Rozmal
Yang buat kotor mungkin lembu milik orang Melayu yang beragama Islam, yang membersihkannya orang Cina yang bukan beragama Islam. Semoga Wong Ah Pong mendapat petunjuk dan hidayah dari ALLAH.
Tanpa bayaran, tanpa paksaan
21 Januari 2015
KUALA PILAH - Jika anda melalui jalan di Kampung Juasseh Tengah pada pagi hari, mungkin anda akan terpandang seorang wanita warga emas sedang membersihkan jalan raya yang dipenuhi dengan najis lembu.
Itulah Wong Ah Pong, 82, yang menetap di kampung berkenaan sejak 60 tahun lalu, selepas mengikuti suaminya berhijrah dari Seri Menanti untuk bekerja sebagai penoreh getah di sebuah estet.
Tanpa sebarang bayaran atau dipaksa sesiapa, Ah Pong menjadikan rutin paginya seawal jam 7 mengutip najis-najis lembu yang bertaburan sepanjang kira-kira 100 meter di kampung berkenaan.
Lebih mengharukan, kerja berkenaan sudah dilakukannya sejak 30 tahun lalu.
Ketika ditemui Sinar Harian, Ah Pong yang fasih dengan dialek Negeri Sembilan dan menggelarkan dirinya Wan berkata, tiada sesiapa yang mendorong dia melakukan kerja itu.
"Wan buat semua ini ikhlas. Wan lakukan seawal jam 7 pagi sebelum kawasan ini sesak dengan kenderaan," katanya.
Menurutnya, dia kasihan melihat pemilik kenderaan yang melalui jalan dipenuh najis lembu itu.
“Walaupun Wan tiada kenderaan, tapi Wan faham perasaan mereka. Habis kereta mereka penuh najis lembu. Daripada Wan tak ada kerja, baik Wan bersihkanlah jalan ini," katanya.
Menurut Ah Pong, najis-najis sudah dikutip disimpan dalam karung plastik dan diletakkan di tepi jalan.
“Bila najis ini sudah kering, ramai yang datang ambil untuk dijadikan baja. Elok juga, dari terbiar begitu saja,” katanya.
Menyorot kehidupan Ah Pong, katanya, dia tinggal seorang diri selepas kematian suaminya.
"Sejak atuk meninggal pada 2011, Wan tinggal seorang diri walau anak-anak sibuk suruh tinggal bersama mereka.
“Wan tak mahu susahkan anak-anak. Selagi Wan masih terdaya, Wan mahu lakukan semua sendiri,” katanya yang mempunyai empat anak, tiga perempuan dan seorang lelaki.
Ah Pon juga tidak kekok untuk tinggal dikelilingi masyarakat Melayu kerana baginya, orang Melayu di situ sangat prihatin dan baik.
“Mereka mesra dengan Wan. Jika nampak Wan mahu ke Pilah, mereka akan tumpangkan Wan. Inilah dinamakan perpaduan. Tanpa kira bangsa, kita boleh hidup aman damai.
“Biarlah Wan akhiri sisa-sisa hidup di sini. Lagipun, apa yang Wan mahukan, semua ada, tidak mengapa kalau Wan tidak berada di bandar sekalipun.
“Wan juga akan tetap teruskan membersihkan najis lembu selagi masih terdaya,” katanya mengakhiri perbualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan