WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR: Serangan demi serangan yang dihadapi Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak khasnya oleh bekas ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang menerajui kerajaan sejak 2009 lagi membayangkan bertapa pemerintahan Presiden Umno ini sebenarnya dibelenggu masalah yang parah.
Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, tekanan yang dihadapi Najib ketika ini khasnya dalam isu Skandal 1MDB boleh menyebabkan Ahli Parlimen Pekan itu menerima nasib yang sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2009 yang terpaksa melepaskan jawatan kerana serangan Dr Mahathir.
Mohamad Sabu berkata, skrip yang sedang berlaku ketika ini seakan mengulangi skrip yang hampir sama seperti ketika Mahathir menyerang kerajaan anak beranak membabitkan Tun Abdullah (Pak Lah).
“Ketika itu serangan dikhususkan kepada Pak Lah kerana pentadbiran didakwa dikuasai oleh ‘Geng Tingkat 4’ yang dikatakan dikepalai anak menantunya.
Kini, serangan terhadap Najib pula disasarkan berikutan kelemahan Najib dalam mengendalikan ekonomi negara khasnya dalam pelaburan 1MDB yang dikatakan suatu pelaburan yang sia-sia,” katanya lagi.
Bagi Mohamad, seandainya serangan hanya dihadapkan oleh pembangkang terhadap kredibiliti Najib, pastinya isu ini hanya dilihat sebagai suatu isu yang tidak mampu menggugat kedudukan Perdana Menteri.
Sebaliknya kata beliau, apabila Mahathir turut melancarkan kritikan, maka kesan besar pastinya boleh berlaku di mana bekas Perdana Menteri itu sebenarnya memiliki kekuatan soko ngan akar umbi Umno selain pengaruh di kalangan media khasnya media yang cenderung kepada Umno-BN.
Sambil menyifatkan hayat politik Najib tidak akan bertahan lama berikutan isu ini, Mohamad Sabu bagaimanapun menasihatkan Pakatan Rakyat untuk memfokuskan agenda membela rakyat disaat kerajaan BN kini dilihat tidak memperdulikan rakyat dengan dasar yang tidak menyebelahi kebajikan rakyat.
“Kita hentikan polemik dalaman, dan kita fokuskan kepada isu yang sedang melanda negara ketika ini antaranya penarikan subsidi harga minyak, skandal 1MDB yang akan menyebabkan kantung wang negara semakin bermasalah, kepimpinan Najib yang lemah, kedudukan nilai ringgit yang semakin menurun dan isu kos sara hidup yang sangat menghimpit rakyat,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan