Wartawan Cerita Saat Mencabar Terkandas Di Kuala Krai

Wartawan Cerita Saat Mencabar Terkandas Di Kuala Krai
KOTA BAHARU, 26 Dis (Bernama) -- Seorang wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia hari ini menceritakan pengalaman mencabar berada di jajahan paling teruk terjejas banjir di Kelantan iaitu Kuala Krai.

Menceritakan kembali detik cemas terkandas selama dua hari sejak Rabu lepas, Zaain Zain berkata pelbagai pengalaman terpaksa dilaluinya ketika membuat liputan banjir di kawasan berkenaan.

"Kami perlu meredah air paras dada dalam keadaan hujan lebat, menumpang kenderaan orang ramai dan menaiki tujuh buah bot sebelum tiba di bandar Kuala Krai berikutan jalan ditenggelami air.

"Ada satu ketika, kami melihat ada seorang remaja dihanyutkan bersama motosikalnya kerana arus deras ... nasib baik beliau sempat diselamatkan orang ramai," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika tiba di bandar Kuala Krai hampir keseluruhan bandar itu ditenggelami air.

"Kawasan itu bagaikan lautan hanya nampak air bila tiba di kawasan bandar, memang menitis air mata melihat semua musnah. Kami pada mulanya ingin ke Kampung Manek Urai tetapi tidak dapat ke sana berikutan tiada pengangkutan yang mahu membawa kami ke sana," katanya.

Zaain berkata beliau terpaksa tidur di dalam trak milik tentera yang keluar menyelamatkan mangsa banjir.

"Kami tidak dapat keluar ke Kota Baharu kerana air semakin tinggi, jadi kami terpaksa bermalam di sini (Kuala Krai). Kami juga terpaksa menahan lapar berikutan bekalan makanan tiada dan kesejukan kerana pakaian basah," katanya.

Sementara itu, jurugambar Jazaly Amry Jaafar berkata keadaan banjir di Kuala Krai sangat serius.

"Saat paling tidak dapat dilupakan ialah bot yang dinaiki hanyut kerana enjin bot rosak, kami dihanyutkan ke kawasan kebun getah. Kami bernasib baik kerana pengendali bot dapat menghidupkan kembali enjin dan membawa kami ke tempat selamat," katanya.

Jazaly Amry berkata apa yang lebih menyayat hati ialah ketika sedang menaiki bot, beliau melihat orang ramai meminta bantuan dari tingkat tiga bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai.

"Air dah berada di tingkat dua sekolah berkenaan dan pada waktu malam hanya nampak lilin di bahagian koridor sekolah berkenaan kerana bekalan elektrik terputus. Bot juga bergerak berpandukan tiang elektrik yang berada di tepi jalan.

"Berpuluh kenderaan seperti lori dan kereta ditenggelami air kerana tidak dapat keluar berikutan jalan keluar turut dinaiki air," katanya dan menurutnya tugasan tersebut merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana penuh dengan cabaran.
-BERNAMA-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan