Aspan Alias
Najib mengambil keputusan untuk membawa Rafizi Ramli dan Tony Phua ke muka pengadilan kerana kritikan keras kedua-dua ahli parlimen pembangkang ini terhadap beberapa isu termasuk isu 1MDB yang berterusan dibangkitkan oleh kedua-dua pemimpin pembangkang ini. Ada pihak yang memberikan reaksi sebagai tindakan kebudak-budakan dan ada yang juga menyokong tindakan Najib itu.
Bagi saya, tindakan Najib itu boleh didukung dan juga boleh ditentang. Saya menyokong tindakan Najib itu kerana Najib sudah kehilangan jalan dan usaha yang betul untuk menolak tuduhan yang dilemparkan kepada beliau. Sebagai seorang pemimpin lemah Najib tidak mempunyai kudrat untuk bertindak secara politik kerana 1MDB itu sesungguhnya telah membawa pimpinan Najib sekarang merudum ke peringkat yang terendah.
Maka mengambil tindakan undang-undang merupakan jalan yang terakhir bagi beliau untuk mempertahankan diri beliau yang sudah tersepit dengan isu 1MDB ini. Dalam situasi sekarang Najib tidak boleh dipersalahkan kerana beliau sedang berhadapan dengan masalah besar dalam memimpin negara dan apabila terdesak tentulah beliau akan melakukan perkara-perkara dan tindakan yang tidak tepat. Pemimpin yang sudah lesu tidak akan membuat keputusan yang baik. Dalam masa yang sama tindakan itu sendiri akan menambah ‘aura’ kepimpinan kedua mereka yang sedang di ambil tindakan itu.
Sesungguhnya tindakan Najib itu telah menambahkan kekurangan keyakinan rakyat terhadap beliau kerana tidak mempunyai kemampuan untuk mempertahankan isu ini dengan cara politik. Mungkin tindakan undang-undang merupakan satu-satunya jalan untuk melengahkan isu 1MDB ini terjawab kerana Najib sedang menghadapi terlalu banyak beban dalam kepimpinannya untuk diselenggarakan.
Najib tidak mahu jika boleh, untuk melepaskan tanggungjawab memimpin negara ini kepada orang lain kerana mempertahankan jawatan di Putrajaya itu selama yang boleh merupakan ‘ultimate’ bagi beliau dan beliau akan melakukannya ‘at all costs’.
Najib lebih rela negara jatuh dan jahanam daripada turun dari jawatan yang beliau tidak mampu lagi melaksanakan tanggungjawabnya itu. Najib bukan tidak sedar yang beliau sudah kehilangan panduan dan arah untuk kembali membawa negara ke landasan yang betul, tetapi kerana kepentingan peribadi beliau, Najib sanggup membawa negara jatuh dan berkecai.
Sekarang Najib sedang menghadapi masalah kejatuhan harga minyak dunia yang secara ‘direct’ memberikan impak terhadap kepimpinan beliau. Bagi mereeka yang rasional dan prakmatik Najib sepatutnya mengubah angka-angka yang di ‘baca’ nya dalam pembentangan bajet 2015 Oktober lalu kerana seperti yang kita sedia mengetahuinya bajet itu telah didasarkan kepada harga minyak yang melebihi USD80 dan dengan kejatuhan harga minyak ke paras bawah USD70 sekarang ini, ia tentunya akan mempengaruhi bajet yang beliau telah bentangkan itu.
Kalau ditanya mereka yang tidak mempunyai kecenderungan untuk memihak kepada mana-mana parti politik dan memberikan pandangan dengan betul dan adil, Najib sepatutnya mengangkat bendera putih dan berundur dari jawatan yang beliau pegang sekarang ini. Beliau sepatutnya berkorban untuk negara kerana berkorban dan meletakan jawatan itu juga merupakan satu pengorbanan untuk negara.
Kita mesti mengakui setiap orang itu ada yang mereka tidak dapat melakukannya dan dalam isu kepimpinan negara ini Najib sememangnya tidak kena pada tempatnya untuk bergayut lagi. Mungkin Najib lebih pandai melakukan kerja dan tanggungjawab lain tetapi untuk terus menjadi Perdana Menteri adalah satu kerja dan tindakan yang salah. Saya berharap pandangan ini tidak akan dianggap sebagai menghasut kerana Akta Hasutan sudah tersedia dilengkapi untuk menahan sesiapa yang dianggap menghasut.
Ramai yang berpendapat Najib tidak akan mampu untuk membetulkan keadaan yang negara sedang hadapi sekarang ini, apatah lagi dalam keadaaan politik dan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang ini. Najib perlu berfikir panjang dan memikirkan mencari jalan untuk berehat. dan membiarkan rakyat memikirkan siapa yang boleh menjadi seorang ‘planner’ untuk membetulkan segala kesilapan atau kesalahan yang berlaku dalam kerajaan hari ini.
Tidak siapa sepatutnya menafikan yang kepimpinan beliau tidak lagi relevan kerana jika ia masih relevan, masakan keadaan negara kita sedang berdepan dengan ketidak tentuan yang begitu ketara, seolah-olah negara ini sudah tidak berkerajaan lagi. ‘Najib and Gang should own up all the misdeeds they have committed to the nation and all Malaysians’
Sememangnya tidak ada lagi jalan bagi beliau untuk menebus kelemahan beliau dan jika beliau masih berada di atas itu negara akan menghadapi ‘unmitigated problems’ yang lebih besar yang tidak dapat dibayangkan padahnya.
Najib tidak boleh memindahkan masalah beliau kepada rakyat biasa seperti kami ini. Najib sekarang lebih menumpukan usaha untuk mengekalkan kuasa dari memberikan khidmat yang baik kepada rakyat dan negara. Sampai bila Najib hendak bertahan dengan menggunakan kelemahan yang sedang berlaku dalam pembangkang sekarang ini?
Kita memerlukan pemimpin yang berpengalaman dan tahu untuk membawa transformasi yang drastik serta memulakan sebuah negara yang baru dengan kepimpinan yang memahami masalah yang kita sedang hadapi.
Ini amat perlu memandangkan semua ‘fabrics’ politik negara kita sekarang sudah hancur lumat dan kita perlu melakukan sesuatu dalam kadar yang segera dan tidak melambatkan usaha menuju ke arah politik baru dan membawa negara ke arah situasi dan keadaan yang lebih menjamin masa depan negara dan generasi kita keseluruhannya.
Jangan malu-malu untuk mengakui kelemahan kita. Tidak perlu saman-menyaman kerana ia akan lebih menunjukan kelemahan beliau yang lebih besar jika perkara ini dibawa ke mahkamah.
Usaha mempertahankan jawatan itu adalah haknya tetapi ia mempunyai limitasinya juga. Jika melintasi sempadannya ia akan memudaratkan negara dan generasi rakyat negara kita ini. Jangan ditunggu sehingga negara tergadai baru hendak berhenti. Tinggalkanlah nama semasa berhenti. Cara bagi Najib untuk meninggalkan nama yang baik ialah dengan bersara agar tindakan beliau itu dikenang sebagai jasa terbesarnya untuk kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan