Pelbagai pihak memberikan pendapat mengenai video upacara nikah sivil pasangan Melayu-Islam di Melbourne. – Gambar Facebook, 23 Jun, 2015.
Sepasang pengantin Malaysia yang bernikah di Melbourne, Australia terpaksa meminta bantuan imam yang menikahkan mereka menjelaskan keadaan selepas dituduh berkahwin "ala Syiah" dan "menyerupai Kristian".
Video pernikahan sivil Megat Saharizal Zulkifli dan Nur Hiedayat Shafie yang diadakan selepas upacara ijab kabul dan akad nikah secara Islam, dikongsi secara meluas di laman Facebook semalam, selepas disiarkan 2 akaun Facebook tanpa nama pengendali.
Dua laman tersebut, "Tazkirah Ustaz Kazim" dan "Kami Boikot Hanez Suraya" menyiarkan video selama 1 minit 17 saat itu dengan kapsyen "Ni ada satu video nikah ala puak Syiah kebenaran tak pasti tapi menyerupai Kristian".
Ia dipercayai dikongsi secara meluas kerana Megat Saharizal dilihat memegang tangan Nur Hiedayat sewaktu melafazkan ikrar perkahwinan yang dipimpin seorang jurunikah.
Jurunikah tersebut, Muhammed Edwars ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata beliau menikahkan pasangan itu menurut hukum Islam pada Khamis, 4 Jun lalu di Southbank, Melbourne.
Edwars, seorang guru di Australia, bertugas sebagai imam bagi komuniti Islam di Victoria.
Beliau juga jurunikah berdaftar dengan Majlis Islam Victoria (ICOV) merangkap pendaftar perkahwinan sivil yang diiktiraf Pejabat Peguam Negara Australia.
"Majlis dihadiri kawan dan keluarga kedua-dua belah pihak. Mereka terbang dari Malaysia bagi menghadiri perkahwinan itu.
"Pengantin perempuan dan lelaki menetap di Australia," katanya ditemubual The Malaysian Insider.
Katanya, pengantin perempuan yang kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pemilik akaun Facebook terbabit memohon bantuannya menjelaskan keadaan.
"Saya menyedari mengenai video itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada pengantin perempuan berkenaan.
"Beliau bukan saja kecewa malah risau bagaimana saya akan memberi maklum balas terhadap video itu.
"Saya menenangkannya dan memberitahu yang saya akan menjelaskan keadaan," katanya.
Beliau kemudian mengunjungi laman "Tazkirah Ustaz Kazim" dan menjelaskan di situ lafaz ikrar pengantin itu dibuat selepas mereka dinikahkan secara Islam, upacara yang tidak tersiar dalam video itu.
"Vow exchange (pertukaran lafaz) dilakukan dalam bahasa Inggeris untuk memenuhi syarat minimum pernikahan sivil yang sah di Australia.
"Ia tiada hubungan dengan agama Kristian atau Syiah dan tidak menyalahi aturan syariat agama Islam, ia hanya budaya semata-mata.
"Sila cermati maknanya, apakah ada yang menyalahi akidah dan syariah?" tulisnya di laman itu.
Malangnya, penjelasan Edwars yang sempat dirakam skrin beberapa blog tempatan lesap apabila penyiaran video itu ditarik semula laman "Tazkirah Ustaz Kazim".
Tanpa memahami penjelasan Edwars, pengendali laman itu sebaliknya menganggap video tersebut sebagai lafaz taklik pengantin dan meminta maaf kepada pengunjungnya.
Pengendali laman itu juga memohon orang ramai supaya mengamalkan bacaan Surah al-Kahf untuk "mengelak fitnah dajal maha dahsyat".
Edwars berkata upacara sivil itu dilakukan sekali gus dengan pernikahan Islam bagi menjimatkan masa pengantin agar tidak perlu ke Pejabat Pendaftar mendaftar perkahwinan mereka.
"Saya lebih risaukan Hiedayat dan Megat serta keluarga mereka di Malaysia.
"Saya berhubung dengan abang Hiedayat, Amri, di Malaysia yang mengikuti perkembangan situasi keseluruhan.
"Semoga Allah memberi mereka ketabahan dan saya berdoa kepada Allah agar kita semua mengambil iktibar daripada insiden ini dan menjadi orang Islam yang lebih baik," katanya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan