Kano: Seorang pengantin kanak-kanak mengaku membunuh suaminya yang berusia 35 tahun dengan racun tikus.
Wasila Tasi’u menandatangani pengakuan itu di Mahkamah Tinggi Gezawa dengan cop jari di mahkamah semalam kerana dia tidak tahu membaca.
Jika didapati bersalah, Wasila, 14, akan dihukum mati, sekali gus menjadi kanak-kanak pertama menjalani hukuman itu di Nigeria sejak 18 tahun lalu.
Menurut polis, suaminya, Umar Sani ditemui mati empat hari selepas mereka berkahwin pada April lalu.
Wasila berasal dari keluarga miskin dan tinggal di Kano, utara Nigeria, tempat perkahwinan kanak-kanak dan poligami berleluasa.
Kes itu mendapat reaksi berbeza di wilayah itu yang yang menguatkuasakan undang-undang syariah di samping undang-undang sivil.
Mahkamah berkenaan sesak semalam dengan orang ramai mahu menyaksikan perbicaraan itu.
Isteri pertama lelaki itu, Ramatu memberitahu mahkamah, dia melihat madunya menyediakan makan malam untuk suami mereka sebelum tidur.
Tidak lama selepas itu, dia melihat mulut lelaki itu berbuih dan menggelupur.
Seorang kanak-kanak tujuh tahun, Hamziyya, dipercayai adik Wasila dan turut tinggal di rumah itu, didakwa membeli racun tikus berkenaan atas arahan kakaknya. Ia disahkan oleh peniaga, Abuwa Yusuf.
Hamziyya memberitahu mahkamah: “Kakak saya memberitahu dia diganggu tikus di biliknya.”
Seorang jiran, Abdulrahim Ibrahim memberitahu mahkamah, dia turut makan bersama lelaki berkenaan pada hari itu, tetapi menjamah sedikit saja kerana rasa makanan itu kurang enak.
“Umar terus makan dan dia mati malam itu juga,” katanya.
Perbicaraan bersambung 16 Februari depan.
-Agensi/hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan