Najib perang Mahathir: Muhyiddin di sebelah siapa?

Timmy Say

Apabila presiden mana-mana parti dalam bahaya, jangan terjerat dengan drama tapi sebaliknya tumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang dilakukan oleh timbalannya.

Di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, semua timbalan yang membuat ‘karenah’ tidak dapat meneruskan kerjaya mereka. Ini termasuklah Tun Abdullah Badawi, yang dibawa turun menjadi ahli Umno biasa meskipun Dr Mahathir berada di luar kerajaan.

Dalam pertembungan Umno yang terbaru, media giat menanam persepsi adanya perang di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mentornya Dr Mahathir berdasarkan serangan kepada bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.
Apakah persepsi ini betul?
Jika ia betul, siapakah yang bakal menggantikan Najib jika isteri dan beliau ditewaskan? Setakat ini, nampaknya calon ada tiga: timbalan Najib iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan dua naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein and Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Buat masa ini, nama Zahid boleh diketepikan terlebih dahulu kerana imejnya yang teruk tercalar kerana “cerita-cerita” mengenai hubungan beliau dengan Paul Phua dan surat kontroversinya kepada FBI, yang tidak pernah dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri sebelum beliau.

Bagaimana pula dengan Hishammuddin? Berdasarkan komentar Dr Mahathir mengenai politik dinasti dalam Umno – rasanya Hishammuddin, selaku sepupu Najib, juga tidak tersenarai sebagai pengganti Najib jika Dr Mahathir menang dalam pertembungan ini.

Jadi, segala mata sekarang tertumpu pada Muhyiddin.

Beliau sekarang menjadi catur yang penting untuk menentukan samada pertembungan dalaman Umno ini akan berterusan ataupun tidak.

Jika Muhyiddin berdiri teguh di belakang Najib, pertembungan ini akan berakhir kerana tiada kemenangan yang boleh dicapai oleh pihak Dr Mahathir, kerana walau apapun, Najib dan isterinya akan kekal di Seri Perdana kerana tiada pengganti yang sanggup menggantikannya.

Jika Muhyiddin berpendirian sebaliknya, pertembungan ini akan menjadi menarik.

Setakat ini, Muhyiddin belum melakukan apa-apa gerakan politik yang ketara setelah berjaya mematikan ura-ura bahawa beliau sudah bersedia untuk bersara dari politik tahun lalu.

Namun begitu, jangan pandang remeh pada kesanggupan Najib untuk berani meninggalkan keluarganya ketika bercuti untuk pulang bersama rakyat ketika banjir besar melanda negara akhir tahun lalu, kurang daripada 48 jam selepas Muhyiddin berkata:

“Bagi masa dia rehat, dia sudah bekerja terlalu keras. Dia cuma manusia biasa. Percaya kepada saya. Jangan bimbang perdana menteri yang di luar negara, risau apa yang berlaku di sini.

"Saya bagi jaminan saya bekerja rapat dengan semua agensi terlibat. Saya jalankan tugas memegang kuasa sebagai perdana menteri. Jadi, jangan bimbang.”

Jika bos kamu melakukan perkara yang sama terhadap kamu, apakah perasaan kamu?

Oleh itu, jangan terlepas perhatian pada gerak-geri Ahli Parlimen Pagoh sementara terus menikmati babak-babak menarik pertembungan dalaman Umno 2015 ini.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan