FMT Reporters
PETALING JAYA: Kejadian jenayah ragut di ibu kota semakin menjadi-jadi malah kawasan paling sibuk turut menjadi sasaran peragut tanpa ada sedikit pun perasaan takut.
Ini dibuktikan menerusi satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diviralkan oleh seorang pengguna Facebook, Najee Abdullah menunjukkan kaedah licik yang digunakan oleh seorang peragut sebelum meragut beg tangan seorang wanita ketika sedang makan.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah restoran di Jalan Telawi pada malam Rabu yang bukan sahaja dikunjungi warga tempatan, malah menjadi lokasi kegemaran tenaga kerja pakar warga asing.
Video berdurasi 1.51 minit menunjukkan seorang lelaki berlegar-legar di kawasan tempat letak kereta sementara pelanggan restoran tersebut sedang bersosial menjamu selera di kawasan terbuka di kaki lima restoran tersebut.
Pada minit ke 1.23, lelaki itu terus menyergah menarik beg tangan seorang wanita yang duduk betul-betul di kerusi paling luar iaitu dekat dengan tempat letak kereta.
Rata-rata pengguna sosial mempersoalkan tahap keselamatan di sekitar pusat bandar raya malah ada menyatakan mereka semakin takut dan kurang selamat apabila keluar berjalan-jalan di ibu kota.
Ada juga yang mengaitkan kejadian jenayah meningkat kesan daripada kelembapan ekonomi negara menyebabkan ramai kehilangan pekerjaaan malah masih ramai graduan mengganggur menyebabkan mereka yang kurang berpendidikan semakin terhimpit.
“Perlu meningkatkan tahap keselamatan di Bangsar, ” tulis Dev Ananth dalam status video tersebut
Manakala, seorang lagi pengguna, Jay Ishak menggesa wanita agar menjaga beg tangan mereka memandangkan peragut ini berada di mana-mana sahaja.
“OMG! Jenayah di mana-mana sekarang. Berjaga-jaga wanita,” kata Anna Taharuddin pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan