KPN Khalid, bagaimana dengan kamera di tubuh anggota polis kita?

Zulhilmi Zainal
SEKILAS PANDANG: Di satu sesi dialog bulan lepas, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar memberitahu para tetamu bahawa beliau akan menubuhkan unit pemantauan drone bagi pasukan Polis DiRaja Malaysia.
The Rakyat Post melaporkan KPN berhasrat unit tersebut akan mengawasi kawasan perumahan, sambil meningkatkan pemantauan tanpa perlu penambahan tenaga kerja. Khalid turut berjenaka bahawa drone itu tidak akan dilengkapi senjata, mungkin sebagai merujuk kepada drone ketenteraan yang digunakan Amerika Syarikat bagi mengekang kumpulan pengganas di wilayah bergolak.

Bagaimanapun, usaha pengawasan Ketua Polis Negara tidak harus tertumpu ke arah itu. Pepatah ada berbunyi, “Siapa yang memantau si pemantau?”

Pasukan polis kita dilempar pelbagai tuduhan seperti korupsi dan salahlaku. Mereka tentunya perlu diawasi, sebagai pelindung keamanan dan kemakmuran negara. Tentu sekali pengawasan serupa perlu dibuat ke atas anggota polis kita.

Pasukan polis di negara-negara maju kini menilai penggunaan kamera tubuh (body camera) pada anggota polis yang mampu merakam tindakan para pegawai keselamatan itu di dalam menjalankan tugas.


Minggu lepas, laman sesawang teknologi Endgadget.com melaporkan seramai 2,000 anggota polis London akan mula menggunakannya, sementara NBCMiami pula berkata jabatan polis Miami-Dade meluluskan pembelian kamera tubuh yang bernilai USD5 juta.

Teknologi tersebut secara umumnya akan menyaksikan anggota polis dilengkapi peranti kecil, selalunya pada poket hadapan mereka, bagi merakam tindak-tanduk mereka di tempat umum serta apabila berdepan dengan suspek sesuatu jenayah.

Langkah ini dimulakan kerana masyarakat mengadu tindakan keras digunakan pihak polis ke atas orang awam dan suspek, dengan meletak dan memalsukan bahan bukti, dengan contoh terbaru melibatkan suspek tidak bersenjata di bandaraya di Amerika.

Rakaman berlaku di dalam dua kaedah: dengan menghalang penguatkuasa dari melakukan rasuah, dan membolehkan penilaian visual dibuat bagi mana-mana dakwaan salahlaku. Bagaimanapun, kamera tubuh juga mampu digunakan sebagai alat siasatan jenayah, kerana ia meningkatkan peluang rakaman visual dilakukan.

Pengenalan teknologi sebegini di dalam pasukan polis kita mampu membantu Khalid meningkat reputasi Polis DiRaja Malaysia, dengan mencegah anggotanya melakukan salahlaku dan membuktikan kepada orang awam bahawa sebarang dakwaan terhadap para pegawai polis sebenarnya tidak berasas, melalui bukti rakaman.
Tetapi tentunya penggunaan kamera tubuh perlu digunakan tanpa sebarang usaha mengubah rakaman. Contohnya, setiap hasil visual yang akan dijadikan bahan bukti tidak boleh disunting, dan anggota polis tidak dibenarkan menutup atau memasang gajet tersebut sesuka hati.

Setiap gerak geri, penahanan serta soal siasat yang dilakukan perlu dirakam. Satu lagi cara memastikan ketelusan ialah dengan membentuk jawatankuasa merangkumi orang awam bagi menilai rakaman asal.

Sekiranya langkah sewajarnya tidak diambil, maka kamera tubuh bernilai RM1,000 setiap satu hanya akan digunakan sebagai mesin Instagram sahaja.

Dan bercakap soal kos, tak perlu diulangi bahawa gajet perlu dibeli dari vendor bukan kroni yang memiliki reputasi menawarkan harga kompetitif.
-antdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan