Shahbudin Husin
Isu penggunaan jet rasmi kerajaan oleh Datin Seri Rosmah Mansor kembali menjadi perbualan ramai berikutan pesawat yang membawa Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya untuk bercuti di Hawaii itu dikatakan masih berada di Indianapolis, meskipun perdana menteri sudah kembali ke tanah air.
Najib yang kembali ke tanah air secara tergesa-gesa dan memendekkan percutiannya kerana kritikan yang melaut terhadapnya disebabkan berita beliau bermain golf bersama Barack Obama tersebar luas di ketika banjir sedang melanda, didapati hanya pulang bersendirian saja.
Kepulangan Najib itu dikatakan dijemput jet VIP Tentera Udara Diraja Malaysia atau TUDM dengan nombor pendaftaran M53-01 manakala jet rasmi kerajaan yang dinaikinya semasa pergi ke Hawaii untuk bercuti iaitu 9M-NAA didapati terbang menghala ke Indianapolis pula.
Ia menimbulkan persoalan jet rasmi kerajaan itu sedang membawa Rosmah dan ahli keluarganya yang lain bagi meneruskan percutian mereka. Sehingga ini pun pesawat itu dilaporkan masih di sana.
Selain beberapa portal dan blog menimbulkan perkara itu dan bertanya di mana kewajarannya seorang isteri perdana menteri dibenarkan menggunakan jet rasmi kerajaan sedangkan Najib tiada bersamanya, Pemuda PKR melalui ketua penerangannya, Lee Chean Chung turut mengeluarkan kenyataan media meminta penjelasan kerajaan berkaitan dengannya.
Beliau menimbulkan persoalan, kenapa jet rasmi kerajaan tidak digunakan untuk membawa Najib pulang, kenapa perlu digunakan jet lain kepunyaan TUDM untuk menjemputnya yang tentunya menggandakan lagi kos, kenapa jet rasmi terbang ke arah timur iaitu Indianapolis dan siapakah yang menggunakan jet rasmi itu?
Tersebarnya berita kemungkinan jet rasmi kerajaan sekali lagi digunakan Rosmah, tambahan pula Najib hanya didapati bersendirian dalam beberapa lawatannya ke penempatan banjir sejak beberapa hari lalu, hampir menjadikan kepulangan Najib secara tergesa-gesa tidak bermakna lagi.
Ini kerana meskipun kepulangannya itu menunjukkan sikap prihatinnya terhadap rakyat, namun tindakannya yang seperti membenarkan isterinya menggunakan jet rasmi kerajaan itu dilihat lebih besar lagi silapnya. Ia bukan saja berkaitan kelayakan menggunakan jet rasmi itu tetapi juga menambahkan lagi pembaziran wang negara.
Di ketika ini, sambil orang ramai bercakap soal banjir yang kebetulan diikuti dengan pesawat Kumpulan Air Asia yang didapati hilang dan dipercayai terhempas di lautan Indonesia, mereka juga turut bercakap mengenai pesawat rasmi kerajaan yang juga "hilang" sedangkan Najib sudah berada di dalam negara.
Ada pula yang membuat humor, patutlah tidak ramai menteri-menteri yang didapati pulang walaupun Najib sudah mengeluarkan arahan agar mereka memendekkan cuti masing-masing kerana Rosmah sendiri pun tidak mahu pulang dan memendekkan percutiannya.
Jika diimbau pula, penggunaan jet rasmi kerajaan oleh Rosmah ini sudah beberapa kali berlaku dan seolah-olah tiada sesiapa yang mampu menghalangnya. Penggunaannya ketika bercuti kali ini dan dalam masa yang sama Najib pula berada di dalam negara, hanya menambahkan lagi kebencian dan kata mengata.
Najib pula tidak menganggap penggunaan jet kerajaan itu oleh isterinya sebagai suatu kesalahan, malah tidak juga merasakan suatu pembaziran apabila dua jet terpaksa digunakan dalam suatu masa.
Pendedahan demi pendedahan dan kritikan demi kritikan langsung tidak mendatangkan kesan agar perbuatan itu dihentikan.
Walaupun sudah banyak kali dikritik pemimpin pembangkang, tetapi tiada mana-mana pemimpin kerajaan yang berani bersuara. Kemarahan rakyat hanya dipandang enteng saja.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didapati seperti melemparkan "madu beracun" sebaik percutian Najib ke Hawaii tersebar luas dengan berkata, "biarlah perdana menteri bercuti, dia pun manusia biasa juga", mungkin juga ketika ini turut bersetuju isteri perdana menteri berhak menggunakan jet rasmi kerajaan itu.
Barangkali jawapannya, "biarlah Rosmah menggunakannya, pengorbanannya amat besar kepada negara. Dia juga penyokong dan pendokong Najib dengan sepenuh hati selama ini. Lagi banyak jet digunakannya, tambah makmur negara kita".
shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan