SUBKY LATIF
SEMUA setuju betapa hujan yang melanda seluruh negara hujung tahun dan awal tahun baru berhari-hari adalah rahmat. Dan semua setuju bahawa banjir terbesar sejak merdeka kali ini adalah bala daripada Allah. Lagi besar banjirnya, lagi besarlah bala.
Rahmat hujan itu adalah rahmat kepada semua, Islam dan bukan Islam, manusia dan lain-lain makhluk. Bala juga sama terhadap yang kufur dan yang beriman. Bagi yang kufur memang ia bala yang sewajarnya setimpal dengan kekufurannya. Bagi yang beriman ia tempias atas kekufuran orang lain, ia tetap ujian kepadanya.
Saya terfikir apakah dosa kita semua atau apakah dosa orang lain yang kita terpaksa hadapi? Tidak bala kiranya semua tidak berdosa.
Tidak mungkinkah kerana memperleceh orang yang hendak kembali kepada Islam menghina hudud yang amat menjolok mata sama ada yang Islam dan yang bukan Islam adalah antara kewajaran banjir besar itu diturunkan.
Dulu ada juga bala tetapi tidak sebesar bala banjir ini. Bala dulu kerana sistem tidak mahu Islam termasuk hudud saja tetapi semua tidak terlibat menghina hudud dan memperleceh Islam. Semua tidak sedar sistem tidak Islam dipaksa ke atas kita. Sekarang kebanyakannya terlibat memperleceh hudud dan peraturan Islam.
Saya terasa begitu dan adakah betul seperti yang disangka itu. Saya diam mulanya. Tetapi ada yang sudah kata ia justeru menentang dan menolak Islam termasuk hudud, berterang menggalakkan apa yang Allah dan Nabi-Nya larang.
Tetapi bala itu bukan dihadapi oleh yang menolak Islam saja. Yang berjuang untuk mendaulatkan Islam seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah ikut jadi mangsa bala juga.
Jika rahmat adalah untuk semua, maka azab juga dirasai oleh semua. Banjir besar zaman Nabu Nuh dulu bukan justeru Nabi Nuh bukan nabi. Baginda maksum tetapi baginda juga ikut mengalami azab itu. Ditentang oleh isteri dan anaknya. Kebanyakan keluarganya binasa. Sekali baginda diselamatkan tetapi jangan kata baginda tidak mengalami kepatuhan atas bala besar itu.
Demikian juga yang dihadapi Nabi Luth. Bala untuk kaumnya ikut memusnah rumah tangga dan hartanya dan isterinya, terpaksa meninggalkan rumah bersama anak-anak dini hari. Makan tak tentu dan tidur tak tentu. Sekalipun baginda diselamatkan tapi jangan kata baginda tidak mengalami sebarang kepayahan.
Jika perjuangan Kelantan mahu menegakkan Islam menjadi mangsa yang paling teruk, bukanlah kerana dosanya, tetapi gara-gara keburukan daripada tentangan terhadap Islam akan dirasai oleh semua. Kepayahan yang mereka hadapi adalah kerana buruknya hidup di tengah masyarakat yang menentang Allah.
Yang menolak Islam itu tidak semesti dari Kelantan dan Terengganu saja tetapi yang ada di Kuala lumpur, Pulau Pinang dan lain-lain yang menjadi rakyat Yang Dipertuan Agong dan setia kepada kerajaan boleh menjejaskan semua yang berada di wilayah itu di mana-mana saja tidak kira beriman atau tidak.
Kepayahan yang dialami oleh para nabi dan orang-orang yang beriman, bukan kerana salah mereka tetapi itu payahnya hidup di tengah dunia yang menolak ketentuan Allah. Bagi menyelamat sekalian manusia beriman dan tidak, maka hendaklah ada dalam kalangan manusia itu berusaha menegakkan kalimah Allah sekali pun antaranya akan menjadi mangsa atas bala yang Allah timpakan atas alam.
Gara-gara bala yang disasarkan kepada yang engkar dialami sama ada oleh yang tidak engkar, tetapi azabnya hanya setakat yang kita dapat dilihat di dunia tetapi di akhirat mereka mendapat rahmat yang besar. Akan bala yang dihadapi oleh yang engkar kadang-kadang terlepas di dunia tetapi tidak terlepas di akirat.
Janganlah azab di dunia dan azab di akhirat. Memang mendaulatkan Islam itu penuh ujian. Ujian dan amaran besar ini adalah ditujukan kepada bukan Islam dan Islam supaya percayakan Allah Yang Esa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan