini? Apa yang kita dapat adalah pencemaran dan kemusnahan alam sekitar Terengganu dan kerugian ekonomi," kata beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan