Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Sesetengah kita pula yang ingin berangkat ke Mekah mempunyai berbagai kepercayaan yang bukan-bukan. Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Mekah dan tidak pulang ke rumahnya lagi. Percayaan ini adalah khurafat.
Jika ia benar, alangkah beruntung seseorang yang meninggal dalam perjalanan melaksanakan ibadah!!. Ada pula yang menganggap bahawa ada upacara khas berangkat ke haji. Maka seseorang tidak boleh berangkat sehingga upacara ‘bawa turun’ ke Mekah diadakan. Padahal Nabi s.a.w dan para sahabah yang berangkat dari Madinah ke Mekah ketika itu tidak pernah melakukan upacara itu semua. Apa yang baginda ajar adalah doa dan adab-adab musafir.
Seseorang yang menunaikan haji perlu faham teras-teras akidah secara jelas. Jika tidak, dibimbangi mereka tersasar. Bukan sedikit yang kita lihat jamaah haji sesetengah negara yang mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Mekah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Bahkan dahulu sebelum telaga Zam-Zam ditutup seperti sekarang, saya pernah melihat ada mengusap-usap binaan moden sekeliling telaga berkenaan. Ada pula yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya.
Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya ada di Mekah dengan berbagai peralatan canggih. Mengoyak kelampu tersebut bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka cari dari barangan curi dan khianat?.
Perkara seperti ini jika tidak dikawal Dunia Islam akan hanyut seperti sesetengah ajaran tarekat dan syiah yang mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuklah mempertuhankan guru-guru atau imam-imam mereka. Sebab itu Saiyyidina Umar memerintahkan agar ditebang pokok yang pernah Rasulullah s.a.w dan para sahabah melakukan baiah (ikrar setia) al-Ridwan di bawahnya, kerana orang ramai mula datang dan bersolat di tempat tersebut. (lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 11/490, Beirut: Dar al-Fikr). Bimbang berlakunya fitnah dalam akidah, warisan sejarah berharga pun terpaksa dihapuskan.
Ada yg benar dan ada yg batil tentang ulasan ini
BalasPadam