Hari-Hari Terakhir UMNO?

Raziq Michael
umno-malaysiaPemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1987 menyaksikan ada sekumpulan ahli UMNO ketika itu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pemilihan berkenaan lalu mengheret UMNO ke mahkamah. Akibatnya, UMNO diharamkan dan tubuhlah apa yang kini digelar sebagai UMNO baru.
28 tahun kemudian, UMNO diheret ke mahkamah sekali lagi oleh ahlinya dan kali ini fokus kesnya agak berbeza apabila melibatkan keraguannya terhadap Presiden partinya itu sendiri. Mengikut perlembagaan UMNO fasal 12.13.6 dengan jelas menyebut bahawa sebarang masalah berbangkit perlu terlebih dahulu diselesaikan di peringkat Bahagian dan Cawangan dengan kehendak Majlis Tertinggi.

Dalam isu ini adalah menjadi persoalan sama ada perkara ini telah dibincangkan di peringkat dalaman UMNO dan sekiranya ada maka wajar kiranya untuk mengetahui keputusan perbincangan. Tetapi sekiranya perkara ini tidak dibincangkan langsung diperingkat dalaman parti maka tindakan Anina Saadudin yang mengheret UMNO dan Presiden Parti ke mahkamah bukan sahaja membelakangkan semangat kepartian tetapi juga akan tergugur secara automatik keahliannya.

Hala Tuju UMNO

Hakikatnya tindakan Anina Saadudin ini bukan sahaja memberikan ruang kepada pembangkang untuk terus memainkan persepsi akan isu derma politik ini tetapi turut memberikan peluang keemasan kepada media antarabangsa untuk terus mengasak kerajaan dan pemerintah.

Namun, buat tiga juta ahli UMNO yang berdiri teguh bersama Presiden parti haruslah bersikap optimistik kerana tindakan membawakan isu ini ke mahkamah adalah merupakan satu tindakan yang masih dalam lingkungan pemikiran akal yang waras.

Bukankah ini akan memberikan peluang kepada Presiden parti untuk membersihkan namanya serta kredibiliti UMNO amnya dalam usaha untuk menamatkan pelbagai spekulasi dan persepsi melibatkan derma politik RM 2.6 bilion ini? Cuma, soalnya ialah apakah bersedia Presiden parti untuk menyahut cabaran ini dan mampukah ahli-ahli UMNO terus berdiri teguh bersamanya?

Masa Depan Politik UMNO

Secara keseluruhannya, UMNO tidak akan ranap dalam menghadapi isu ini. Tetapi nyata bahawa situasi ini akan membuatkan UMNO berdepan dengan krisis kepercayaan dalam usaha untk menyakinkan bahawa Presiden parti mereka berada di pihak tidak bersalah dan menjadi mangsa pencaturan politik semata-mata.

Sementara di pihak Najib Razak pula, ini adalah masa terbaik untuk membuktikan bahawa beliau tidak terlibat dalam apa-apa penyelewengan sama sekali melibatkan dana derma yang diterimanya.

Dan langkah drastik Najib Razak haruslah segera bertindak dengan mewujudkan satu undang-undang khusus agar semua parti politik mengisytiharkan sumber kewangan yang diperoleh daripada mana-mana pihak yang sehingga kini belum terlaksana. Jika ini dilaksanakan maka ini pastinya merupakan tamparan hebat kepada pembangkang dan mereka yang meragui akan kredibilitinya.

Bak telur dihujung tanduk, begitu juga kerelevanan UMNO kepada rakyat marhaen pada saat ini terletak kepada bagaimana isu ini diadili sewajarnya oleh Perdana Menteri yang juga Presiden parti UMNO.

Raziq Michael adalah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dari pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.
-fmt-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan