Jimmy Adit
FOKUS SARAWAK: Buaya Samarahan amat jarang menyerang. Namun, setiap serangannya membawa maut.
Serangan maut terbaru berlaku pada 2 Januari lalu,empat tahun selepas serangan yang membunuh Sidi Samad, 66 tahun, pada 18 Desember 2010.
Sebelum itu, buaya Samarahan meragut nyawa Abang Saperi. Ia berlaku pada 28 Oktober 1993.
Mereka yang terselamat daripada serangan buaya adalah orang yang sangat bernasib baik, dan antara orang yang bernasib baik itu adalah bapa saya. Serangan itu hanya menyebabkan sikunya tidak dapat diluruskan.
Di kawasan Samarahan tengah, yang secara kasarnya antara Kampung Lubok Antu di hilir dan Panchor Melayu (dahulunya Kampung Baru Melayu) di hulu, hampir semua orang mengenali bapa saya kerana sikunya itu.
Di antara Kampung Lubok Antu dan Panchor Melayu adalah kampung-kampung sepanjang tebing sungai; iaitu Kampung Reban, Kampung Soh dan kampung saya, Segenam.
Beberapa kampung lain di Samarahan tengah, seperti Kampung Seruit, Kampung Raeh dan Kampung Bedega terletak di pedalaman. Berbanding dengan kami, mereka sejak dulu jarang menggunakan sungai; apatah lagi sekarang.
Beberapa insiden ini sudah cukup untuk membuatkan buaya dan Batang (sungai) Samarahan menjadi masyhur.
Betapa ramai yang membenci buaya ini, dan menggeletar hanya dengan menyebut sungai itu!
Tetapi tidak saya. Saya membesar bersama sungai ini. Ibubapa dan nenek moyang saya hidup di sini.
Dan kami semua memiliki pengalaman masing-masing berhadapan dengan buaya.
Tetapi kenapa tidak? Bukankah kami akan ke sungai juga untuk mencari ikan dan udang. Untuk sampai ke ladang, kami berdayung di sepanjangnya. Kami juga bermain-main di situ.
Buaya sentiasa ada di sana ketika kami melakukan kegiatan kami.
Malah, selama enam tahun di sekolah rendah, kami menghabiskan masa sejam setiap hari berdayuh di Sungai Samarahan untuk ke sekolah. Kami melihat buaya yang sedang berjemur. Kami melihat mereka menghilang di dalam air keruh apabila perahu lading kami semakin mendekat.
Jika mereka seperti keberatan untuk pergi, kami akan mengetuk perahu bertubi-tubi dengan dayung kami.
Seperti yang saya katakan ayah saya mendapat semacam satu reputasi di Samarahan Tengah daripada pertemuannya dengan buaya.
Beliau sedang bergelut untuk membebaskan perahunya daripada serpihan-serpihan yang tebal yang terkumpul ekoran air yang sedang surut, apabila seekor buaya menerkam tangannya dan sebatang dahan pokok yang besar yang sedang ditarik bapa saya.
Buaya itu menyentaknya sekali dan melepaskannya.
Menurut bapa saya, tidak mungkin buaya itu melepaskan gigitan hanya kerana beliau cuba mencungkil matanya – yang keras seperti batu.
“Buaya itu lepaskan gigitan kerana dia tidak suka rasa dahan pokok itu di antara rahangnya.” Begitulah cara ayah saya menjelaskan peristiwa itu.
Namun bagi seorang lelaki yang sering dilihat mendayung tongkang dengan muatan 10 tan di antara Bazaar Meran dan Kuching, dan dikenali kerana handal dalam seni pertahankan diri “kuntaw”, orang kampung memilih untuk percaya bahawa ayah saya berjaya menewaskan buaya itu dalam pertarungan!
Apa-apa pun, beliau menjadi terkenal, dan hampir semua orang mengenalinya sepanjang hayatnya.
Mendiang Sidi, yang berasal dari Lubok Antu, adalah rakannya.
Malah, setiap tahun ketika saya ke hilir untuk mengumpul kadar penilaian (saya menjadi kerani selama 16 tahun), saya akan bermalam di rumah Sidi.
Mangsa serangan 2 Januari lalu, Idris Yaakup berusia 56 tahun dan tinggal di Kampung Panchor. Saya mengenalinya. Beliau tidak pernah gagal untuk menegur saya setiap kali tersua.
Bagi saya, Sidi dan Idris hanyalah tidak bernasib baik dan menjadi mangsa serangan yang amat jarang terjadi.
Di Batang Samarahan, jarang timbul masalah dan keadaan sentiasa aman damai. Tiada siapa yang diancam. Tiada sesiapa yang patut berasa terancam.
Mendiang ayah saya tidak pernah takut kepada buaya, malah sepanjang hidupnya selama 86 tahun, beliau menghormati buaya di sana.
Beliau menebarkan jaringnya di kawasan sungai yang paling kuat berkocak tidak pernah lebih daripada dua kali setiap kali.
Katanya, buaya-buaya itu tidak kisah untuk berkongsi udand dengan manusia, namun mereka tidak dapat menerima tebaran ketiga dan seterusnya.
Beliau ada lagu tersendiri untuk dinyanyikan setiap kali buaya tidak ingin turun ke dasar, dan berikan mereka ‘korban’ jika mereka kerap muncul di jeti.
Beliau juga tidak mengusik satu kawasan pada aliran sungai yang mengaliri ladangnya, dan mengatakan buaya memerlukannya.
“Manusia perlu belajar hidup bersama alam. Buaya di sini sama usianya dengan sungai ini. Kita hanya tiba semalam, maka kita yang perlu sesuaikan diri,” begitulah cara bapa saya menjelaskannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan