'Pertarungan' antara Nazri Aziz dengan TMJ siapa bakal dibelasah teruk

Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkata sekiranya beliau mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri, apakah harapan untuk teguran rakyat lain didengar. – Gambar Wikipedia, 15 Jun, 2015.Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim memberi amaran kepada pemimpin negara supaya tidak memanipulasi dirinya untuk mengalihkan tumpulan daripada isu nasional yang lain.
Tunku Ismail dalam kenyataannya 'Mesej untuk rakyat Malaysia' bertitah, baginda tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, tetapi situasi politik di Malaysia kini berubah apabila menteri terlalu sensitif ketika ditegur.

Titahnya, sekiranya perkara seperti itu pun tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombong seseorang pemimpin itu sebagai menteri, dipercayai responsnya terhadap Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengugut untuk 'membelasah' baginda.

"Saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat yang hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda.

"Nampaknya teguran saya secara baik ini mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?" titahnya dalam laman Facebok Johor Southern Tigers.

Titahnya, ugutan itu merupakan cubaan untuk mencemarkan imejnya dan menjadikannya musuh nombor satu rakyat.

Titahnya, kritikannya itu demi kepentingan rakyat baginda dan bukan untuk merebut kuasa atau menumbangkan kerajaan.

"Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.

"Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri," katanya.

Tunku Ismail mengkritik perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak muncul bersemuka Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pentas forum "Nothing To Hide" anjuran SukaGuam pada 5 Januari lalu bagi menjawab persoalan negara terutamanya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kritikannya itu mengundang respons daripada Nazri yang menegurnya supaya menjauhkan diri daripada isu politik.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan