Benarkah isunya Team A lawan Team B dalam PAS?

Abdul Rahman Malik

Post Pic
Bukan semua profesional dalam PAS menentang ulama. Ada yang menyokong pendirian ulama. Sehubungan itu, bukan semua ustaz menentang profesional, ada yang menyokong golongan itu.

Maksudnya, kata Setiausaha Majlis Syura PAS, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, adalah kurang tepat mengatakan bahawa suhu politik dalam PAS hari ini hangat kerana ada pertembungan pemikiran politik ulama dan profesional.

"Yang berlaku pertembungan adalah antara golongan ulama dan beberapa orang individu di mana hanya segelintir yang kecil yang ada di dalam PAS.

Dan mereka ini ada datangnya dari profesional, malah dari beberapa orang ustaz," katanya.


Adakah ini bermakna persaingan dalam PAS kini sebenarnya di antara dua kumpulan atau puak? Bak Team A lawan Team B seperti yang pernah berlaku pada Umno menjelang pemilihan pimpinannya pada 1987?


Secara langsung atau tidak rasionalisasi Nik Zawawi ini nampaknya cuba menggambarkan bahawa dalam mana-mana parti politik sekalipun sikap berkumpulan (atau berpuak-puak) pasti berlaku.

Sayugia diingat berdasarkan pengalaman politik Umno, perang Team A lawan Team B berakhir dengan Umno diharamkan dan Umno Baru ditubuhkan.

Serpihan persaingan itu ialah tertubuhnya parti Semangat 46 yang kemudian menjadi rakan kongsi politik PAS. Adakah PAS akan mengalami nasib yang sama?


Adakah Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang ditubuhkan oleh ahli-ahli PAS sendiri akan mengisi ruang sejarah Semangat 46?


Fenomena ini sedang hebat melanda MIC. Sebelum itu PKR juga mencatat rekod proses pemilihan pimpinan paling panjang di kalangan parti-parti politik moden di Malaysia.

Mungkinkah rumusan Nik Zawawi ialah apabila membabitkan soal kuasa, setiap insan politik dan juga parti siasah mempunya selera yang sama – bahawasanya hanya pemikiran dan citarasa politik mereka sahaja yang terbaik.

Jika pertembungan dalam PAS hari bukan di antara ulama dan profesional, adakah ini bermakna PAS juga tidak terkecuali dari kitaran politik polarisasi kuasa?

Jika demikian, apakah sebenarnya yang dipertikaikan oleh Team A (ulama) dan Team B (profesional)? Mungkinkah titik persaingan di antara mereka ialah soal mentafsirkan gejala dan natijah tahaluf siyasi yang cuba dianuti mulai 2008?

Umumnya, pemimpin dan penyokong PAS selesa dengan konsep tahaluf siyasi yang diterjemahkan dalam penyertaan PAS bersama Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun keadaan jelas hambar apabila pemimpin dan penyokong PAS tidak mendapat kesan atau natijah yang diharapkan daripada tahaluf berkenaan daripada rakan-rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat.


Malah pimpinan tertinggi PAS mulai resah dengan sikap dan layanan yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP.


Pemimpin-pemimpin PAS mungkin melihat bahawa PKR lebih ghairah membuat keputusan membabitkan Pakatan Rakyat secara unilateral atau bersendirian.

Langkah Kajang yang diidamkan oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, untuk menjadi anak kunci kejayaan Pakatan merampas Putrajaya nampaknya menyinggung daya intelek dan hemah politik pemimpin-pemimpin PAS.

PAS berasa bahawa perkara besar yang membabitkan masa depan Pakatan itu hanya dirancang dan diputuskan oleh Anwar Ibrahim dan anak-anak buahnya sahaja.

Mungkinkah PAS berasa diperlakukan bak Pak Turut sahaja walhal ia mempunyai lebih ramai ADUN berbanding PKR di Selangor?

Pada masa yang sama DAP pun dilihat kurang sensitif melayan adab yang wajar terhadap PAS. Parti itu lantang mengkritik teras perjuangan PAS – sistem perundangan Islam untuk Kelantan, kemudian Malaysia.

Buat masa ini PAS masih “berendam” dalam ideologi kepimpinan ulama. Adalah jelas bahawa baik PKR mahupun DAP agak kurang peka dengan adab dan cara kepimpinan ulama ini.

Walaupun tidak dipamerkan secara terbuka, ulama PAS jelas kurang senang dengan status quo politik dalam Pakatan Rakyat.

Namun malang bagi PAS sebilangan pemimpin berlatar belakang profesionalnya gagal menghidu ada yang tidak kena dengan adab dan cara PKR dan DAP berkomunikasi dengan PAS.



Seolah-olah ramai yang berasa “malu” dan “rendah diri” dengan pemikiran politik dan sikap yang ditunjukkan oleh pimpinan ulama yang dirasakan agak agak retrogresif, terkebelakang serta kuno.


Ulama memang ada ruang istimewa di kalangan orang Islam-Melayu. Lantas apabila ada pemimpin “muda dan moden” sedikit pemikiran mereka mulai mempertikaikan gelagat dan “adab” ulama, ramai pula penyokong menganggap itu satu keterlanjuran.

Mantan Setiausaha Agung PAS, menganggap keadaan sekarang dalam PAS agak meruncing berbanding krisis kepimpinan yang pernah dialami PAS pada tahun 1980an.

Beliau mungkin resah reaksi di peringkat akar umbi berhubung isu ini yang mulai menunjukkan kecenderungan bersifat ganas dan kurang berhemah. Ini termasuk tunjuk perasaan terbuka terhadap pemimpin.

Selain itu, ada percubaan membakar kereta Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli. Ini dituruti kejadian Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifley Ahmad pula diserang orang tidak dikenali.


Akan bertukarkah citra politik PAS menjelang Muktamar PAS Jun ini? Adakah perimbangan pengaruh Team A lawan Team B akan menjadikan PAS sebuah parti yang lebih radikal, pemikiran dan tindakan politiknya?


Tidak! Kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din. Beliau menganggap PAS kini dalam proses mencari keseimbangan diri dalam persada politik tanah air.

Beliau yakin dalam pemilihan akan datang pemimpin PAS yang menjadi “liabiliti” pada perjuangan parti akan dihukum oleh ahli parti. Pertembungan akan reda selepas ahli parti membuat pilihan mereka.

"Hal ini akan selesai apabila berlaku muktamar PAS. (Sekarang) panas sekejap, (sebab) berlaku pemilihan.

"Jadi sudah pastilah siapa yang menjadi liabiliti kepada parti, maka ahli PAS akan menghukum. Oleh itu, maka lepas muktamar nanti, keadaan ini akan reda-seredanya," kata beliau.

Haron berkata, perbalahan sekarang mirip krisis PAS tahun 1980an di mana imej parti itu pulih semula selepas ahli PAS menjadikan pimpinan ulama sebagai teras menerajui parti itu.

Soalnya adakah konsep kepimpinan ulama ini akan kekal selepas pemilihan? Menilai kurang dan mungkin langsung tiada penyertaan ulama dalam inisiatif PKR berdemonstrasi di Kuala Lumpur Sabtu 7 Mac lepas, membayangkan pimpinan ulama PAS hari masih “tergores” dengan layanan yang diterima daripada PKR dan Pakatan Rakyat.

Yang muncul bagi pihak PAS dalam perhimpunan mempamer solidariti dengan Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang umum dapat membaca sebagai Anwarinas yang kini menjadi “duri dalam daging” hubungan PAS-PKR.


Maknanya, golongan ini kurang prihatin atau enggan menyokong sikap ulama dalam soal tahaluf dengan PKR dan Pakatan Rakyat.


Jika perbezaan team A dan Team B adalah isu polarisasi kuasa dalam PAS, apakah ini membayangkan bahawa sudah semakin nyata bahawa konsep kepimpinan ulama PAS ini akan terus didesak untuk direformasikan ala PKR?

Memahami cara Anwar Ibrahim meraikan golongan ulama selama ini, mungkinkah Team B akan mengetengahkan tokoh ulama juga untuk “memodenkan” pemikiran politik PAS agar setanding dan sekelas dengan politik PKR dan DAP?

Mungkin atas perkiraan inilah kumpulan ini berura-ura mempertaruhkan seorang bekas pemimpin Persatuan Ulama Malaysia sebagai presiden baru PAS bagi menggantikan cara kepemimpinan Hadi yang dipandang sudah agak jumud? 
-ANtaraPOS-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan