Candy Jiang
SEKILAS PANDANG: Adakah kanak-kanak di Melaka matang lebih awal berbanding mereka di negeri lain?
Itu hanyalah cara yang berlapik untuk berkata tentangnya. Hal sebenar, malangnya, adalah jelik dan jijik. Menurut laporan The Star, 11 daripada 147 kes seks yang dilaporkan di negeri itu pada 2014 melibatkan rogol berstatutori dan golongan bawah umur berusia dalam lingkungan 7 hingga 17 tahun.
Ia bermakna, ada satu perlakuan seks di kalangan golongan bawah umur berlaku hampir setiap bulan sepanjang tahun lalu.
Sementara kebanyakan kanak-kanak membesar dengan baik dan bersih, ada sebilangan yang meneroka satu sama lain dengan cara yang amat tidak sesuai, dan membawa bencana.
Misalnya kes seorang murid pra-sekolah yang didakwa memaksa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun untuk melakukan seks oral dalam tandas sebuah tadika di Paya Rumput ketika waktu rehat, Januari tahun lalu.
Namun pada tahun ini, ia tentang bagaimana hubungan antara lelaki berusia 14 tahun dengan perempuan berusia 8 tahun yang membawa kepada perlakuan seks, apabila remaja itu memujuk kanak-kanak perempuan itu untuk melakukannya di pusat tuisyen. Hal itu akhirnya sampai ke pengetahuan ibu perempuan itu, dan laporan polis akhirnya menamatkan hubungan mereka yang sudah berjalan selama tiga bulan.
Sukar untuk saya memahami bagaimana seorang remaja 14 tahun belajar untuk meyakinkan, atau memikat, kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun. Sejauh manakah kesanggupan perempuan itu, dan adakah timbul soal paksaan dalam hubungan mereka?
Adakah pendidikan seks perlu diperkenalkan di sekolah rendah bagi menjelaskan kepada kanak-kanak, bahawa seks bukanlah hal yang boleh dicuba-cuba begitu sahaja?
Atau adakah ia terletak di bawah tanggungjawab ibubapa sepenuhnya?
Adakah ibubapa yang patut dipersalahkan ekoran bertambahnya kes kesalahan seksual di kalangan golongan bawah umur? Dari sisi perundangan, ibubapa selaku penjaga patut dipertanggungjawabkan.
Saya yakin semua ibubapa tidak mahu anak mereka terlibat dalam kegiatan seks pada usia sehijau itu. Walaupun ramai ibubapa yang bergelut antara kerjaya dan keluarga, tiada alasan untuk membenarkan anak-anak mereka mengeksploitasikan satu sama lain dengan cara itu.
Ibubapa perlu meluangkan masa untuk mendidik anak mereka tentang cara perhubungan yang betul dan isu pencabulan seksual.
Dengan penyebaran pornografi dan penekanan seksualiti dalam media massa yang disasarkan kepada kanak-kanak, amat penting untuk ibubapa menunaikan tanggungjawab mereka, bukan sahaja untuk melindungi anak daripada dicabul, tetapi untuk menjamin mereka tidak menjadi pemangsa seksual.
-antdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan