Calon presiden PAS, timbalan perlu berdebat

MOHAMED HANIPA MAIDIN
Pemilihan Muktamar PAS kini tidak lagi menjadi agenda dalaman PAS semata mata.
Saya percaya ramai orang di luar PAS yang meneliti dengan mendalam perkembangan PAS muktahir ini khususnya di dalam suasana kerancakan "demam" muktamar PAS yang akan diadakan di awal Jun ini.

Pemilihan ini agak menarik kerana mungkin buat kali pertama PAS menyaksikan wujudnya lebih satu pencalonan kepada calon Presiden PAS.

Dalam hal ini, kewujudan kerencaman pencalonan presiden tersebut menunjukkan demokrasi dalam PAS masih wujud walau apa pun tanggapan orang ramai terhadap PAS.

Secara tradisinya, seseorang pPresiden PAS biasanya tidak ditentang dan akan menang secara mudah dalam proses pemilihan.

Namun tradisi tersebut nampaknya kini sudah mula berubah dan ini berkemungkinan berlaku disebabkan para ahli dan pimpinan PAS di peringkat bawah sudah mula "berani" bersuara dan mahukan prinsip pertanggunjawaban, ketelusan, pencapaian, integriti dan merit dijadikan asas utama pemitlihan kepimpinan setinggi mana sekalipun jawatan yang dipertandingkan.

Selain jawatan presiden, jawatan Timbalan presiden Pas berkemungkinan juga akan dipertandingkan kali ini sebagaimana ia dipertandingkan dalam muktamar PAS dua tahun yang lalu.

Memandangkan Perlembagaan PAS membenarkan mana-mana ahli PAS untuk dicalonkan memegang apa apa jawatan setinggi mana pun jawatan itu dengan syarat ahli ahli tersebut menerima pencalonan yang secukupnya untuk bertanding.

Dalam hal ini, saya rasa tidak sewajarnya mana-mana pihak membuat andaian atau tafsiran kewujudan pertandingan apa-apa jawatan dalam PAS termasuk jawatan presiden atau timbalan presiden itu suatu amalan yang tidak sihat, asing dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jika itu hujahnya, maka sudah tentu kewujudan Perlembagaan PAS yang membenarkan pertandingan itu sendiri wajar dipertikaikan.

Kewujudan pertandingan bagi mengisi jawatan presiden atau timbalan presiden bertolak daripada hasrat para perwakilan yang mahukan calon yang sesuai untuk diamanahkan memimpin PAS, paling kurang untuk tempoh masa dua tahun akan datang.

Persoalannya bagaimanakah calon yang akan bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden itu dapat dinilai dengan adil, telus dan saksama jika tiada satu proses secara terbuka bagi calon itu diberi peluang membentangkan idea dan wawasan mereka masing-masing bagi membawa PAS dengan lebih yakin di tengah tengah masyarakat pelbagai agama, bangsa dan kaum di negara ini.

Justeri itu, salah satu medan dan wadah yang paling mudah dan berkesan bagi mencapai hasrat tersebut, bagi saya, adalah diprogramkan satu debat terbuka antara calon-calon yang bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden PAS.

Melalui debat ini saya percaya para perwakilan dan ahli dapat menilai dan memuhasabah tahap pencapaian, displin kerja, sikap pertanggugjawaban, amanah dan keupayaan calon calon tersebut.

Keupayaan itu termasuklah kemampuan menguasai dengan baik isu-isu negara dan antarabangsa dan keupayaan untuk meyakinkan rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara ini untuk menerima PAS sebagai parti politik yang wajar diberi peluang bersama sama Pakatan Rakyat untuk menerajui negara ini.

Sudah tentu tidak salah PAS mengambil ruh dan model pemilihan kepimpinan negara negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang sudah lama membudayakan trend debat terbuka antara calon calon presiden negara.

Indonesia juga telah mula menjejaki tradisi agung negara negara maju tersebut.

Sistem yang baik, daripada mana pun sumbernya, boleh dicedok untuk kebaikan kita sepertimana sebuah hadith yang menyatakan "hikmah itu barang tercicir orang Islam, dan jika mereka menjumpainya mereka layak memiliki barang tercicir itu."

Maka dalam soal kepimpinan, sudah tentu debat dalam menilai kemampuan pimpinan ibarat barang tercicir umat Islam yang PAS wajar serapkan dalam PAS. Sudah tentu debat itu sendiri harus dikawal dengan etika dan adab adab yang tinggi.

Tanpa debat terbuka atau apa-apa program seumpama itu, maka dikhuatiri penilaian yang adil, telus dan saksama tidak lagi dapat dilakukan dalam memilih kepimpinan tertinggi PAS.

Yang lebih membimbangkan tidak mustahil faktor dan kriteria yang tidak wajar dijadikan sandaran utama pemilihan akan lebih dominan dan dikehadapankan. Jika ini berlaku, bagi saya, ia tidak membawa apa apa kebaikan dalam PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan