Harun Salim Bachik rebah dan meninggal dunia ketika ke tandas Di R&R

Sekeping gambar yang memperlihatkan Harun terbaring dilantai tersebar di laman sosial.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Harun Salim Bachik, 55, meninggal dunia selepas rebah ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah, Perak arah selatan kira-kira pukul 5 petang, Ahad.

Pelakon Den Wahab ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu namun tidak dapat memberi butiran lanjut tentang kejadian mengejut itu.

"Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengarah, Dr Anwardi Jamil, kira-kira jam 5 petang tadi mengenai perkara itu.

"Daripada apa yang dimaklumkan kepada saya, Harun dan keluarganya dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.

"Mereka kemudiannya singgah di RNR Bukit Merah untuk mengisi minyak sebelum Harun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia," katanya kepada mStar Online.

Den turut memberitahu jenazah Allahyarham difahamkan akan dibawa ke hospital terlebih dahulu bagi mengetahui punca kematiannya.

"Saya tidak pasti sama ada Allahyarham akan dibawa ke hospital berdekatan atau dibawa ke hospital di Kuala Lumpur," ujarnya.

Sementara itu, pelakon dan rakan baik Harun, Afdlin Shauki ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu dan memberitahu beliau dalam perjalanan ke rumah Allahyarham.

Bagaimanapun Afdlin tidak dapat mengulas lanjut tentang kejadian tersebut kerana masih belum mendapat maklumat sahih berhubung kematian sahabat baiknya itu.

"Berita tentang kematian Harun benar malah saya sedang dalam perjalanan ke rumahnya.

"Bagaimanapun saya tidak dapat mengulas lanjut kerana belum mendapat cerita sebenar tentang kejadian," katanya.
-mstar-

اللهم أغفرله و ارحمه و اعفو عنه و أكرمه
اللهم وسع مدخله و ادخله الجنة و غسله بالثلج و الماء والبرد
اللهم يمن كتابه و هون حسابه و لين ترابه و ثبت أقدامه و ألهمه حسن الجواب
اللهم طيب ثراه و اكرم مثواه واجعل الجنة مستقره و مأواه

------------------

Keluarga Terkilan, Minta Henti Sebar Gambar Allahyarham Harun Salim Bachik
Danial (kiri) dan Syafik sifatkan Allahyarham bapa yang bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Harun Salim Bachik terkilan dengan penyebaran gambar arwah ketika menghembuskan nafas terakhir dan menjelaskan ia tidak seperti diperkatakan di laman-laman sosial pada petang Ahad lalu.

Anak keduanya, Danial Al-Rashid, 29, berkata, arwah meninggal dunia secara tenang dipangkuan salah seorang adiknya selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

"Arwah tidak jatuh seperti yang tersebar di Facebook, dia sesak nafas dan berpaut pada tiang hingga adik saya memapah dan memangkunya pada saat-saat dia menghembuskan nafas terakhir.

"Selepas saya dapat berita tentang itu dan lihat sudah tersebar gambar-gambar arwah serta cerita yang salah. Saya harap orang ramai tidak menyebarkan lagi gambar tersebut," ujarnya kepada mStar Online selepas selesai pengebumian jenazah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Raudhah, Batu Muda, Batu Caves, dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi Isnin selepas disembahyangkan di Surau Al Mutmainnah Jalan Pandan Perdana 8/1.

Dalam pada itu, Danial mengakui, salah satu sebab kesihatan arwah terjejas adalah kerana terlalu kuat bekerja.

Katanya, penyakit asma yang dihidapinya sejak lima tahun lalu dilihat lebih parah selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 bersama kumpulan Boboy.

"Antara punca kesihatan dia semakin teruk kerana terlalu kuat bekerja, kami ada paksa dia agar berehat dan dia memberitahu tahun ini akan memperlahankan aktiviti seni.

"Keadaan penyakit asma mula serius lepas menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 lalu dan selepas itu dia sering mendapatkan rawatan di hospital," ujarnya.

Sementara itu, Danial menyifatkan arwah sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab dan serius apabila bersama keluarga.

Biarpun tidak meninggalkan sebarang pesanan, Danial berkata, tanggungjawab terhadap keluarga kini perlu dipikulnya bersama adik beradik lain.

"Dia kelakar di televisyen sahaja dan kalau di rumah dia seorang yang serius. Dia tidak meninggalkan apa-apa pesanan kepada kami adik beradik, namun secara automatiknya tanggungjawab itu jatuh kepada kami semua," ujarnya.

Sementara itu anak sulungnya, Syafik Al-Rashid, 30, memberitahu telah meminta pihak hospital tidak melakukan sebarang bedah siasat terhadap arwah kerana mengetahui punca kematian tersebut disebabkan penyakit asma yang kritikal.

Katanya, Allahyarham sudah beberapa kali ke hospital untuk menjalani rawatan bagi mengawal penyakit asma itu.

"Kami berpakat adik-beradik tidak mahu arwah ayah menjalani bedah siasat kerana memang mengetahui arwah ayah menghidap penyakit asma.

"Sebelum ini juga, arwah sudah beberapa kali ke hospital untuk dapatkan rawatan," ujarnya.

Allahyarham Harun Salim Bachik menghembuskan nafas terakhir selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak, petang Ahad.

Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Pejabat Kesihatan Gunung Semanggol, jam 4.20 petang Ahad. Beliau sebelum ini memang diketahui mengidap asma.

Allahyarham dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Pandan Perdana.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Surianti Mohd Nor, enam orang anak dan tiga orang cucu.
-mstar-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan