Shahbudin Husin
Tidak seperti selalunya, Mesyuarat Agung Perkasa tahun ini lebih menjadikan UMNO, Najib Razak dan beberapa pemimpinnya sebagai sasaran berbanding mereka daripada pembangkang.
Pemimpin UMNO tidak saja dilabel tidak tegas dan kurang teguh pendirian dalam memperjuangan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi iuga dianggap mudah menangis apabila menghadapi tekanan.
Di tahap tertentu, ada juga pemimpin UMNO yang turut dikategorikan sebagai "bangsat" oleh Perkasa dalam mesyuaratnya semalam.
Sementara pemimpin Pas, PKR dan DAP boleh tersenyum kali ini kerana tidak dihentam oleh Perkasa, Najib Razak pula menjadi sasaran utama kali ini. Selain "dinasihati" agar mengurangkan aktiviti terbang ke luar negara, Najib juga diminta berhenti menipu rakyat dengan memberitahu apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam negara ketika ini.
Dengan tujuan lebih memperlekeh kedudukan Najib, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali juga mendabik dada mendakwa, beliaulah pejuang Melayu ketika ini.
Serangan Perkasa terhadap UMNO dan Najib menyusul hanya dua hari setelah seorang pemimpin UMNO Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassah membuat laporan polis terhadap 1MDB yang diragui urusniaganya.
Walaupun dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu, di sebalik desakan Mahathir Mohamad agar perwakilan bersikap lebih berani menegur dan mengkritik pemimpin, Najib berjaya mengepung suara-suara nakal itu, tetapi kini nampaknya cabaran yang bakal dihadapi oleh Perdana Menteri jauh lebih menyakitkan daripada jangkaannya.
Laporan polis terhadap 1MDB dan serangan keterluan Perkasa terhadapnya sehingga dituduh menipu rakyat adalah sesuatu yang di luar jangkaan Najib akan diterimanya sebaik usai Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.
Mahathir yang sudah lama mengkritik, tentu saja tidak berhenti daripada terus membelasah Najib selepas ini. Daim dan beberapa bekas menteri juga pastinya tidak terkecuali bersama bekas Perdana Menteri itu. Rangkaian maya pro Mahathir barangkali akan melipatgandakan lagi serangan mereka.
Mahathir, Daim, Perkasa, Ibrahim Ali, Khairuddin Abu Hassan dan lain-lainnya seperti sudah berada dalam bakul yang sama ketika ini.
Pembangkang pula bagaikan mendapat lebih suntikan untuk terus menghakis keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN dengan menjadikan PRU 14 sebagai matlamat mereka.
Jika dalam pilihanraya umum lalu, BN hanya mendapat 47 peratus sokongan undi popular dan setelah lebih setahun daripada tempoh itu peratusannya dipercayai terus merosot, harapan BN terus berkuasa jika dipimpin Najib jelas semakin tipis.
Selain pertukaran Najib satu-satunya cara yang diyakini mampu membawa sedikit harapan kepada BN, amaran Muhyiddin bahawa hanya penurunan 2 peratus pengundi saja akan menjadikan BN sebagai pembangkang, adalah juga isyarat tersembunyi mengenai kegagalan Najib sejak pasca PRU 13 lalu.
Bagi Muhyiddin, Najib bukan saja gagal meningkatkan sokongan rakyat kepada BN melalui pelbagai transformasinya, tetapi juga harapan untuk mengelakkan penurunan 2 peratus itu turut mustahil.
Kiranya PR dapat mengukuhkan lagi ikatan dan persefahaman serta mengurangkan pergeseran sesama mereka dalam beberapa isu seperti hudud, calon PM dan sebagainya, tidak diragui bahawa mood rakyat lebih memihak kepada gabungan itu.
Sehari dua ini, mungkin berlaku lagi perkara-perkara yang di luar jangkaan Najib . Bukan saja mungkin tampil pemimpin, kumpulan atau NGO yang bersuara senada dengan Perkasa atau Khairuddin misalnya, penolakan terhadap Najib di alam siber juga meningkat dengan serta-merta.
Kedudukan Najib, dalam tekanan yang kian meningkat ini, tidak diragui lagi makin terhimpit dan keseorangan. Laluan masa depannya turut semakin sempit. Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan turut tidak sekuat dulu lagi mempertahankan Najib. Tempoh 39 bulan akan datang sebelum PRU 14, jika Najib memilih untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri adalah laluan yang penuh ranjau dan berduri untuk dilaluinya.
Najib akan menjadi Perdana Menteri yang paling dipertikai oleh kawan dan lawan. Serangan terhadapnya hanya akan berhenti jika beliau sedia mengundurkan diri lebih awal sebelum PRU 14.
Tetapi jika Najib memilih untuk terus bertahan dan enggan mengalah, PR tidak perlu terlalu bersusah payah lagi menghadapi PRU 14 nanti kerana sebahagian tugas mereka sudah pun diambil alih oleh Mahathir, Ibrahim Ali, Perkasa serta mereka yang senada dengannya.
Segala-galanya kini di tangan Najib
http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan