Jika rotan anak satu jenayah: Bagaimana pula anak yang mengabai orang tua...?

SALMIYAH HARUN
KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya Kerajaan menyusun undang-undang yang lebih ke depan bukannya menfokuskan kepada satu golongan sasar atau apabila timbul isu yang viral sahaja.

Misalnya kes pengabaian ibu bapa  juga harus diberi penekanan. Saban tahun berlaku peningkatan bilangan warga emas yang ditinggalkan di hospital mahupun di rumah-rumah jagaan warga tua.

Oleh hal yang demikian, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat menggesa Kerajaan untuk mengubal Akta Penjagaan dan Kebajikan Ibu Bapa (Maintenance and Welfare of Parents Act) seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti India, Amerika Syarikat, United Kingdom dan termasuk negara jiran, Singapura.

Exco AMK Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri berkata, pengalaman dari negara-negara yang telah menjalankan program ini dapat diambil dan dijadikan panduan.

"Sebagai contoh Akta Penjagaan Ibu Bapa (Maintenance of Parents Act) Singapura, memperuntukkan bahawa setiap warganegara yang berusia 60 tahun ke atas, yang tidak berupaya menyara kehidupan sewajarnya, berhak menuntut nafkah daripada anak-anak mereka.

"Selain itu saudara-mara terdekat boleh memohon tindakan mahkamah bagi pihak ibu bapa yang teraniaya tersebut," katanya dalam kenyataan media kepada Harakahdaily.

Tegas beliau, tidak ada keperluan untuk memasukkan frasa merotan di dalam undang-undang sedia ada, manakala terhadap ibu bapa sebaliknya harus diberi perhatian oleh Kerajaan.

Kenyataan ini sebagai respon kepada isu merotan anak sebagai tindakan jenayah yang dibangkitkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim baru-baru ini.

Tambahnya, jika sebelum ini pelbagai pihak di Malaysia mengkritik tindakan mahkamah Sweden yang mengenakan hukuman penjara kepada pasangan suami isteri dari Malaysia, yang di dakwa merotan anak mereka kerana keengganan menunaikan solat.

"Kini soalnya adakah Malaysia ingin mengikut contoh yang sama? Semestinya langkah ini amat tidak praktikal dengan budaya dan fahaman majoriti masyarakat kita yang beragama Islam.

"Islam mengesyorkan hukuman rotan dengan tujuan mendidik kepada anak-anak mahupun para isteri jika sekiranya teguran tidak diendahkan. Hal ini disahkan oleh beberapa dalil Hadis sahih yang menggariskan adab dan syarat-syarat tertentu," jelasnya.

Bahkan katanya, tiada keperluan untuk memasukkan perbuatan merotan ini ke dalam peruntukan Undang-undang.

Peruntukan Akta sedia ada seperti yang terkandung di dalam Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah secara tersirat merangkumi perbuatan (merotan) iaitu satu perbuatan yang berbentuk penderaan emosi dan fizikal yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

"Justeru apakah rasional memasukkan juga perkataan merotan ini di dalam peruntukan undang-undang? Tidakkah dilihat implikasi besar yang bakal menimpa ibu bapa mahupun guru-guru kelak?"soal beliau.

Katanya, Perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang dirujuk oleh Menteri juga sebenarnya tidak menyebut perbuatan merotan secara khusus.

"Apakah ada desakan dari pihak-pihak tertentu kepada pihak Malaysia untuk melaksanakannya?" tambah beliau.
-harakahdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan