Ustaz ustazah ekspres, sindiran dan jenaka

SUBKY LATIF 
MUNGKIN Dr. Masitah Ibrahim sekadar hendak menegur dan memberi peringatan betapa artis yang menyertai PAS sekonyong-konyong menjadi ustaz dan ustazah. Jika menjadi ustaz dan ustazah atau dijadikan ustaz dan ustazah, maka mereka akan dikira ustaz dan ustazah ekspres.

Yang dibimbangkannya dengan latar belakang dan pengetahuan agama mereka, ditakuti mereka menyampaikan maklumat Islam yang tidak betul. Nescaya celarulah jika yang disebarkan itu Islam yang salah.

Saya suka bersangka baik tentang apa yang disampaikannya dalam Perhimpunan Agung Wanita Umno sebagai perwakilan Kedah dari Baling.

Kebimbangannya berasas. Sebagai ilmuwan berpengetahuan PhD Islam, pernah memberi pandangan Islam yang menyesatkan. Antaranya tentang hukum ibu melacur bagi menyara anak. Sebagai Timbalan Menteri hal ehwal agama, jawapannya diharuskannya. Banyak lagi pandangan Islamnya tidak kemas.

Jika Masitah berpengetahuan PhD agama bercakap sesat dan menyesatkan, maka kesilapan sama boleh dilakukan oleh ustaz ustazah ekspres. Jika artis yang diketahui jahil memberi pandangan silap, kurang kesan impaknya. Tapi kalau Masitah yang berPhD membuat kepalsuan, boleh patah tiang agama.

Apapun tanggapan Masitah terhadap artis itu tidak dilihat umum sebagai ingatan dan teguran, tetapi ia lebih kepada sindiran dan jenaka. Bagi pasaran dakwah, artis yang terjun ke dalam PAS lebih laris daripada Masitah yang berpengetahun tinggi Islam dari mereka. Itulah penilaian orang awam pelbagai lapisan.

Reaksi Abby Abadi, antara artis yang jadi PAS itu dalam sambutan 63 tahun PAS di Kuala Kangsar, penampilan mereka dalam dakwah, tidak pernah mengajar tetapi mengajak. Dibimbangi, Masitah mengajar tidak, mengajak pun tidak tetapi menyindir orang hendak kembali kepada Islam.

Jika mereka dipanggil ustaz dan ustazah, tidaklah mereka memintanya tetapi itulah penghormatan orang awam terhadap orang yang berhijrah kepada yang betul. Semua tahu saya bukan ustaz. Apabila saya masuk PAS, orang PAS yang saya bukan ustaz panggil saya ustaz, tak tahu pun panggil ustaz. Bukan PAS saja, Umno yang kenal saya pun panggil saya ustaz. Dari muda saya berkawan dengan Tun Musa Hitam. Dia tahu saya. Bila saya jadi PAS, dia pun panggil saya ustaz.

Kadang-kadang semasa solat berjemaah yang ada pegawai kanan Jakim dan pemimpin Umno yang berpengetahuan tinggi, baik bacaannya, lebih kelayakannya bagi menjadi imam, tetapi mereka tolak saya jadi imam. Apa saya nak kata apabila jadi imam ekspres? Ia bukan salah ustaz/ustazah ekspres, tetapi itulah penerimaan masyarakat termasuk orang Umno sendiri.

Kita arif tentang ustaz mengeletek hati, berlagu dan bergurindam dalam ceramah. Mengikut pakar, teknik dakwah sekarang pendakwah wajar berjenaka, berlagu sikit dalam dakwahnya supaya orang tidak mengantuk dan bosan. Disyaratkan pula oleh penaja Program Pencetus Ummah di TV, imam dan ustaz yang menyertainya kena berlakon, nyanyi dan melucu. Jik TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi yang berceramah tegang dari awal menyertai Pencetus Ummah, mereka akan kalah. Apa kita hendak kata dengan ilmu dakwah yang menekankan keadaan begitu?

Saya tidak perkenan imam dan lebai disuruh berlakon, tetapi itulah pencapaian dakwah terbaik mengikut pakar ilmu dakwah.

Memanglah kita rasa tidak kena alim ulama banyak berjenaka semasa mengajar dan berceramah. Majlis ilmu bukan panggung wayang, tetapi saya bimbang Masitah yang menyebut ustaz/ustazah ekspres dan pertandingan raja lawak dalam hujah di Perhimpunan Umno itu juga sengaja hendak berjenaka. Tanpa disedari terperangkap dengan Raja Lawak juga.

Perhimpunan Umno boleh diisi perkara lebih penting daripada ustaz/ustazah ekspres. Seperti ucapan Muhyiddin Yassin ketika merasmi sidang Pemuda, Wanita dan Puteri. Ucapannya kelas. Saya cemburu PAS tidak dapat buat ucapan macamnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan